• Lubnan minta kedutaan Ukraine serah suspek ejen Mossad

    Lubnan meminta kedutaan Ukraine di Beirut untuk menyerahkan seorang lelaki yang berlindung di sana yang disyaki bekerja dengan agensi perisikan Mossad Israel, kata seorang pegawai keselamatan yang tidak dinamakan dan sumber Hizbullah kepada agensi berita AFP, menurut Aljazeera.

    Sumber Hizbullah berkata, ia menahan seorang warga Syria-Palestin, yang juga memegang kewarganegaraan Ukraine, pada September selepas dia meletakkan motosikal di jalan menuju ke lapangan terbang Beirut.

    Motosikal itu “ditanam dengan alat letupan yang disamarkan sebagai bateri”, kata sumber itu, meminta untuk tidak dinamakan untuk membincangkan isu keselamatan. Hizbullah menahan lelaki itu sehingga perangnya dengan Israel meletus awal bulan ini.

    Pada 6 Mac, tentera Israel menyerang sebuah bangunan di pinggir bandar selatan di sebelah tempat dia ditahan, membolehkannya melarikan diri ke kedutaan Ukraine, tambah sumber itu.

    “Kedutaan Ukraine di Lubnan menghubungi kami pada 10 Mac meminta kami memberi kebenaran kepada warganegaranya … yang berada di sana dan telah kehilangan pasportnya, untuk pergi melalui lapangan terbang Beirut,” kata Hassan Choukeir, ketua pejabat Keselamatan Am Lubnan.

    “Selepas menyemak nama dan gambarnya, kami menyedari bahawa dia dikehendaki oleh badan kehakiman Lubnan dan menjadi subjek beberapa notis pencarian dan siasatan daripada agensi keselamatan Lubnan,” tambahnya.

    Choukeir berkata pihak berkuasa memberitahu kedutaan itu bahawa mereka wajib menyerahkan lelaki itu, sambil menambah dia “dikehendaki kerana terlibat dalam sel milik Mossad Israel yang merancang pembunuhan dan pengeboman di pinggir bandar selatan Beirut”.

  • 2 pengaman UNIFIL terbunuh, 2 lagi cedera dalam letupan dekat pekan selatan Lubnan

    Dua anggota pengaman dengan Pasukan Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) terbunuh dan dua lagi cedera, seorang daripadanya parah, apabila letupan tidak diketahui puncanya memusnahkan kenderaan mereka dekat pekan Bani Hayyan di selatan Lubnan pada Isnin, kata pasukan itu dalam satu kenyataan di X, menurut berita Xinhua.

  • UK tidak akan hantar tentera ke Iran – Starmer

    Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, menolak untuk mengerahkan tentera ke Iran, sekali gus menjauhkan UK daripada penglibatan langsung dalam konflik terbabit, lapor Aljazeera.

    “Ini bukan perang kita, dan kita tidak akan terbabit di dalamnya,” katanya.

    Starmer berkata UK sedang mengambil “tindakan pertahanan” untuk melindungi “nyawa British, kepentingan British dan, sudah tentu, sekutu kita di rantau ini”.

    Dia menambah bahawa Britain akan meneruskan usahanya untuk membantu membuka semula Selat Hormuz tetapi menekankan: “Kita tidak akan terheret ke dalam perang ini.”

    UK bagaimanapun telah meluluskan penggunaan pangkalan British oleh AS untuk serangan terhadap tapak Iran yang dikaitkan dengan ancaman di Selat Hormuz, menurut Aljazeera, UK juga telah mengerahkan jet pejuang untuk memintas projektil Iran.

  • Badan Amil Zakat Nasional Indonesia bina tiga masjid kecemasan di Gaza

    Badan Amil Zakat Nasional (Baznas) Republik Indonesia membina tiga masjid kecemasan di Gaza, bagi menampung keperluan ibadah masyarakat yang terjejas akibat krisis kemanusiaan di rantau itu, menurut berita Antara.

    “Alhamdulillah, tiga masjid kecemasan telah siap dibina oleh Baznas di Gaza dan telah pun digunakan semasa Ramadan dan Aidilfitri. Setiap masjid kecemasan mempunyai keluasan kira-kira 180 meter persegi dan boleh memuatkan sehingga 100 orang,” kata Setiausaha Utama Baznas, Subhan Cholid dalam satu kenyataan di Jakarta pada Isnin, lapor Antara.

    Subhan menjelaskan, tapak pembinaan itu terletak di wilayah Gaza, dengan lokasi di Asdaa barat laut Khan Younis, Jalan Abu Ali Eyad, dan Deir Al-Balah.

    Menurutnya, pembinaan masjid-masjid kecemasan itu sebagai tindak balas kepada keperluan mendesak masyarakat terhadap tempat ibadat di tengah-tengah konflik yang sedang berlaku.

    “Ini adalah simbol keprihatinan dan kebersamaan masyarakat Indonesia terhadap Palestin,” katanya.

  • Yayasan Sweden akan bina 400 sekolah ketika lebih 650,000 kanak-kanak Gaza masih belum mendapat pendidikan selama 2 tahun

    Yayasan Akelius Sweden merancang untuk membina 400 sekolah di Gaza ketika lebih 650,000 kanak-kanak masih belum mendapat akses kepada pendidikan selama dua tahun selepas kemusnahan 97% kemudahan sekolah di wilayah itu, lapor Anadolu.

    Inisiatif itu bertujuan untuk memulihkan peluang pembelajaran susulan kerosakan meluas terhadap infrastruktur pendidikan di seluruh Gaza.

    Ahli perniagaan Sweden, Roger Akelius, telah membuat sumbangan untuk Gaza pada 20 Mac dengan kerjasama kerajaan Sweden melalui Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

    Yayasan Akelius, yang ditubuhkan pada tahun 2007, sebelum ini telah menyediakan bantuan sebanyak 60 juta dolar kepada Palestin. Sumbangan terbarunya untuk Gaza berjumlah 75 juta dolar.

    Mengkhusus dalam pedagogi moden, yayasan ini menjalankan kursus dalam talian percuma dalam bahasa dan matematik dengan pasukan kira-kira 150 kakitangan.

    Dengan bajet tahunan sekitar 300 juta dolar, yayasan ini berusaha untuk mengarahkan sumbernya ke arah projek pendidikan dan telah menyokong inisiatif pendidikan di 40 buah negara.

    Ia berfungsi terutama melalui organisasi kemanusiaan termasuk UNICEF, agensi pelarian PBB (UNHCR), SOS Children’s Villages — sebuah organisasi antarabangsa yang menyediakan penjagaan berasaskan keluarga untuk kanak-kanak yatim piatu dan terbiar — dan Doctors Without Borders (MSF).

    Menurut Anadolu, dalam satu temu bual dengannya, Akelius berkata yayasan itu merancang untuk menyediakan akses kepada persekolahan, kawasan permainan dan makanan untuk kanak-kanak di Gaza.

    Dia menyatakan bahawa sumbangan terbaru itu akan membiayai pembinaan 400 buah sekolah, setiap satu direka untuk 250 kanak-kanak.

    “Ini adalah projek yang mencabar. Matlamat kami adalah untuk membina sekolah khemah dan bangunan kekal, menggaji guru, dan menyediakan 100,000 hidangan sehari selama lima tahun. Seperti biasa, Israel akan menyekat atau melarang akses. Mereka akan menembak kakitangan sekolah dan kanak-kanak,” kata Akelius.

    Dia berkata, kerajaan Sweden telah memaklumkan pihak berkuasa Israel mengenai usaha bantuan berkenaan.
    Sweden menyumbang kira-kira 35 juta dolar melalui UNICEF, menjadikan jumlah pakej bantuan kepada lebih daripada 100 juta dolar.

    Yayasan Akelius telah bekerjasama dengan UNICEF selama 10 tahun.

    Sekolah sedia ada di Gaza telah dihentikan perkhidmatannya selepas Israel memusnahkan atau merosakkan 96% institusi pendidikan di wilayah itu.

    Menurut Akelius, kanak-kanak di Gaza bukan sahaja perlu belajar membaca dan menulis tetapi juga untuk mengalami semula kehidupan normal.

    Menurut data UNICEF, lebih daripada 97% sekolah di Gaza telah rosak dan kira-kira 658,000 kanak-kanak tidak hadir ke kelas selama dua tahun.

  • Jordan pintas 5 peluru berpandu, 1 dron dalam 24 jam

    Tentera Jordan mengatakan ia memintas dan memusnahkan lima peluru berpandu dan satu dron dalam 24 jam lalu, menurut berita Aljazeera memetik laporan media Jordan.

    Seorang wanita cedera akibat serpihan yang jatuh, kata laporan itu.

  • UAE kata ia pintas 27 dron, 11 peluru berpandu balistik hari ini

    Kementerian Pertahanan UAE mengatakan ia memintas 27 dron dan 11 peluru berpandu balistik yang dilancarkan dari Iran hari ini, menurut Aljazeera.

    Sejak permulaan perang, ia telah memintas 1,941 dron, 15 peluru berpandu jelajah dan 425 peluru berpandu balistik.

  • Tentera Israel kata ia serang universiti di Tehran

    Tentera Israel mengatakan bahawa ia telah menyerang sebuah universiti di Tehran, lapor Aljazeera, ia mendakwa institusi itu dikendalikan sebagai “kawasan (compound) tentera”.

  • Tentera Israel kata 1 lagi askar terbunuh di selatan Lubnan

    Seorang askar Israel mati akibat luka dialami dalam pertempuran di selatan Lubnan, kata tentera, lapor Aljazeera.

    Ben Zion, 19, cedera parah sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan, katanya.

    Ini menjadikan jumlah askar Israel yang terbunuh di selatan Lubnan sejak serangan bersambung semula pada 2 Mac kepada enam, menurut Aljazeera.

  • Hizbullah kata ia sasar pangkalan tentera laut Haifa

    Hizbullah berkata pasukannya menyasarkan pangkalan tentera laut di bandar Haifa, utara Israel, dengan “serangan peluru berpandu canggih”, lapor Aljazeera.

  • Serangan Israel membunuh seorang askar Lubnan

    Satu serangan Israel ke atas pusat pemeriksaan tentera membunuh seorang askar dan mencederakan yang lain, kata tentera Lubnan dalam satu kenyataan, lapor Aljazeera.

    Insiden itu berlaku di Al-Amiriya di jalan Qalila-Sour di selatan Lubnan.

  • Iran tuduh IAEA ‘tidak peduli’ terhadap serangan tapak nuklear

    Jurucakap Kementerian Luar Iran, Baghaei, mengutuk “ketidakpedulian” Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) terhadap serangan Israel-AS ke atas kemudahan nuklear Iran, lapor Aljazeera.

    Dalam komen yang disiarkan oleh agensi berita separa rasmi Tasnim, Baghaei berkata serangan yang dilakukan oleh AS dan Israel adalah “jenayah”.

    Beliau menambah, ketua IAEA, Rafael Grossi “telah mengambil pendekatan yang sangat salah dan bukannya mengutuk penceroboh, dia telah menggunakan frasa dalam temu bualnya yang merumitkan masalah”.

    Grossi kekurangan “keyakinan” dan “kesaksamaan”, tambah Baghaei.

  • Sepanyol tutup ruang udara kepada pesawat AS yang mengambil bahagian dalam perang ke atas Iran

    Sepanyol menghalang pesawat tentera AS yang terbabit dalam serangan ke atas Iran daripada menggunakan ruang udaranya, meluaskan sekatan terdahulu ke atas akses kepada pangkalan dikendalikan bersama, kata Menteri Pertahanan Margarita Robles, lapor Aljazeera.

    “Kami tidak membenarkan sama ada penggunaan pangkalan tentera atau penggunaan ruang udara untuk tindakan yang berkaitan dengan perang di Iran,” katanya kepada pemberita di Madrid.

    Langkah itu memaksa pesawat AS untuk mengubah laluan, walaupun penerbangan kecemasan kekal dikecualikan.

    Menteri Ekonomi Carlos Cuerpo berkata keputusan itu mencerminkan keengganan Sepanyol untuk menyokong perang yang dilancarkan secara unilateral dan “melawan undang-undang antarabangsa”.

    PM Sepanyol Pedro Sanchez telah berulang kali mengkritik kempen AS-Israel, sementara Trump telah mengancam untuk tindakan balas perdagangan.

  • Presiden Mesir gesa Trump hentikan perang Teluk

    Presiden Mesir Abdel Fattah el-Sisi menyeru Trump untuk menamatkan perang ke atas Iran, dengan mengatakan Washington mempunyai pengaruh tegas, lapor Aljazeera.

    “Saya memberitahu Presiden Trump: Tiada sesiapa boleh menghentikan perang di rantau kami di Teluk kecuali anda,” kata Sisi pada pembukaan persidangan tenaga Mesir.

  • Hizbullah kata tentera Israel terbunuh, cedera dalam serangan ke atas Beit Leef

    Hizbullah berkata kumpulan itu mengebom tentera Israel di dalam sebuah rumah di pekan Beit Leef dengan peluru berpandu, lapor Aljazeera.

    Ia mendakwa telah menyebabkan kematian dan kecederaan.

  • Iran kata utusan akan kekal di Beirut walaupun terdapat perintah pengusiran

    Kementerian Luar Iran berkata dutanya akan terus bekerja di Beirut, menentang perintah Lubnan untuknya pergi, lapor Aljazeera.

    Kementerian Luar Lubnan minggu lalu menarik balik akreditasi untuk bakal duta Iran, Mohammad Reza Shibani, mengisytiharkannya sebagai persona non grata dan mengarahkannya untuk pergi menjelang 29 Mac.

  • Iran tuduh Israel melakukan serangan loji penyahgaraman di Kuwait

    Tentera Iran menuduh Israel menyerang loji penyahgaraman Kuwait, lapor Aljazeera.

    Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh agensi separa rasmi Tasnim, ia berkata “serangan kejam rejim Zionis ke atas loji penyahgaraman Kuwait, dengan alasan menuduh Republik Islam Iran, yang berlaku dalam beberapa jam lalu, adalah tanda kekejian dan kehinaan penjajah Zionis”.

    “Kami mengisytiharkan bahawa pangkalan dan anggota tentera Amerika, kepentingan mereka di rantau ini, dan infrastruktur dan kemudahan tentera, keselamatan, dan ekonomi rejim Zionis akan terus menjadi sasaran kuat kami,” katanya.

  • Tentera Israel hadapi kekurangan anggota tentera yang semakin meningkat ketika perang berbilang barisan depan membebankan pasukan

    Tentera Israel menghadapi krisis tenaga kerja yang semakin mendalam ketika ia mengerahkan pasukan merentasi pelbagai barisan hadapan, dengan pegawai kanan memberi amaran mengenai kekurangan anggota tentera yang teruk, tekanan operasi yang semakin meningkat, dan risiko keruntuhan dalaman, lapor Anadolu.

    Jurucakap tentera Effie Defrin menganggarkan tentera kekurangan sekitar 15,000 askar, termasuk antara 7,000 dan 8,000 askar tempur, ketika misi berkembang di beberapa arena.

    “Tentera mengalami kekurangan sekitar 15,000 askar, termasuk 7,000 hingga 8,000 pejuang,” katanya pada Khamis, sambil menambah bahawa bantuan amat diperlukan di Lubnan, Gaza, Tebing Barat, dan Syria, lapor Anadolu.

    Amaran itu datang ketika Ketua Staf Eyal Zamir memberikan penilaian yang tegas terhadap kesediaan tempur tentera.

    Anadolu mengatakan, menurut laporan media, Zamir memberitahu Kabinet Keselamatan Israel bahawa tentera sedang mengibarkan “10 bendera merah,” memberi amaran bahawa pasukan simpanan “tidak akan bertahan” di bawah tekanan semasa.

    “Tentera sedang menuju ke arah keruntuhan dalaman memandangkan kegagalan kerajaan untuk meluluskan undang-undang berkaitan dengan kerahan tentera Haredi, mengawal selia perkhidmatan simpanan dan melanjutkan perkhidmatan mandatori,” dia memberi amaran.

    Zamir menambah bahawa tentera Israel beroperasi serentak di Lubnan, Gaza, Syria, Iran dan Tebing Barat, meningkatkan beban ke atas pasukan yang sudah terbeban.

    Ketua tentera itu juga memberi amaran bahawa pergantungan pada unit simpanan menghakis keberkesanannya dan boleh menjejaskan kesediaan walaupun untuk misi rutin.

    Di tengah-tengah krisis ini ialah pertikaian politik yang berlarutan mengenai kerahan tentera Yahudi ultra-Ortodoks, atau Haredim, yang kebanyakannya secara sejarahnya dikecualikan daripada perkhidmatan ketenteraan.

    Komuniti Haredi, yang menyumbang kira-kira 13% daripada populasi Israel, sebahagian besarnya menentang kerahan tentera atas dasar agama, dengan alasan bahawa integrasi ke dalam masyarakat sekular mengancam identitinya.

  • Iran sahkan kematian Komander Tentera Laut IRGC Tangsiri

    Iran mengesahkan kematian Komander Tentera Laut Pengawal Revolusi Komander Alireza Tangsiri, lapor Aljazeera.

    Menurut Aljazeera, satu kenyataan oleh IRGC, yang disiarkan oleh agensi berita IRNA, menyatakan Tangsiri meninggal dunia akibat “kecederaannya yang teruk”.

    Minggu lalu, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz berkata komander itu telah terbunuh bersama pegawai lain dalam “operasi berketepatan dan membawa maut” yang dijalankan oleh tentera Israel.

  • Siasatan Israel temui ‘beberapa kegagalan’ dalam tingkah laku askar terhadap kru CNN

    Tentera Israel mengeluarkan hasil siasatan terhadap insiden di mana CNN mengatakan wartawannya ditahan dan diserang ketika melaporkan peningkatan keganasan peneroka di Tebing Barat yang diduduki, lapor Aljazeera.

    Ketua tentera, Eyal Zamir, menyifatkan insiden itu sebagai “insiden etika yang serius”.

    Menurut CNN, tentera-tentera terbabit mencekik seorang daripada wartawan dan menghempasnya ke tanah sebelum menahan kru selama dua jam, lapor Aljazeera, dalam video disiarkan oleh penyiar AS itu, tentera dari batalion Netzah Israel dapat didengari membuat komen yang menggemakan ideologi peneroka, mengisytiharkan bahawa semua Tebing Barat diduduki adalah milik Israel dan orang Yahudi. Mereka juga menggambarkan semua rakyat Palestin sebagai “pengganas” dan mengatakan bahawa bertindak membalas dendam atas pembunuhan seorang peneroka adalah wajar.

    Tentera berkata dalam satu kenyataan bahawa siasatannya mendapati “beberapa Kegagalan dalam tingkah laku askar-askar terhadap wartawan”.

    Ia juga menyatakan bahawa “dakwaan mengenai keganasan yang digunakan oleh seorang daripada askar akan diperiksa lebih lanjut oleh pihak berkuasa berkaitan, dan tindakan selanjutnya akan ditentukan mengikut penemuan terbabit”.

    Ia menambah bahawa batalion itu akan digantung daripada tugas operasi di Tebing Barat yang diduduki dan unit itu akan ditempatkan dalam perkhidmatan simpanan, di mana askar akan menjalani proses semakan dan penambahbaikan dalaman.

    Sebahagian besar siasatan tentera Israel terhadap dakwaan pelanggaran berakhir tanpa akibat sebenar bagi askar Israel, yang sering menyokong tindakan peneroka haram, menurut berita Aljazeera.