• Mayat askar AS yang hilang ditemui di Maghribi

    Pasukan pencari menemui mayat seorang askar AS yang hilang dekat tebing semasa latihan di Cap Draa, Maghribi, menurut berita Reuters memetik Tentera AS pada Ahad.

    Pencari Maghribi menemui mayat terbabit pada Sabtu di dalam air dalam jarak satu batu (1.6 km) dari tempat askar itu hilang pada 2 Mei, kata Tentera AS dalam satu kenyataan, menurut Reuters, tentera mengenal pasti dia sebagai Leftenan Pertama Kendrick Lamont Key Jr, seorang ketua platun dalam unit artileri.

    Seorang askar kedua masih hilang dan operasi pencarian diteruskan, lapor Reuters memetik tentera.

  • Menteri pertahanan Latvia letak jawatan selepas dron Ukraine hentam tangki minyak

    Menteri Pertahanan Latvia ‌Andris Spruds meletak jawatan pada Ahad, selepas dua dron Ukraine pada Khamis terbang masuk dari Rusia dan menghentam kemudahan penyimpanan minyak, lapor Reuters.

    Terdahulu pada Ahad, Perdana Menteri Latvia Evika Silina menuntut peletakan jawatan itu, mengatakan sistem anti-dron ​tidak digunakan dengan cukup pantas, menurut Reuters, dia melantik ​kolonel tentera Latvia Raivis Melnis sebagai menteri pertahanan baharu.

    Latvia dan Lithuania pada Khamis menggesa NATO ​untuk meningkatkan pertahanan udara di rantau mereka ​selepas dua dron datang melepasi sempadan Rusia dan meletup di sebuah kemudahan penyimpanan minyak di Latvia, menurut Reuters.

    Menurut agensi berita itu, Menteri Luar Ukraine Andrii Sybiha pada Ahad berkata di X bahawa dron terbabit adalah (​milik) Ukraine, dan ​terbang ke Latvia akibat “peperangan elektronik Rusia sengaja mengalihkan ​dron ​Ukraine daripada sasaran mereka di Rusia”.

  • Netanyahu kata perang AS-Israel ke atas Iran ‘belum tamat’

    Perdana Menteri Israel dilapor berkata, bahan nuklear, tapak pengayaan dan proksi Iran perlu dibongkarkan sebelum perang dapat berakhir.

    “Kami telah merosakkan banyak daripadanya, tetapi semua itu masih ada, jadi masih ada kerja yang perlu dilakukan,” kata Benjamin Netanyahu kepada CBS, menurut berita Al Jazeera.

    Apabila ditanya secara spesifik mengenai bagaimana AS dan Israel akan mengeluarkan bahan nuklear, perdana menteri itu berkata: “Anda bertanya kepada saya soalan-soalan ini, saya akan mengelaknya.”

    “Saya tidak akan memberikan jadual waktu untuknya,” katanya.

  • Kapal pengangkut pesawat AS meninggalkan pelabuhan asalnya di Yokosuka, Jepun

    Kapal pengangkut pesawat berkuasa nuklear AS, George Washington, meninggalkan pelabuhan asalnya di Yokosuka, selatan Tokyo, pada Ahad, menurut berita Xinhua memetik laporan media tempatan.

    Kapal pengangkut pesawat itu menjalani penyelenggaraan di pangkalan itu selepas menyertai latihan pelbagai hala pada Disember 2025. Perlepasan pada Ahad kemungkinan besar untuk ujian laut, menurut Xinhua memetik Kyodo News.

    George Washington ditempatkan di pangkalan tentera laut AS di Yokosuka sejak November 2024, kali kedua ia dikerahkan di bandar itu. Ia sebelum ini telah ditempatkan di sana dari 2008 hingga 2015.

  • 1 terbunuh, 7 cedera dalam nahas bas sekolah di Rusia

    Seorang kanak-kanak terbunuh dan tujuh lagi cedera dalam nahas jalan raya yang membabitkan sebuah bas sekolah dan sebuah trak di wilayah Omsk, Rusia pada Ahad, lapor Xinhua.

    Kemalangan itu berlaku dekat tanda 519 km lebuh raya Tyumen-Omsk apabila sebuah bas GAZelle yang membawa lapan kanak-kanak berlanggar dengan sebuah trak tugas berat, menurut jabatan hal ehwal dalaman serantau, lapor Xinhua.

    Seorang kanak-kanak meninggal dunia di tempat kejadian dan tujuh kanak-kanak dimasukkan ke hospital, lapor Xinhua memetik pejabat pendakwa raya serantau.

  • 2 paramedik terbunuh dalam serangan Israel di selatan Lubnan

    Sekurang-kurangnya dua orang paramedik terbunuh dan lima orang cedera dalam serangan Israel yang menurut Kementerian Kesihatan Lubnan menyasarkan secara langsung dua pusat tindak balas kecemasan di daerah Bint Jbeil, lapor Al Jazeera.

    Seorang paramedik terbunuh dan tiga orang cedera dalam serbuan Israel di Qalawiya manakala seorang lagi paramedik terbunuh dan dua orang cedera di Tibnin.

    Menurut Al Jazeera, kementerian itu, yang dipetik oleh Agensi Berita Nasional (NNA) berkata: “Musuh Israel terus melanggar undang-undang antarabangsa dan norma kemanusiaan, menambah lagi jenayah terhadap paramedik.”

  • Tiada korban dilaporkan dalam serangan dron ke atas UAE

    UAE berkata pertahanan udaranya memintas dua dron, menurut berita Al Jazeera, namun tiada laporan korban.

  • Mengadakan rundingan tidak bermakna menyerah kalah – Presiden Iran

    Presiden Iran Masoud Pezeshkian berkata rundingan tidak bermakna menyerah kalah, mengulangi pendirian Tehran dalam mempertahankan kepentingan negara Iran dan hak rakyat Iran, lapor Al Jazeera.

    “Matlamatnya adalah untuk merealisasikan hak rakyat Iran dan mempertahankan kepentingan negara dengan penuh kuasa,” Pezeshkian dilapor berkata pada mesyuarat mengenai pembinaan semula pasca perang.

  • Kuwait kata ‘dron musuh’ dikesan di ruang udaranya

    Kementerian Pertahanan Kuwait berkata “sebilangan dron musuh” dikesan di ruang udara negara itu pada waktu fajar, lapor Al Jazeera.

    Menurut Al Jazeera, seorang jurucakap dalam satu catatan di X berkata, dron itu ditangani “mengikut prosedur yang ditetapkan”.

  • 2 terbunuh dalam serangan Israel di Khan Younis

    Serangan Israel di Gaza berterusan walaupun “gencatan senjata” sedang dijalankan, dengan sebuah dron menyasarkan sebuah kenderaan di Khan Younis, membunuh sekurang-kurangnya dua orang, lapor Al Jazeera.

    Perkhidmatan polis enklaf itu berkata serangan ke atas al-Amal di barat Khan Younis telah membunuh Wissam Fayez Abdel-Hadi dan Fadi Abdel-Moati Heikal.

  • Ketua ibu pejabat tentera bersama Iran kata bersedia tahap tinggi untuk tindakan bermusuhan AS-Israel

    Ali Abdollahi, ketua komander perintah utama tentera Iran, Ibu Pejabat Pusat Khatam al-Anbiya, berkata angkatan tentera Iran bersedia tahap tinggi untuk tindakan bermusuhan oleh AS dan Israel, menurut berita Xinhua memetik agensi berita separa rasmi Iran, Fars, pada Ahad.

    Abdollahi membuat kenyataan itu dalam satu pertemuan dengan Pemimpin Agung Mojtaba Khamenei, Xinhua memetik laporan itu.

  • Ukraine lapor pertempuran medan perang, serangan dron meskipun gencatan senjata – Reuters

    Pegawai Ukraine melaporkan pada Ahad serangan dron Rusia dan hampir 150 pertempuran medan perang sepanjang 24 jam lalu meskipun gencatan senjata antara Kyiv dan Moscow, menurut berita Reuters.

    Seorang terbunuh dan tiga cedera dalam serangan Rusia ke atas wilayah tenggara Zaporizhzhia Ukraine, kata gabenor Ivan Fedorov pada pagi Ahad, menurut Reuters.

    Menurut Reuters, di wilayah timur laut Kharkiv, gabenor Oleh Syniehubov berkata lapan orang termasuk dua kanak-kanak cedera dalam serangan dron di ibu kota wilayah dan penempatan berdekatan.

    Tujuh orang termasuk seorang kanak-kanak cedera di wilayah selatan Kherson oleh serangan dron dan artileri Rusia sejak awal Sabtu, kata gabenor wilayah Oleksandr Prokudin pada Ahad, menurut Reuters.

    Seorang kanak-kanak juga cedera dan infrastruktur rosak dalam serangan Rusia di wilayah tenggara Dnipropetrovsk, kata ketua wilayah Oleksandr Hanzha, lapor Reuters.

    Menurut Reuters, secara berasingan, tentera udara Kyiv berkata Rusia telah melancarkan 27 dron jarak jauh di Ukraine semalaman – jumlah yang lebih rendah daripada biasa – tetapi pertahanan udara telah menembak jatuh semuanya.

    Dalam laporan paginya, Staf Am Ukraine berkata 147 pertempuran telah berlaku di sepanjang barisan hadapan, lapor Reuters.

  • Aktivis flotila Gaza ‘terbang bebas ke arah Sepanyol’

    Menteri Luar Sepanyol Jose Manuel Albares berkata Saif Abu Keshek, aktivis Sepanyol yang diculik oleh Israel dari flotila bantuan yang menuju ke Gaza, kini dalam perjalanan pulang, lapor Al Jazeera.

    “Rakan senegara kita Saif Abukeshek sudah pun terbang bebas ke arah Sepanyol, di mana dia akan bersatu semula dengan keluarga dan orang tersayang dalam beberapa jam akan datang,” Albares dilapor membuat catatan di X.

    “Melindungi rakyat Sepanyol adalah keutamaan mutlak,” katanya.

    Menurut Al Jazeera, Abu Keshek diculik oleh tentera Israel pada 30 April dari sebuah vesel yang merupakan sebahagian daripada Flotila Sumud Global bersama aktivis Brazil Thiago Avila.

  • Kapal pengangkut pukal dihentam projektil tidak diketahui dekat Qatar

    Sebuah kapal pengangkut pukal dilaporkan dilanda oleh projektil yang tidak diketahui semasa belayar 23 batu nautika di timur laut Doha, Qatar, lapor Reuters memetik Operasi Perdagangan Maritim UK (UKMTO) pada Ahad.

    Insiden itu mencetuskan kebakaran kecil yang berjaya dipadamkan, dengan kapten kapal melaporkan tiada kecederaan atau kesan alam sekitar, kata UKMTO, menurut Reuters.

  • Serangan dron Israel membunuh 2 rakyat Syria di Lubnan

    Menurut Al Jazeera, Agensi Berita Nasional (NNA) melaporkan, pasukan Israel telah melancarkan serangan dron ke atas sebuah motosikal di jalan utama di antara Qlailah dan Deir Qanoun, membunuh dua warga Syria.

    “Pasukan Pertahanan Awam sedang berusaha untuk menemukan mayat-mayat terbabit dengan kerjasama Tentera Lubnan,” menurut laporan itu.

    Serangan itu menyusuli serbuan udara di pekan-pekan Chaqra dan Safad al-Battikh dan perobohan rumah-rumah di kampung dan pekan barisan hadapan, terutama di bandar Bint Jbeil dan pekan Tayri.

    Al Jazeera memetik NNA, pasukan Israel juga melakukan serangan udara ke atas pekan Srifa pada waktu fajar.

  • Tentera Israel dakwa serang lebih 40 sasaran Hizbullah di Lubnan

    Tentera Israel mengatakan ia telah menyerang lebih 40 tapak infrastruktur milik Hizbullah di selatan Lubnan pada hujung minggu, lapor Al Jazeera.

    Menurut Al Jazeera, ia berkata dalam satu kenyataan di X, pasukannya juga membunuh 10 pejuang Hizbullah di selatan Lubnan, sambil menambah bahawa kemudahan penyimpanan senjata dan pelancar adalah antara sasaran yang dilanda.

    Menurut Al Jazeera juga, pihak berkuasa Lubnan mengatakan pasukan Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 24 orang pada Sabtu sahaja.
    Seorang saksi serangan di Saksakiyeh, di mana serangan membunuh sekurang-kurangnya tujuh orang dan mencederakan 17 yang lain, berkata mangsa adalah orang yang kehilangan tempat tinggal dan termasuk kanak-kanak, lapor Al Jazeera.

  • 12 anggota polis Pakistan terbunuh dalam pengeboman kereta

    Dua belas anggota polis maut selepas pengeboman kereta di sebuah pos polis di barat laut Pakistan diikuti dengan pertempuran dengan militan di bandar Bannu, menurut laporan Reuters memetik seorang pegawai kanan polis pada Ahad.

  • Israel usir dua aktivis yang ditahan berhubung flotila menuju ke Gaza

    Israel mengusir dua aktivis, warga Sepanyol Saif Abu Keshek dan Thiago Avila dari Brazil, pada Ahad selepas menangkap mereka di atas flotila yang menuju ke Gaza di perairan antarabangsa, lapor Reuters memetik kementerian luar.

    Aktivis terbabit adalah sebahagian daripada Flotila Sumud Global kedua yang dilancarkan dari Sepanyol pada 12 April untuk cuba memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza dengan menghantar bantuan ke kawasan terbabit.

    Mereka ditahan oleh pihak berkuasa Israel pada 29 April dan dibawa ke Israel, lapor Reuters.

    Menurut Reuters, Kementerian Luar Israel berkata Abu Keshek disyaki bersekutu dengan sebuah organisasi pengganas dan Avila disyaki melakukan aktiviti haram; kedua-duanya menafikan dakwaan terbabit, dengan mengatakan bahawa mereka sedang dalam misi kemanusiaan untuk penduduk awam Gaza dan penangkapan mereka di perairan antarabangsa adalah menyalahi undang-undang.

  • “Saya fikir Iran adalah musuh kita tapi bukan musuh paling bahaya. Musuh paling bahaya adalah dalaman” – peserta perhimpunan rakyat Israel menentang kerajaan

    Berpuluh-puluh rakyat Israel memprotes di Tel Aviv semalaman menentang kerajaan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan serangan berterusan ke atas selatan Lubnan, menurut berita Al Jazeera.

    Pilihan raya umum dijangka akan diadakan lewat tahun ini, di tengah-tengah perang ke atas Iran dan Lubnan, dan ketegangan dalaman, sesetengah melibatkan ahli komuniti Yahudi ultra-Ortodoks yang enggan mendaftar dalam tentera, lapor Al Jazeera.

    “Saya di sini untuk membantah kerajaan, yang merupakan satu bencana. Kerajaan kita sedang menuju ke arah yang salah. Mereka menyuapkan orang ramai dengan berita palsu, dengan pembohongan, yang kita semua lawan,” kata David Alkan, seorang pesara berusia 83 tahun, kepada Reuters, menurut Al Jazeera.

    “Saya fikir Iran adalah musuh kita, tetapi bukan musuh yang paling berbahaya. Musuh yang paling berbahaya adalah dalaman; ialah mereka yang enggan pergi ke tentera dan tidak bekerja dan tidak membayar cukai, dan adalah parasit, dan hidup berdasarkan cukai pendapatan kita,” katanya.

    Satu video acara itu menunjukkan sesetengah peserta protes membawa papan tanda yang tertulis, “hentikan genosid”, “lupakan tujuh Oktober”, dan “Bibi Escobar”, nama panggilan Netanyahu dengan nama keluarga Pablo Escobar, bekas ketua kartel dan ketua dadah Colombia, lapor Al Jazeera.

  • 11 cedera dalam letupan bot dekat Miami, Florida AS

    Sekurang-kurangnya 11 orang cedera pada Sabtu dalam letupan bot dekat Miami, negeri Florida AS, kata pihak berkuasa, menurut berita Xinhua.

    Sebuah vesel sewa sedang membawa penumpang di Teluk Biscayne dekat Haulover Sandbar apabila satu letupan berlaku di atas bot, kata Melissa Brevik, jurucakap Suruhanjaya Pemuliharaan Ikan dan Hidupan Liar Florida, lapor Xinhua.

    Penyelamat Bomba Miami-Dade dilapor berkata, ia menerima laporan mengenai “kemungkinan letupan bot” pada jam 12:48 tengah hari Waktu Timur (1648 GMT) dekat beting pasir, tarikan pelancong popular dekat Miami Beach.

    Setibanya di tempat kejadian, responder kecemasan menemui ramai pesakit yang memerlukan rawatan perubatan dan membawa mereka yang cedera ke hospital tempatan, kata agensi itu dalam satu kenyataan, lapor Xinhua.

    Punca letupan itu tidak diketahui. Pihak berkuasa berkata siasatan sedang dijalankan.

  • 15 terbunuh dalam serangan Israel di selatan Lubnan

    Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh dalam satu siri serangan udara Israel di selatan Lubnan pada Sabtu, lapor Xinhua memetik sumber rasmi Lubnan.

    Sekurang-kurangnya seorang kanak-kanak adalah antara mereka yang terbunuh dan beberapa kanak-kanak adalah antara mereka yang cedera dalam serangan itu, Xinhua memetik Kementerian Kesihatan Lubnan dan Agensi Berita Kebangsaan (NNA).

    Tentera Israel pada pagi Sabtu mengarahkan penduduk di pekan-pekan selatan Lubnan untuk berpindah sebelum menjalankan serangan udara dan merobohkan rumah, menurut Xinhua.

    Sementara itu, Hizbullah berkata ia melancarkan tembakan roket bertubi-tubi semalaman yang menyasarkan perhimpunan kenderaan tentera Israel dan askar di sepanjang sempadan Lubnan-Israel, sebagai tindak balas terhadap pelanggaran gencatan senjata Israel.

    Menurut Xinhua, penggubal undang-undang Hizbullah, Hassan Fadlallah, berkata kumpulan itu berada dalam “kedudukan pertahanan” terhadap “pencerobohan” Israel dan memberi amaran bahawa Israel harus menjangkakan tindak balas setiap kali ia menyasarkan kampung-kampung Lubnan atau pinggir bandar selatan Beirut.

    Berbalas tembakan itu berlaku walaupun gencatan senjata antara Israel dan Lubnan yang berkuat kuasa bulan lalu susulan pertempuran rentas sempadan selama berminggu-minggu yang berkaitan dengan ketegangan serantau lebih luas yang dicetuskan oleh serangan AS-Israel ke atas Iran.

  • IRGC beri amaran kepada AS terhadap serangan ke atas vesel

    Tentera Laut Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran memberi amaran pada Sabtu bahawa sebarang “pencerobohan” terhadap vesel tangki minyak dan vesel komersial Iran akan mengakibatkan serangan berat terhadap satu daripada pusat tentera AS di rantau itu dan kapal “musuh”, menurut berita Xinhua.

    Menurut Xinhua, kenyataan itu dikeluarkan dalam satu catatan di X, susulan pertempuran sporadis yang meletus antara Iran dan AS di dan sekitar Selat Hormuz pada Khamis dan Jumaat.

    Iran mengetatkan kawalan ke atas Selat Hormuz bermula 28 Februari, apabila ia menghalang laluan kapal milik atau bersekutu dengan Israel dan AS selepas kedua-dua negara melancarkan serangan bersama ke atas wilayah Iran.

    AS juga telah mengenakan sekatan tentera laut di selat itu, menghalang kapal ke dan dari pelabuhan Iran daripada melalui laluan air terbabit, lapor Xinhua, tentera AS telah menyerang beberapa kapal dan kapal tangki minyak Iran sejak beberapa hari lalu.

    Menurut Xinhua, dalam catatan lain di X, Bahagian Aeroangkasa IRGC berkata peluru berpandu dan dronnya telah mengunci sasaran AS di rantau itu dan kapal “musuh yang agresif”.

    “Kami sedang menunggu arahan untuk menembak,” katanya.

  • Gempa bumi 5.8 magnitud landa dekat pantai tengah Chile – GFZ

    Gempa bumi berukuran 5.8 magnitud menggegarkan dekat pantai tengah Chile pada 0234 GMT Ahad, kata Pusat Penyelidikan Geosains Jerman GFZ, menurut berita Xinhua.

    Pusat gempa, dengan kedalaman 10.0 km, pada mulanya ditentukan berada pada 37.70 darjah latitud selatan dan 73.19 darjah longitud barat.

  • 2 terbunuh dalam serangan tentera AS ke atas bot didakwa bot dadah di timur Pasifik

    Perintah Selatan AS berkata pasukan AS menyerang dan menenggelamkan sebuah bot yang didakwa mengedar dadah di timur Pasifik pada Jumaat, membunuh dua orang dan meninggalkan seorang terselamat, lapor Xinhua.

    Menurut Xinhua, perintah itu dalam satu catatan di media sosial berkata, vesel itu “dikendalikan oleh organisasi pengganas yang ditetapkan”, mendakwa bahawa perisikan AS telah “mengesahkan vesel itu sedang transit di laluan pengedaran dadah yang diketahui di timur Pasifik dan terlibat dalam operasi pengedaran dadah”.

    “Dua pengganas dadah lelaki terbunuh semasa tindakan ini, dan seorang terselamat dalam serangan itu,” kata perintah itu, sambil menambah bahawa tiada pasukan tentera AS yang cedera.

    Sejak awal September, tentera AS telah menjalankan lebih daripada 50 serangan udara maut yang diketahui ke atas bot disyaki mengedar dadah, meragut hampir 200 nyawa secara keseluruhan, menurut Xinhua.

  • Gencatan senjata Gaza hanya pada nama

    Mereka menggelarnya sebagai gencatan senjata. Tetapi bagi penduduk di Gaza, perang tidak pernah berakhir.

    Pengeboman berterusan. Keluarga masih kehilangan tempat tinggal. Keperluan asas masih tidak dapat dicapai.

    “Mereka mengatakan perang telah berakhir. Tetapi ia tidak berakhir,” kata Bisan Owda dari Gaza, di mana kehidupan seharian masih dibentuk oleh kemusnahan dan ketidakpastian – daripada kanak-kanak yang berjalan kaki ke sekolah di bawah tembakan kepada keluarga yang tinggal di dalam khemah di atas runtuhan rumah mereka, lapor Al Jazeera.

    Dan di pinggir semua itu, laut kekal sebagai satu daripada beberapa tempat yang boleh dikunjungi orang ramai untuk bernafas di Gaza.

    “Israel tidak boleh memusnahkan laut,” kata Bisan.