Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh dalam satu siri serangan udara Israel di selatan Lubnan pada Sabtu, lapor Xinhua memetik sumber rasmi Lubnan.
Sekurang-kurangnya seorang kanak-kanak adalah antara mereka yang terbunuh dan beberapa kanak-kanak adalah antara mereka yang cedera dalam serangan itu, Xinhua memetik Kementerian Kesihatan Lubnan dan Agensi Berita Kebangsaan (NNA).
Tentera Israel pada pagi Sabtu mengarahkan penduduk di pekan-pekan selatan Lubnan untuk berpindah sebelum menjalankan serangan udara dan merobohkan rumah, menurut Xinhua.
Sementara itu, Hizbullah berkata ia melancarkan tembakan roket bertubi-tubi semalaman yang menyasarkan perhimpunan kenderaan tentera Israel dan askar di sepanjang sempadan Lubnan-Israel, sebagai tindak balas terhadap pelanggaran gencatan senjata Israel.
Menurut Xinhua, penggubal undang-undang Hizbullah, Hassan Fadlallah, berkata kumpulan itu berada dalam “kedudukan pertahanan” terhadap “pencerobohan” Israel dan memberi amaran bahawa Israel harus menjangkakan tindak balas setiap kali ia menyasarkan kampung-kampung Lubnan atau pinggir bandar selatan Beirut.
Berbalas tembakan itu berlaku walaupun gencatan senjata antara Israel dan Lubnan yang berkuat kuasa bulan lalu susulan pertempuran rentas sempadan selama berminggu-minggu yang berkaitan dengan ketegangan serantau lebih luas yang dicetuskan oleh serangan AS-Israel ke atas Iran.




























