Tiga orang terbunuh dan 10 yang lain cedera selepas sebuah van melanggar pejalan kaki dan merempuh tiang papan tanda di sebuah pulau di luar wilayah Jeju, Korea Selatan, lapor Anadolu.
Seorang wanita di dalam kenderaan dan dua pejalan kaki disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke hospital berdekatan, Anadolu memetik Yonhap News yang berpangkalan di Seoul.
Pemandu dan sembilan yang lain dirawat kerana cedera ringan.
Manakala di Jepun, seorang maut dan 10 lagi cedera pada Isnin selepas sebuah kereta merempuh pejalan kaki di tengah Tokyo.
Seorang lelaki berusia 80 tahun maut dalam kejadian itu, yang sedang disiasat polis sebagai langgar lari melibatkan kenderaan curi, Anadolu memetik laporan Kyodo News yang berpangkalan di Tokyo. Pegawai sedang menyoal seorang lelaki yang dipercayai memandu kereta itu.
Polis dilapor berkata kenderaan itu memasuki persimpangan di lampu merah, membelok ke kaki lima dan melanggar pagar dengan rempuhan kuat.
Pemandu itu melarikan diri dari tempat kejadian dengan berjalan kaki selepas perlanggaran, kata pihak berkuasa.























