• Ketua WHO beri amaran peningkatan serangan terhadap sistem kesihatan Iran

    Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan lebih 20 serangan ke atas kemudahan penjagaan kesihatan di Iran sejak 1 Mac lalu, menurut berita Aljazeera.

    Sekurang-kurangnya sembilan orang telah terbunuh, termasuk seorang ahli Persatuan Bulan Sabit Merah Iran.

    Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata satu daripada serangan telah melanda Institut Pasteur yang berusia sabad di Tehran.

  • Israel kata lebih banyak peluru berpandu dilancarkan dari Iran

    Tentera Israel berkata lebih banyak peluru berpandu dilancarkan dari Iran ke arah wilayah Israel, lapor Aljazeera.

    Tentera itu dalam satu kenyataan berkata, sistem pertahanan udara sedang beroperasi untuk memintas serangan itu.

  • IRGC dakwa serangan baharu ke atas Tel Aviv, Eilat

    IRGC mendakwa ia “memusnahkan” pasukan Israel dan syarikat perindustrian ketenteraan dengan serangan baharu ke atas pangkalan Tel Aviv dan Eilat, lapor Aljazeera.

  • Lebih 600 sekolah, pusat pendidikan dihentam di Iran

    Lebih 600 sekolah dan pusat pendidikan telah dilanda oleh serangan AS-Israel sejak 28 Feb lalu, lapor Aljazeera memetik Kementerian Luar Iran.

  • Pentagon sahkan persaraan segera ketua kakitangan tentera darat

    Jurucakap Pentagon, Sean Parnell, mengesahkan Ketua Staf Tentera Darat AS, Jeneral Randy George, bersara sebagai ketua kakitangan Tentera Darat ke-41, berkuat kuasa serta-merta.

  • AS tolak dakwaan Iran tembak jatuh jet pejuang dekat Selat Hormuz

    Perintah Pusat tentera AS menolak dakwaan IRGC Iran bahawa ia telah menembak jatuh jet pejuang “musuh” di Pulau Qeshm negara itu di Selat Hormuz, lapor Aljazeera.

    “Semua pesawat pejuang AS telah diambil kira. IRGC Iran telah membuat dakwaan palsu yang sama sekurang-kurangnya setengah dozen kali,” katanya dalam satu kenyataan.

  • Zelenskyy tawar kepakaran maritim Ukraine dengan Selat Hormuz

    Presiden Zelenskyy menawarkan untuk menyediakan kepakaran Ukraine dalam menangani kebebasan navigasi di Laut Hitam kepada negara-negara yang sedang mempertimbangkan cara untuk memastikan Selat Hormuz kekal terbuka, lapor Aljazeera.

    Zelenskyy berkata, Menteri Luar Andrii Sybiha telah mengambil bahagian dalam mesyuarat maya yang dikhaskan untuk membuka semula Selat Hormuz, yang dihadiri oleh kira-kira 40 negara.

    “Ukraine mempunyai kepakaran yang relevan mengenai laluan air laut, mengenai pertahanan dan pembukaan semula trafik maritim,” katanya.

    “Jika rakan kongsi [kami] bersedia untuk bertindak, kami akan mempertimbangkan bagaimana kami dapat memperkukuhkan mereka, bagaimana kami dapat menggunakan kepakaran, pengetahuan dan potensi teknologi kami.”

    Zelenskyy tidak memberikan butiran lanjut.

    Pasukan Ukraine telah membangunkan teknologi, termasuk dron laut, yang telah membolehkan mereka selama empat tahun perang mencapai kejayaan yang ketara ke atas kapal Rusia di Laut Hitam dan menghalang Moscow daripada mengawal laluan air terbabit, menurut Aljazeera.

    Menurut Aljazeera, minggu lalu, Zelenskyy memulakan lawatan ke negara-negara Timur Tengah sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyediakan mereka dengan teknologi pertahanan yang telah dibangunkannya dalam tempoh empat tahun menangani dron, kebanyakannya direka bentuk di Iran.

  • ‘Lingkaran maut, kemusnahan’ di Timur Tengah mesti berakhir – ketua PBB

    Ketua PBB Antonio Guterres mengeluarkan amaran keras mengenai keadaan yang semakin merosot di Timur Tengah, menyeru agar “lingkaran (spiral) maut dan kemusnahan” ditamatkan segera, lapor Aljazeera.

    “Setiap hari perang di Timur Tengah berterusan, penderitaan dan kemusnahan manusia semakin meningkat, serangan tanpa pandang bulu semakin meningkat, dan bahaya kepada dunia kita semakin meningkat,” kata Guterres.

    Dia menekankan bahawa kesan permusuhan tidak lagi terhad kepada rantau terdekat, dengan menyatakan bahawa “konflik dirasai di mana-mana”.

  • Pejabat media Dubai tolak laporan pusat data Oracle disasarkan

    Pejabat Media Dubai menolak dakwaan IRGC bahawa sebuah pusat data Oracle telah diserang di emirat itu, lapor Aljazeera.

  • ‘Berhenti bermain dengan api’ – utusan Rusia ke PBB beritahu Israel, AS

    Vassily Nebenzia, duta besar Rusia dan wakil tetap ke PBB, menyeru agar keganasan di Timur Tengah dihentikan dan menyeru AS dan Israel untuk “berhenti bermain dengan api”, lapor Aljazeera.

    “Peningkatan keganasan yang belum pernah terjadi sebelumnya di Timur Tengah malangnya menjejaskan negara-negara yang mesra Persekutuan Rusia,” katanya pada mesyuarat Majlis Keselamatan PBB, menurut Aljazeera memetik media kerajaan Iran.

    “Jelas bahawa situasi semasa adalah akibat langsung daripada tindakan pencerobohan yang tidak wajar oleh Amerika Syarikat dan Israel terhadap wilayah berdaulat Iran.”

  • Minyak Pakistan naik harga

    Pakistan menaikkan harga petrol kepada 458.4 rupee seliter (USD6.20 segelen) – kenaikan 43 peratus – dan diesel kepada 520.35 rupee seliter (USD7.03 segelen), menurut berita Aljazeera.

    Menteri Petroleum Ali Pervaiz Malik membuat pengumuman itu sambil menambah bahawa krisis itu “bukan sahaja melanda seluruh rantau tetapi seluruh dunia”.

    Satu gelen bersamaan 3.78 liter. Seliter petrol 458.4 rupee bersamaan RM6.63, manakala seliter disel 520.35 rupee bersamaan RM7.52.

  • Menteri Luar Iran kata serangan AS ke atas infrastruktur tanda ‘keruntuhan moral’

    Menteri Luar Iran, Araghchi, berkata serangan AS ke atas infrastruktur awam tidak akan memaksa Iran untuk berundur, menurut berita Aljazeera.

    “Menyerang struktur awam, termasuk jambatan yang belum siap, tidak akan memaksa rakyat Iran untuk menyerah diri,” kata Araghchi dalam satu catatan di X, disertai dengan imej jambatan yang musnah.

    Dia berkata, tindakan sedemikian sebaliknya “menyampaikan kekalahan dan keruntuhan moral musuh yang kucar-kacir”.

    Awal Khamis, serangan AS-Israel menyasarkan jambatan B1 di Karaj, barat Tehran.

  • IRGC dakwa serangan ke atas pusat data Oracle di Dubai

    Perintah tentera laut Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran mendakwa ia melancarkan serangan ke atas pusat data milik firma teknologi AS Oracle di Dubai, lapor Aljazeera memetik media kerajaan.

    Terdahulu, IRGC berkata ia telah menyasarkan pusat pengkomputeran awan Amazon di Bahrain.

  • IRGC dakwa tembak jatuh pesawat perang di Teluk

    IRGC Iran mendakwa pertahanan udaranya berjaya menyasarkan “jet pejuang musuh di selatan Pulau Qeshm”, menurut berita Aljazeera memetik media kerajaan.

    Kenyataan itu tidak menyatakan jet itu kepunyaan negara mana.

    Selepas terkena tembakan, jet pejuang itu terhempas ke Teluk antara Pulau Hengam dan Pulau Qeshm, tambahnya.

  • Kapal pengangkut USS Gerald R Ford berlepas dari Croatia

    USS Gerald R Ford telah berlepas dari Croatia selepas lawatan pelabuhan selama lima hari, kata Tentera Laut AS tanpa menyatakan ke mana kapal pengangkut pesawat terbesar di dunia itu akan menuju seterusnya, berita Aljazeera melaporkan.

    Kapal pengangkut itu “kekal bersedia untuk tugasan misi penuh bagi menyokong objektif negara dalam mana-mana bidang operasi”, menurut Tentera Laut AS, yang mengatakan kapal itu “menyelesaikan pembaikan berjadual dan menerima bekalan untuk mengekalkan operasi”.

    Kapal pengangkut itu memainkan peranan utama dalam kempen udara AS-Israel menentang Iran, tetapi belayar ke Crete dan kemudian Croatia selepas kebakaran dobi berlaku pada 12 Mac.

  • Jumlah kematian dalam serangan jambatan Karaj meningkat kepada lapan

    Jumlah kematian akibat “serangan kejam Amerika-Zionis” di wilayah Alborz meningkat kepada lapan, dengan sekurang-kurangnya 95 orang cedera, lapor Aljazeera memetik agensi berita separa rasmi Iran, Tasnim.

    Timbalan Hal Ehwal Keselamatan di wilayah Alborz mengesahkan serangan awal hari ini (Khamis) menyasarkan jambatan B1 di Karaj, sebuah projek infrastruktur utama yang hampir siap.

  • Orang Israel ‘akan melakukan apa yang saya beritahu mereka’ – Trump

    Presiden AS itu mengatakan Israel adalah “pemain berpasukan yang baik” dan mereka akan “melakukan apa yang saya beritahu mereka”, menurut berita Aljazeera.

    Dalam satu temu bual dengan majalah Time, dia menambah bahawa “mereka akan berhenti apabila saya berhenti… mereka akan berhenti melainkan mereka diprovokasi, yang mana dalam hal ini, mereka tidak akan mempunyai pilihan, tetapi mereka akan berhenti apabila saya berhenti.”

  • Trump pecat Pam Bondi sebagai peguam negara AS, angkat Todd Blanche

    Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan Pam Bondi dipecat sebagai peguam negara AS, dalam rombakan besar kedua peringkat kabinetnya dalam tempoh kurang sebulan, menurut berita Aljazeera pada Khamis.

    Trump mengesahkan keputusan itu dalam satu catatan di Truth Social pada Khamis, selepas beberapa laporan media mencadangkan dia sedang mempertimbangkan untuk memecat Bondi daripada peranan penguatkuasaan undang-undang tertinggi, lapor Aljazeera, beberapa orang menyebut rasa tidak puas hatinya terhadap pengendalian fail siasatan Bondi yang berkaitan dengan pembiaya dan pesalah seks yang disabitkan kesalahan Jeffrey Epstein.

    Timbalan Peguam Negara Todd Blanche akan menggantikan Bondi buat sementara waktu dalam kapasiti sementara, katanya.

    “Pam Bondi ialah patriot Amerika yang hebat dan seorang sahabat yang setia, yang setia berkhidmat sebagai Peguam Negara saya sepanjang tahun lalu,” Trump dilapor membuat catatan.

    Trump tidak menyebut alasannya untuk keputusan itu, sebaliknya menulis: “Kami sayang Pam.” Dia (Trump) menambah bahawa beliau (Bondi) akan “beralih kepada pekerjaan baharu yang amat diperlukan dan penting dalam sektor swasta”.

    Dalam satu kenyataan, Bondi berkata dia akan memindahkan jawatan terbabit kepada Blanche dalam tempoh sebulan akan datang, sambil menambah dia akan berpindah ke “peranan sektor swasta yang penting yang saya teruja, dan di mana saya akan terus berjuang untuk Presiden Trump dan pentadbiran ini”.

    “Saya tetap bersyukur selama-lamanya atas kepercayaan yang diberikan oleh Presiden Trump kepada saya untuk menjadikan Amerika selamat semula,” dia dilapor berkata.

    Pemecatan Bondi berlaku sejurus selepas Trump tiba-tiba memecat Setiausaha Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Kristi Noem, yang menyelia agensi itu di tengah-tengah kempen pengusiran besar-besaran yang membawa kepada pembunuhan dua warga AS.

    Media AS telah melaporkan bahawa Trump sedang mempertimbangkan untuk mencalonkan Lee Zeldin, pentadbir semasa Agensi Perlindungan Alam Sekitar AS, untuk mengambil alih Jabatan Kehakiman.

    Trump belum mengesahkan rancangan itu. Sebarang pencalonan memerlukan pengesahan Senat.

  • Qatar kata ia pintas ‘serangan babit sebilangan dron dilancarkan dari Iran’ hari ini

    Qatar berkata ia memintas “serangan yang membabitkan sebilangan dron yang dilancarkan dari Iran” hari ini, menurut berita Aljazeera.

    “Angkatan tentera kami, dengan rahmat Tuhan, berjaya memintas dan meneutralkan semua dron yang masuk,” kata kementerian pertahanannya dalam satu catatan media sosial, menurut Aljazeera.

  • Lubnan kata serangan Israel membunuh 27 orang, mencederakan 105 orang dalam 24 jam terakhir

    Serangan Israel ke atas Lubnan membunuh 27 orang dan mencederakan 105 orang lain dalam 24 jam terakhir, kata Kementerian Kesihatan Lubnan pada Khamis, menurut berita Anadolu.

    Menurut kementerian itu, jumlah kematian sejak 2 Mac lalu telah meningkat kepada 1,345 orang, dengan 4,040 orang cedera.

    Israel telah menggempur Lubnan dengan serangan udara dan melancarkan serangan darat di selatan sejak serangan rentas sempadan oleh Hizbullah pada 2 Mac lalu.