Presiden Perancis Emmanuel Macron mengumumkan pada Selasa, Perancis dan Palestin akan menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk mengendalikan perkara-perkara perundangan, perlembagaan dan institusi bagi memperkukuhkan negara Palestin.
“Jawatankuasa ini akan menyumbang kepada penggubalan perlembagaan baharu, berdasarkan projek yang dibentangkan oleh Presiden Abbas, dan melengkapkan semua syarat yang diperlukan untuk Negara Palestin yang berdaya maju,” Macron dilapor berkata pada sidang akhbar di Paris bersama Presiden Palestin Mahmoud Abbas.
Beliau dilaporkan berkata, Perancis “akan bertindak balas dengan tegas dengan rakan kongsi Eropahnya” jika Israel meneruskan sebarang “pengilhakan sebahagian atau keseluruhan, sama ada secara sah atau de facto”.
Macron memberi amaran kepada Israel bahawa sebarang bentuk pengilhakan Tebing Barat akan melepasi “garisan merah”.
“Keganasan peneroka dan pecutan projek penempatan telah mencapai tahap rekod, mengancam kestabilan Tebing Barat dan melanggar undang-undang antarabangsa,” dia dilapor berkata, sambil menambah bahawa Perancis kekal komited terhadap penyelesaian dua negara.
Beliau menekankan bahawa “penyampaian bantuan kemanusiaan yang selamat dan tanpa halangan di seluruh Gaza mesti dipastikan di bawah naungan PBB, dengan mematuhi sepenuhnya undang-undang kemanusiaan antarabangsa”.
Perancis akan menyediakan bantuan kemanusiaan bernilai €100 juta ($115 juta) kepada Jalur Gaza pada 2025, Macron mengumumkan, sambil menambah bahawa penghantaran kargo kecemasan Perancis akan merangkumi makanan tambahan untuk kanak-kanak, ubat-ubatan dan peralatan perubatan.
Paris juga akan menyertai Persidangan Pembinaan Semula Kaherah dan menyumbang kepada pembinaan semula sektor kesihatan Gaza dengan kerjasama Agensi Pembangunan Perancis dan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa.
Beliau menekankan bahawa menstabilkan Gaza memerlukan “penempatan semula pasukan keselamatan dan polis Pihak Berkuasa Palestin bagi memastikan ketenteraman dan keselamatan” dan mengesahkan bahawa Perancis bersedia untuk membantu memperkukuhkan kapasiti keselamatan Palestin melalui misi Kesatuan Eropah (EU), dengan lebih daripada 100 anggota gendarme Perancis akan dikerahkan.
Abbas merakamkan penghargaan kepada Presiden AS Donald Trump dan mengucapkan terima kasih kepada Mesir, Qatar dan Turkiye atas “usaha gigih” mereka untuk menegakkan gencatan senjata, memudahkan pembebasan tebusan dan tahanan, menyampaikan bantuan kemanusiaan dan menggerakkan sokongan antarabangsa bagi pembinaan semula Gaza selepas perang.
“Kami sangat menghargai Presiden Trump dan usaha yang sedang dilakukannya,” Abbas dilapor berkata.
“Kami juga memberi penghormatan kepada usaha tanpa kenal erti penat lelah Mesir, Qatar, dan Turkiye bagi memperkukuhkan gencatan senjata dan menyokong operasi kemanusiaan.”
Beliau juga menyatakan bahawa 160 buah negara kini mengiktiraf Palestin dan melahirkan harapan bahawa “rakyat Palestin suatu hari nanti akan meraikan berakhirnya pendudukan, kebebasan, maruah, dan kemerdekaan”.
“Kami menyeru semua negara yang belum mengiktiraf Negara Palestin untuk berbuat demikian,” dia dilapor berkata.
Abbas menegaskan bahawa Gaza adalah bahagian penting negara Palestin di bawah kedaulatan Palestin, dan semua institusi peralihan dan lintasan sempadan di wilayah itu “mesti bergantung kepada Pihak Berkuasa Palestin”.
Beliau juga mengulangi kesediaan Palestin untuk bekerjasama dengan semua rakan kongsi antarabangsa, termasuk AS dan Perancis, untuk melaksanakan usaha keamanan di bawah jaminan antarabangsa yang jelas.
Lawatan Abbas ke Perancis menandakan lawatan pertamanya sejak Paris mengiktiraf Palestin awal tahun ini.