• Tujuh roket dilancarkan dari selatan Lubnan ke arah utara Israel

    Tujuh roket dilancarkan dari selatan Lubnan ke arah utara Israel, menurut Aljazeera memetik laporan rakan sekerjanya di lapangan.

    Perintah Barisan Dalam Negeri Israel mengatakan siren berbunyi di Nahariya dan beberapa bahagian Galilee Barat berikutan pelancaran terbabit.

    Tiada laporan segera mengenai korban atau kerosakan.

  • Qatar kata berbilang serangan dron ‘dipintas’ hari ini

    Kementerian Pertahanan Qatar mengatakan ia disasarkan “oleh sebilangan dron yang dilancarkan dari Iran” hari ini, sambil menambah bahawa semua serangan dron “berjaya dipintas dan dineutralkan”, lapor Aljazeera.

  • China ulangi penentangan terhadap serangan ke atas kemudahan awam selepas serangan AS ke atas jambatan Iran

    China pada Jumaat mengulangi penentangannya terhadap serangan ke atas infrastruktur awam selepas AS menyasarkan apa yang digambarkan oleh pegawai sebagai “jambatan terbesar Iran” menggesa semua pihak untuk gencatan senjata segera, lapor Anadolu.

    Menjawab soalan media mengenai video media sosial yang dikeluarkan oleh Presiden AS Donald Trump yang menunjukkan serangan itu, jurucakap Kementerian Luar Negeri Mao Ning menyeru semua pihak untuk kembali kepada penyelesaian politik dan diplomatik dan mencegah bencana kemanusiaan yang lebih luas, lapor Anadolu memetik Global Times dikendalikan oleh kerajaan China.

    “Tindakan ketenteraan yang diambil oleh Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran telah dijalankan tanpa kebenaran oleh Majlis Keselamatan PBB dan jelas melanggar undang-undang antarabangsa,” katanya.

    Pada Khamis, Trump berkata jambatan terbesar di Iran “runtuh dan tidak akan digunakan lagi” dan memberi amaran bahawa “banyak lagi yang akan menyusul”, lapor Anadolu.

    Serangan AS-Israel menghentam jambatan utama di lebuh raya utama di utara Iran awal Khamis, lapor Anadolu, menurut agensi berita Fars, beberapa lokasi telah diserang di kawasan Azimieh dekat bandar Karaj, termasuk Jambatan B1, yang digambarkan sebagai jambatan tertinggi di Timur Tengah.

  • IRGC dakwa ia tembak jatuh pesawat F-35 AS di ruang udara tengah Iran, AS belum beri komen

    Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran berkata pada Jumaat, sistem pertahanan udaranya menembak jatuh jet pejuang F-35 AS di ruang udara tengah Iran, lapor Xinhua.

    Dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh saluran rasminya Sepah News dan disertakan dengan imej yang dikatakan menunjukkan bangkai pesawat, IRGC berkata pesawat itu telah dihentam oleh sistem pertahanan udara termaju dikendalikan oleh Bahagian Aeroangkasanya.

    Kenyataan itu berkata jet itu milik “skuadron Lakenheath” merujuk kepada Sayap Pejuang ke-48 yang berpangkalan di RAF Lakenheath di Britain, dan pesawat itu musnah sepenuhnya sebelum terhempas.

    IRGC berkata nasib juruterbang itu tidak diketahui, sambil menambah bahawa letupan ketika jet itu dihentam menyebabkan kemungkinan untuk terus hidup atau melentingkan diri dengan selamat tidak mungkin berlaku.

    Tiada komen segera daripada Amerika Syarikat.

    Pada 19 Mac, IRGC berkata salah satu sistem pertahanan udaranya telah menyerang sebuah pesawat F-35 AS di tengah Iran, menyebabkan pesawat itu rosak teruk. Tentera AS kemudiannya berkata dalam satu kenyataan bahawa sebuah pesawat F-35 telah melakukan pendaratan kecemasan selepas menerbangkan misi tempur di atas Iran, dan juruterbang itu berada dalam keadaan stabil.

  • Kapal milik sebuah firma Perancis lalu Selat Hormuz – laporan

    Sebuah kapal kontena milik kumpulan perkapalan Perancis CMA CGM melintasi Selat Hormuz, kata BFM TV, yang dimiliki oleh syarikat perkapalan itu, pada Jumaat, menurut berita Aljazeera.

    Menurut Aljazeera, CMA CGM tidak segera memberi maklum balas terhadap permintaan untuk mendapatkan komen.

  • Israel lapor 148 cedera dalam 24 jam lalu

    Kementerian Kesihatan Israel mengatakan 148 orang cedera dalam 24 jam lalu, lapor Aljazeera.

    Sejak serangan ke atas Iran bermula pada akhir Februari, 6,594 orang telah dibawa ke hospital, kata kementerian itu pada Jumaat.

  • Kuwait kata serangan Iran hentam loji penyahgaraman

    Kuwait berkata serangan Iran telah merosakkan sebahagian daripada loji kuasa dan penyahgaraman pada Jumaat, sambil menambah bahawa pasukan kecemasan sedang berusaha di bawah pelan kontingensi untuk mengekalkan operasi dan mengamankan kemudahan terbabit, lapor Aljazeera.

  • Tentera Israel kata peluru berpandu dilancarkan dari Iran menuju ke Israel

    Tentera Israel berkata peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran sedang menuju ke Israel, lapor Aljazeera.

    “Sistem pertahanan sedang beroperasi untuk memintas ancaman itu,” kata tentera Israel dalam satu kenyataan.

  • Kebakaran meletus di kemudahan gas Habshan UAE, operasi digantung

    Serpihan yang jatuh dari pintasan projektil menyebabkan kebakaran di kemudahan gas Habshan, sebuah kompleks pemprosesan gas utama Emiriah, kata pejabat media Abu Dhabi, menurut berita Aljazeera.

    “Operasi telah digantung sementara pihak berkuasa bertindak balas terhadap kebakaran. Tiada kecederaan dilaporkan,” tambahnya dalam satu catatan di X.

  • Ketua WHO beri amaran peningkatan serangan terhadap sistem kesihatan Iran

    Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan lebih 20 serangan ke atas kemudahan penjagaan kesihatan di Iran sejak 1 Mac lalu, menurut berita Aljazeera.

    Sekurang-kurangnya sembilan orang telah terbunuh, termasuk seorang ahli Persatuan Bulan Sabit Merah Iran.

    Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata satu daripada serangan telah melanda Institut Pasteur yang berusia sabad di Tehran.

  • Israel kata lebih banyak peluru berpandu dilancarkan dari Iran

    Tentera Israel berkata lebih banyak peluru berpandu dilancarkan dari Iran ke arah wilayah Israel, lapor Aljazeera.

    Tentera itu dalam satu kenyataan berkata, sistem pertahanan udara sedang beroperasi untuk memintas serangan itu.

  • IRGC dakwa serangan baharu ke atas Tel Aviv, Eilat

    IRGC mendakwa ia “memusnahkan” pasukan Israel dan syarikat perindustrian ketenteraan dengan serangan baharu ke atas pangkalan Tel Aviv dan Eilat, lapor Aljazeera.

  • Lebih 600 sekolah, pusat pendidikan dihentam di Iran

    Lebih 600 sekolah dan pusat pendidikan telah dilanda oleh serangan AS-Israel sejak 28 Feb lalu, lapor Aljazeera memetik Kementerian Luar Iran.

  • Pentagon sahkan persaraan segera ketua kakitangan tentera darat

    Jurucakap Pentagon, Sean Parnell, mengesahkan Ketua Staf Tentera Darat AS, Jeneral Randy George, bersara sebagai ketua kakitangan Tentera Darat ke-41, berkuat kuasa serta-merta.

  • AS tolak dakwaan Iran tembak jatuh jet pejuang dekat Selat Hormuz

    Perintah Pusat tentera AS menolak dakwaan IRGC Iran bahawa ia telah menembak jatuh jet pejuang “musuh” di Pulau Qeshm negara itu di Selat Hormuz, lapor Aljazeera.

    “Semua pesawat pejuang AS telah diambil kira. IRGC Iran telah membuat dakwaan palsu yang sama sekurang-kurangnya setengah dozen kali,” katanya dalam satu kenyataan.

  • Zelenskyy tawar kepakaran maritim Ukraine dengan Selat Hormuz

    Presiden Zelenskyy menawarkan untuk menyediakan kepakaran Ukraine dalam menangani kebebasan navigasi di Laut Hitam kepada negara-negara yang sedang mempertimbangkan cara untuk memastikan Selat Hormuz kekal terbuka, lapor Aljazeera.

    Zelenskyy berkata, Menteri Luar Andrii Sybiha telah mengambil bahagian dalam mesyuarat maya yang dikhaskan untuk membuka semula Selat Hormuz, yang dihadiri oleh kira-kira 40 negara.

    “Ukraine mempunyai kepakaran yang relevan mengenai laluan air laut, mengenai pertahanan dan pembukaan semula trafik maritim,” katanya.

    “Jika rakan kongsi [kami] bersedia untuk bertindak, kami akan mempertimbangkan bagaimana kami dapat memperkukuhkan mereka, bagaimana kami dapat menggunakan kepakaran, pengetahuan dan potensi teknologi kami.”

    Zelenskyy tidak memberikan butiran lanjut.

    Pasukan Ukraine telah membangunkan teknologi, termasuk dron laut, yang telah membolehkan mereka selama empat tahun perang mencapai kejayaan yang ketara ke atas kapal Rusia di Laut Hitam dan menghalang Moscow daripada mengawal laluan air terbabit, menurut Aljazeera.

    Menurut Aljazeera, minggu lalu, Zelenskyy memulakan lawatan ke negara-negara Timur Tengah sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyediakan mereka dengan teknologi pertahanan yang telah dibangunkannya dalam tempoh empat tahun menangani dron, kebanyakannya direka bentuk di Iran.

  • ‘Lingkaran maut, kemusnahan’ di Timur Tengah mesti berakhir – ketua PBB

    Ketua PBB Antonio Guterres mengeluarkan amaran keras mengenai keadaan yang semakin merosot di Timur Tengah, menyeru agar “lingkaran (spiral) maut dan kemusnahan” ditamatkan segera, lapor Aljazeera.

    “Setiap hari perang di Timur Tengah berterusan, penderitaan dan kemusnahan manusia semakin meningkat, serangan tanpa pandang bulu semakin meningkat, dan bahaya kepada dunia kita semakin meningkat,” kata Guterres.

    Dia menekankan bahawa kesan permusuhan tidak lagi terhad kepada rantau terdekat, dengan menyatakan bahawa “konflik dirasai di mana-mana”.

  • Pejabat media Dubai tolak laporan pusat data Oracle disasarkan

    Pejabat Media Dubai menolak dakwaan IRGC bahawa sebuah pusat data Oracle telah diserang di emirat itu, lapor Aljazeera.

  • ‘Berhenti bermain dengan api’ – utusan Rusia ke PBB beritahu Israel, AS

    Vassily Nebenzia, duta besar Rusia dan wakil tetap ke PBB, menyeru agar keganasan di Timur Tengah dihentikan dan menyeru AS dan Israel untuk “berhenti bermain dengan api”, lapor Aljazeera.

    “Peningkatan keganasan yang belum pernah terjadi sebelumnya di Timur Tengah malangnya menjejaskan negara-negara yang mesra Persekutuan Rusia,” katanya pada mesyuarat Majlis Keselamatan PBB, menurut Aljazeera memetik media kerajaan Iran.

    “Jelas bahawa situasi semasa adalah akibat langsung daripada tindakan pencerobohan yang tidak wajar oleh Amerika Syarikat dan Israel terhadap wilayah berdaulat Iran.”

  • Minyak Pakistan naik harga

    Pakistan menaikkan harga petrol kepada 458.4 rupee seliter (USD6.20 segelen) – kenaikan 43 peratus – dan diesel kepada 520.35 rupee seliter (USD7.03 segelen), menurut berita Aljazeera.

    Menteri Petroleum Ali Pervaiz Malik membuat pengumuman itu sambil menambah bahawa krisis itu “bukan sahaja melanda seluruh rantau tetapi seluruh dunia”.

    Satu gelen bersamaan 3.78 liter. Seliter petrol 458.4 rupee bersamaan RM6.63, manakala seliter disel 520.35 rupee bersamaan RM7.52.