Menurut Al Jazeera, agensi berita separa rasmi Iran, Tasnim, melaporkan IRGC berkongsi rentetan peristiwa yang memperincikan berbalas tembakan antara tentera AS dan Iran.
IRGC dilapor berkata, berbalas tembakan itu bermula apabila tentera AS menghentam sebuah kapal tangki minyak Iran dekat Selat Hormuz, merosakkan bilik enjinnya.
IRGC berkata ia kemudian menyerang sebuah vesel AS-Israel dengan peluru berpandu tentera laut.
Selepas itu, tentera AS menyasarkan menara komunikasi IRGC di selatan Pulau Qeshm.
IRGC berkata, ia kemudian menggunakan peluru berpandu dan dron untuk menyerang pangkalan udara AS, termasuk ibu pejabat Armada Kelima AS, dan helikopter “terletak di satu daripada negara di rantau itu”.
Dalam pada itu, menurut berita Xinhua, memetik Perintah Pusat AS (CENTCOM), tentera AS menjalankan serangan “mempertahankan diri” di Pulau Qeshm Iran sebagai tindak balas kepada “percubaan serangan oleh Iran di seluruh Timur Tengah” pada Selasa.
Tentera AS menyerang stesen kawalan darat tentera Iran di Pulau Qeshm dekat Selat Hormuz, kata perintah itu di X, sambil menambah bahawa tiada anggota AS yang cedera, lapor Xinhua.
“Iran melancarkan beberapa peluru berpandu balistik ke arah jiran serantau; namun, semuanya gagal menghentam sasaran yang dimaksudkan,” perintah itu dilapor sebagai berkata.
“Dua peluru berpandu Iran yang ditembak pada Kuwait jatuh pendek atau pecah dalam perjalanan, dan tiga peluru berpandu yang dilancarkan pada Bahrain segera dipintas oleh pasukan pertahanan udara AS dan Bahrain,” perintah itu dilapor berkata.
