• Askar Israel dihukum ke penjara tentera kerana cemar patung Kristian di Lubnan

    Askar yang mencemarkan patung di selatan Lubnan dijatuhkan hukuman penjara tentera selama 21 hari, lapor Al Jazeera memetik tentera Israel.

    Seorang askar kedua yang merakam kejadian itu juga dijatuhkan hukuman penjara tentera selama 14 hari.

    Walaupun tentera Israel berkata ia memandang pencemar terbabit “dengan sangat tegas dan menghormati kebebasan beragama dan beribadat”, pemerhati menyatakan tentera telah menyerang beberapa tempat Kristian dan Islam selama beberapa dekad, termasuk gereja dan masjid di Gaza.

    Dalam satu lagi kejadian yang dikecam meluas di selatan Lubnan, seorang askar Israel baru-baru ini dirakam memecahkan patung Jesus, mencetuskan kemarahan global, lapor Al Jazeera.

  • Pemuda Palestin ditembak tentera Israel di kem pelarian Qalandiya, utara Baitulmaqdis.

    Seorang pemuda ditembak oleh tentera pendudukan Israel di utara Baitulmaqdis yang diduduki, lapor agensi berita WAFA memetik Kementerian Kesihatan.

    Menurut WAFA, kementerian kesihatan menyatakan dalam siaran akhbar bahawa ia dimaklumkan oleh Pihak Berkuasa Am untuk Hal Ehwal Sivil mengenai pembunuhan Ayman Rafiq Muhammad al-Hashlamoun, 30, yang ditembak semasa serbuan di kem pelarian Qalandiya.

  • 3 maut dalam kebakaran bangunan di tenggara Perancis

    Tiga orang maut dan 50 penduduk dipindahkan selepas kebakaran berlaku pada Isnin di sebuah bangunan pangsapuri di pinggir bandar Lyon di tenggara Perancis, menurut berita Anadolu memetik laporan penyiar tempatan BFM TV.

    Seorang daripada mangsa ialah seorang lelaki yang terjun dari tingkat atas untuk melarikan diri daripada kebakaran, lapor Anadolu, 14 yang lain mengalami penyedutan asap tetapi tidak dilaporkan berada dalam keadaan mengancam nyawa.

    Kebakaran itu dilaporkan berlaku pada pagi Isnin di sebuah bangunan tujuh tingkat di komune Decines dan kemudiannya dipadamkan oleh anggota bomba.

  • Negara EU setuju mengenai sekatan terhadap peneroka Israel

    Anggota Kesatuan Eropah (EU) pada Isnin bersetuju mengenai sekatan baharu terhadap peneroka Israel atas keganasan terhadap rakyat Palestin, selepas kebuntuan selama berbulan-bulan, lapor Xinhua memetik seorang diplomat tertinggi EU.

    Ketua dasar luar EU, Kaja Kallas, berkata di X bahawa menteri luar negara anggota EU telah meluluskan langkah itu, lapor Xinhua, keputusan itu dibuat di tengah-tengah peningkatan keganasan peneroka dan pengembangan penempatan di Tebing Barat diduduki Israel.
    “Sudah tiba masanya kita beralih daripada kebuntuan kepada penyampaian,” kata Kallas.

  • 1 terbunuh dalam pertempuran di Cameroon

    Pertempuran bersenjata meletus pada Isnin di Wilayah Barat Daya Cameroon yang dilanda konflik dan berbahasa Inggeris, menyebabkan seorang terbunuh, lapor Xinhua memetik sumber keselamatan dan penduduk tempatan.

    Pertempuran meletus kira-kira jam 7 pagi waktu tempatan (0600 GMT) di Buea, ibu kota wilayah itu, antara pasukan kerajaan dan pejuang pemisah yang disyaki, kata seorang pegawai tentera, lapor Xinhua.

    “Pengganas pemisah melepaskan tembakan ke arah orang awam, membunuh seorang dan mencederakan beberapa orang lagi. Pasukan kami berjaya menghalau dan menolak mereka berundur,” kata pegawai itu kepada Xinhua.

  • 2,869 orang terbunuh dalam serangan Israel ke atas Lubnan

    Menurut Al Jazeera, Kementerian Kesihatan Lubnan mengatakan sekurang-kurangnya 2,869 orang terbunuh dalam serangan Israel sejak pertempuran bermula pada 2 Mac lalu, manakala 8,730 lagi cedera.

  • 4 maut dalam nahas pesawat kecil di destinasi pelancongan popular di Gurun Namib, Namibia

    Empat orang maut dalam nahas sebuah pesawat ringan di kawasan Sossusvlei, Namibia, menurut berita Xinhua memetik pengendali carter tempatan Desert Air pada Isnin.

    Serpihan pesawat itu, yang dilaporkan hilang pada Ahad, ditemui pada pagi Isnin di kawasan Sossusvlei, destinasi pelancongan popular di Gurun Namib, Namibia, lapor Xinhua memetik syarikat itu.

    Mangsa terbabit ialah juruterbang pesawat dan tiga penumpang di dalamnya.

    “Tiada mangsa yang terselamat,” kata Willem de Wet, ketua pegawai eksekutif Desert Air, dalam kenyataan itu, menurut Xinhua.

  • Itali kata tiada misi Hormuz sedang dijalankan meskipun pergerakan tentera laut

    Menteri pertahanan Itali berkata pada Isnin, tiada misi di Selat Hormuz sedang dijalankan, meskipun terdapat laporan pergerakan tentera laut di rantau itu, lapor Anadolu memetik agensi berita ANSA.

    “Satu perkara untuk mendekatkan kapal-kapal dan satu lagi untuk mengarahkannya terus ke Hormuz,” Guido Crosetto dilapor berkata kepada ANSA.

    Crossetto berkata, sebarang pengerahan yang berkaitan secara langsung dengan Selat Hormuz memerlukan “kelulusan misi baharu” termasuk “gencatan senjata, kemudian rangka kerja perundangan, dan akhirnya kebenaran parlimen”.

    Katanya, perbincangan mengenai isu itu akan bermula di parlimen pada Rabu.

    Menurutnya, memindahkan kapal lebih dekat ke rantau itu tidak akan dianggap sebagai misi Hormuz, tetapi sebaliknya boleh menjadi sebahagian daripada operasi sedia ada.

    Komen itu dibuat di tengah-tengah perbincangan antara negara-negara Eropah mengenai keselamatan maritim di dan sekitar Selat Hormuz berikutan ketegangan di Timur Tengah.

  • 3 askar Israel cedera akibat dron letupan di selatan Lubnan

    Tiga askar Israel cedera ringan akibat dron letupan di selatan Lubnan, menurut berita Anadolu memetik laporan Channel 12 Israel pada Isnin.

    Mereka dibawa ke hospital untuk menerima rawatan, Anadolu memetik saluran itu.

    Perkembangan itu berlaku ketika tentera Israel meneruskan serangan harian di Lubnan dan berbalas tembakan dengan Hizbullah meskipun gencatan senjata telah diumumkan pada 17 April dan dilanjutkan sehingga 17 Mei, lapor Anadolu.

  • Israel tuntut tentera AS tinggalkan Lapangan Terbang Ben Gurion

    Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Israel (CAA) menggesa kerajaan untuk mengalihkan pesawat tentera AS dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ben Gurion dekat Tel Aviv, memberi amaran bahawa kehadiran mereka mengganggu sektor penerbangan awam negara itu dengan teruk, menurut berita Xinhua memetik harian bisnes Israel, Calcalist dan Channel 12 News melaporkan pada Isnin.

    Dilaporkan, permintaan itu disampaikan dalam surat daripada Ketua Pengarah CAA, Shmuel Zakay, kepada Menteri Pengangkutan, Miri Regev.

    Menurut Xinhua, jurucakap menteri itu mengesahkan kepadanya, surat itu telah diterima dan mengesahkan kandungannya.

    Dalam surat itu, Zakay dilapor berkata lapangan terbang itu secara efektifnya telah “menjadi lapangan terbang tentera Amerika” merosakkan operasi syarikat penerbangan dan melambatkan kembalinya syarikat penerbangan asing ke Israel.

    Dia dilapor menyeru agar pesawat AS dipindahkan ke pangkalan tentera udara Israel dan Lapangan Terbang Ramon dekat bandar selatan Eilat.

    Sementara itu, sebuah helikopter tentera Israel terpaksa kekal di darat (seketika) di selatan Lubnan pada Isnin kerana kerosakan teknikal, menurut Xinhua memetik tentera.

    Insiden itu dilaporkan berlaku semasa misi pemindahan Tentera Udara Israel selepas Hizbullah menyasarkan tentera di selatan Lubnan dengan dron letupan.

    Pihak tentera berkata helikopter kedua telah dihantar untuk memindahkan tentera yang cedera. Anggota tentera udara kemudiannya membaiki kerosakan itu, dan helikopter pertama berlepas dengan selamat.

    Helikopter itu tidak kena tembakan Hizbullah, lapor Xinhua memetik tentera.

  • Dua dilapor terbunuh dalam serangan Israel ke atas Abba di selatan Lubnan

    Dua terbunuh dan lima cedera dalam serangan udara Israel ke atas pekan Abba, selatan Lubnan, menurut berita Al Jazeera yang memetik laporan Agensi Berita Nasional (NNA).

    Pesawat perang juga dilaporkan memperbaharui serbuan mereka ke atas pekan Kfar Remman, juga di selatan Lubnan, buat kali kedua dalam masa kurang dari sejam.

  • Thaksin Shinawatra dibebaskan dari penjara

    Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra dibebaskan dari penjara di Bangkok selepas menghabiskan lapan bulan hukuman penjara satu tahun di sana atas tuduhan berkaitan rasuah, lapor berita Al Jazeera.

    Beratus-ratus orang, termasuk keluarga dan sekutu politik jutawan berusia 76 tahun itu dilapor menyambutnya pada Isnin, sambil melaungkan, “Kami sayang Thakisn” ketika dia meninggalkan Penjara Pusat Klong Prem.

    Dengan rambutnya dipotong rapat dan dalam kemeja putih ringkas, Thaksin dilapor keluar dari penjara kira-kira jam 7:40 pagi waktu tempatan (00:40 GMT) dan serta-merta dikelilingi oleh ahli keluarga, termasuk anak perempuannya, Paetongtarn Shinawatra, yang dipecat sebagai perdana menteri atas perintah mahkamah pada Ogos tahun lalu, beberapa minggu sebelum pemenjaraannya.

    Dia tersenyum lebar sambil berjalan untuk menyambut penyokongnya, tetapi beredar tanpa bercakap dengan wartawan.

    Thaksin telah berkhidmat sebagai perdana menteri dari 2001 sehingga rampasan kuasa tentera menggulingkannya pada 2006, semasa dia berada di luar negara.

    Dilaporkan, sebuah panel Kementerian Kehakiman bulan lalu bersetuju untuk memberikannya parol sebagai sebahagian daripada semakan lebih 900 kes banduan layak, dengan memetik tingkah laku baiknya di penjara, usianya dan risiko rendah dia akan mengulangi kesalahannya.

    Menurut jabatan pembetulan, Thaksin dikehendaki memakai monitor buku lali elektronik untuk baki hukumannya, lapor Al Jazeera.

  • Tentera Israel ‘bergelut’ untuk menentang dron FPV Hizbullah

    Menurut berita Al Jazeera, The Jerusalem Post melaporkan, tentera Israel bergelut untuk bertindak balas terhadap dron Pandangan Orang Pertama (FPV) dilancarkan oleh Hizbullah.

    Kumpulan bersenjata Lubnan itu dilapor menggunakan benang gentian optik khas yang ditambat pada dron untuk membimbing mereka secara manual dan mengelak daripada peranti gangguan Israel.

    Menurut Al Jazeera, The Jerusalem Post menyatakan Hizbullah telah mengeluarkan rakaman dron FPV yang menyerang bateri Iron Dome di sempadan utara pada Ahad.

  • Master sarjan Israel dilapor terbunuh dekat sempadan Lubnan

    Tentera Israel mengumumkan kematian seorang master sarjan semasa operasi pertempuran dekat sempadan dengan Lubnan, menurut berita Anadolu memetik laporan Asharq News awal Isnin.

    Tentera itu dilapor berkata, askar terbabit terbunuh dalam serangan dron pada Ahad di utara Israel.

    Tentera itu dalam kenyataan mengenal pasti askar terbabit sebagai Sarjan Utama Alexander Glovanyov, 47, dan berkata dia terbunuh selepas kumpulan Hizbullah melancarkan beberapa dron sarat bahan letupan ke arah kawasan dekat sempadan Lubnan, lapor Anadolu memetik beberapa saluran media Israel.

  • Dua Lipa dilapor saman Samsung $15 juta kerana didakwa guna imejnya untuk jual TV

    Bintang pop British, Dua Lipa memfailkan saman terhadap Samsung Electronics untuk menuntut ganti rugi sekurang-kurangnya $15 juta, menuduh gergasi teknologi Korea Selatan itu menggunakan imejnya tanpa kebenaran untuk memasarkan set televisyennya, menurut berita Reuters.

    Menurut Reuters, saman itu mendakwa Samsung memaparkan imej hak cipta bintang pop itu di bahagian hadapan kotak kadbod yang mengandungi televisyen untuk jualan runcit, membolehkan syarikat itu mendapat manfaat daripada apa yang kelihatan seperti sokongannya terhadap produk terbabit.

  • 6 dilaporkan ditemui mati di dalam kereta kotak di Texas

    Enam mayat ditemui di dalam kereta kotak di Texas pada Ahad, kata polis, menurut berita Xinhua.

    Mayat terbabit ditemui di sebuah limbungan tren di lokasi terpencil dekat sempadan Mexico, lapor Xinhua, siasatan telah dilancarkan mengenai perkara itu.

  • Trump ulas respons Iran terhadap rancangan AS untuk menamatkan perang

    Presiden AS dilapor mengulas secara terus mengenai respons Iran terhadap cadangan AS untuk menamatkan perang.

    “Saya baru sahaja membaca respons daripada apa yang dipanggil ‘Representatif’ Iran. Saya tidak menyukainya — SAMA SEKALI TIDAK BOLEH DITERIMA! Terima kasih atas perhatian anda terhadap perkara ini. Presiden DONALD J. TRUMP,” tulis presiden itu di platform Truth Social, menurut berita Al Jazeera.

    Menurut Al Jazeera, media Iran sebelum ini mengatakan bahawa respons telah disampaikan melalui pengantara Pakistan hari ini (Ahad).

  • Mayat askar AS yang hilang ditemui di Maghribi

    Pasukan pencari menemui mayat seorang askar AS yang hilang dekat tebing semasa latihan di Cap Draa, Maghribi, menurut berita Reuters memetik Tentera AS pada Ahad.

    Pencari Maghribi menemui mayat terbabit pada Sabtu di dalam air dalam jarak satu batu (1.6 km) dari tempat askar itu hilang pada 2 Mei, kata Tentera AS dalam satu kenyataan, menurut Reuters, tentera mengenal pasti dia sebagai Leftenan Pertama Kendrick Lamont Key Jr, seorang ketua platun dalam unit artileri.

    Seorang askar kedua masih hilang dan operasi pencarian diteruskan, lapor Reuters memetik tentera.

  • Menteri pertahanan Latvia letak jawatan selepas dron Ukraine hentam tangki minyak

    Menteri Pertahanan Latvia ‌Andris Spruds meletak jawatan pada Ahad, selepas dua dron Ukraine pada Khamis terbang masuk dari Rusia dan menghentam kemudahan penyimpanan minyak, lapor Reuters.

    Terdahulu pada Ahad, Perdana Menteri Latvia Evika Silina menuntut peletakan jawatan itu, mengatakan sistem anti-dron ​tidak digunakan dengan cukup pantas, menurut Reuters, dia melantik ​kolonel tentera Latvia Raivis Melnis sebagai menteri pertahanan baharu.

    Latvia dan Lithuania pada Khamis menggesa NATO ​untuk meningkatkan pertahanan udara di rantau mereka ​selepas dua dron datang melepasi sempadan Rusia dan meletup di sebuah kemudahan penyimpanan minyak di Latvia, menurut Reuters.

    Menurut agensi berita itu, Menteri Luar Ukraine Andrii Sybiha pada Ahad berkata di X bahawa dron terbabit adalah (​milik) Ukraine, dan ​terbang ke Latvia akibat “peperangan elektronik Rusia sengaja mengalihkan ​dron ​Ukraine daripada sasaran mereka di Rusia”.

  • Netanyahu kata perang AS-Israel ke atas Iran ‘belum tamat’

    Perdana Menteri Israel dilapor berkata, bahan nuklear, tapak pengayaan dan proksi Iran perlu dibongkarkan sebelum perang dapat berakhir.

    “Kami telah merosakkan banyak daripadanya, tetapi semua itu masih ada, jadi masih ada kerja yang perlu dilakukan,” kata Benjamin Netanyahu kepada CBS, menurut berita Al Jazeera.

    Apabila ditanya secara spesifik mengenai bagaimana AS dan Israel akan mengeluarkan bahan nuklear, perdana menteri itu berkata: “Anda bertanya kepada saya soalan-soalan ini, saya akan mengelaknya.”

    “Saya tidak akan memberikan jadual waktu untuknya,” katanya.

  • Kapal pengangkut pesawat AS meninggalkan pelabuhan asalnya di Yokosuka, Jepun

    Kapal pengangkut pesawat berkuasa nuklear AS, George Washington, meninggalkan pelabuhan asalnya di Yokosuka, selatan Tokyo, pada Ahad, menurut berita Xinhua memetik laporan media tempatan.

    Kapal pengangkut pesawat itu menjalani penyelenggaraan di pangkalan itu selepas menyertai latihan pelbagai hala pada Disember 2025. Perlepasan pada Ahad kemungkinan besar untuk ujian laut, menurut Xinhua memetik Kyodo News.

    George Washington ditempatkan di pangkalan tentera laut AS di Yokosuka sejak November 2024, kali kedua ia dikerahkan di bandar itu. Ia sebelum ini telah ditempatkan di sana dari 2008 hingga 2015.

  • 1 terbunuh, 7 cedera dalam nahas bas sekolah di Rusia

    Seorang kanak-kanak terbunuh dan tujuh lagi cedera dalam nahas jalan raya yang membabitkan sebuah bas sekolah dan sebuah trak di wilayah Omsk, Rusia pada Ahad, lapor Xinhua.

    Kemalangan itu berlaku dekat tanda 519 km lebuh raya Tyumen-Omsk apabila sebuah bas GAZelle yang membawa lapan kanak-kanak berlanggar dengan sebuah trak tugas berat, menurut jabatan hal ehwal dalaman serantau, lapor Xinhua.

    Seorang kanak-kanak meninggal dunia di tempat kejadian dan tujuh kanak-kanak dimasukkan ke hospital, lapor Xinhua memetik pejabat pendakwa raya serantau.

  • 2 paramedik terbunuh dalam serangan Israel di selatan Lubnan

    Sekurang-kurangnya dua orang paramedik terbunuh dan lima orang cedera dalam serangan Israel yang menurut Kementerian Kesihatan Lubnan menyasarkan secara langsung dua pusat tindak balas kecemasan di daerah Bint Jbeil, lapor Al Jazeera.

    Seorang paramedik terbunuh dan tiga orang cedera dalam serbuan Israel di Qalawiya manakala seorang lagi paramedik terbunuh dan dua orang cedera di Tibnin.

    Menurut Al Jazeera, kementerian itu, yang dipetik oleh Agensi Berita Nasional (NNA) berkata: “Musuh Israel terus melanggar undang-undang antarabangsa dan norma kemanusiaan, menambah lagi jenayah terhadap paramedik.”

  • Tiada korban dilaporkan dalam serangan dron ke atas UAE

    UAE berkata pertahanan udaranya memintas dua dron, menurut berita Al Jazeera, namun tiada laporan korban.

  • Mengadakan rundingan tidak bermakna menyerah kalah – Presiden Iran

    Presiden Iran Masoud Pezeshkian berkata rundingan tidak bermakna menyerah kalah, mengulangi pendirian Tehran dalam mempertahankan kepentingan negara Iran dan hak rakyat Iran, lapor Al Jazeera.

    “Matlamatnya adalah untuk merealisasikan hak rakyat Iran dan mempertahankan kepentingan negara dengan penuh kuasa,” Pezeshkian dilapor berkata pada mesyuarat mengenai pembinaan semula pasca perang.