Iran berkata pada Rabu bahawa ia tidak bertukar-tukar sebarang mesej bertulis baharu dengan Amerika Syarikat (AS), menolak laporan bahawa kedua-dua pihak hampir mencapai persetujuan satu halaman untuk menamatkan permusuhan, lapor Xinhua.
Menurut Xinhua, agensi berita separa rasmi Fars menyifatkan laporan oleh Axios dan Reuters sebagai “rekaan”, dengan mengatakan ia direka untuk mempengaruhi pasaran global dan menurunkan harga minyak dan bukannya mencerminkan situasi di lapangan.
Xinhua melaporkan, Fars memetik dua sumber yang tidak dinamakan, berkata Iran belum lagi memberi respons kepada mesej terkini AS, yang disampaikan melalui Pakistan.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei, berkata Tehran masih menyemak cadangan AS dan akan memberi respons selepas melengkapkan penilaiannya, menurut Xinhua memetik Agensi Berita Pelajar Iran (ISNA).
Minggu lalu, Iran menghantar cadangan balas 14 perkara kepada Washington melalui Pakistan sebagai tindak balas kepada rancangan sembilan perkara AS yang menggariskan syarat untuk menamatkan konflik, lapor Xinhua, Tehran kemudian mengesahkan ia telah menerima balasan daripada Washington.
Menurut Xinhua, Ebrahim Rezaei, jurucakap jawatankuasa keselamatan negara dan dasar luar parlimen Iran, menulis di X bahawa Axios telah menerbitkan “senarai keinginan AS dan bukannya realiti”.
Dia berkata, Iran tidak akan menerima tekanan dan memberi amaran mengenai “tindak balas keras” jika diserang atau diprovokasi.
Axios melaporkan bahawa perjanjian yang berpotensi mungkin termasuk Iran bersetuju untuk menggantung pengayaan uranium sebagai pertukaran untuk pelepasan sekatan AS, dengan kedua-dua pihak melonggarkan sekatan ke atas perkapalan melalui Selat Hormuz, menurut berita Xinhua, tempoh sebarang jeda pengayaan masih dalam perbincangan, dengan cadangan antara lima hingga 20 tahun.
Menurut Xinhua, secara berasingan, agensi berita Tasnim Iran melaporkan gangguan GPS yang meluas di Selat Hormuz untuk hari ketiga berturut-turut, dengan beberapa data pengesanan marin menunjukkan kapal kelihatan bergerak di darat.
AS dan Israel dilapor menjalankan serangan bersama ke atas Tehran dan bandar-bandar lain di Iran pada 28 Februari lalu, membunuh pegawai kanan dan orang awam Iran, termasuk Pemimpin Agung ketika itu, Ali Khamenei. Iran bertindak balas dengan serangan peluru berpandu dan dron terhadap Israel dan kepentingan AS di rantau itu dan mengetatkan kawalan ke atas Selat Hormuz.
Gencatan senjata berkuat kuasa pada 8 April. Rundingan antara delegasi Iran dan AS di Islamabad pada 11-12 April berakhir tanpa persetujuan. Selepas rundingan gagal, AS mengenakan sekatan ke atas selat terbabit.