Badan Amil Zakat Nasional (Baznas) Republik Indonesia membina tiga masjid kecemasan di Gaza, bagi menampung keperluan ibadah masyarakat yang terjejas akibat krisis kemanusiaan di rantau itu, menurut berita Antara.
“Alhamdulillah, tiga masjid kecemasan telah siap dibina oleh Baznas di Gaza dan telah pun digunakan semasa Ramadan dan Aidilfitri. Setiap masjid kecemasan mempunyai keluasan kira-kira 180 meter persegi dan boleh memuatkan sehingga 100 orang,” kata Setiausaha Utama Baznas, Subhan Cholid dalam satu kenyataan di Jakarta pada Isnin, lapor Antara.
Subhan menjelaskan, tapak pembinaan itu terletak di wilayah Gaza, dengan lokasi di Asdaa barat laut Khan Younis, Jalan Abu Ali Eyad, dan Deir Al-Balah.
Menurutnya, pembinaan masjid-masjid kecemasan itu sebagai tindak balas kepada keperluan mendesak masyarakat terhadap tempat ibadat di tengah-tengah konflik yang sedang berlaku.
“Ini adalah simbol keprihatinan dan kebersamaan masyarakat Indonesia terhadap Palestin,” katanya.























