• Trump ‘cakap terlalu banyak’ – timbalan menteri luar Iran

    Timbalan Menteri Luar Iran Saeed Khatibzadeh bercakap kepada media di luar Forum Diplomatik Antalya di Turkiye, lapor Al Jazeera.

    Ditanya mengenai komen Presiden Trump baru-baru ini yang mencadangkan AS akan “mula menjatuhkan bom lagi” jika tiada perjanjian dicapai dengan Iran menjelang Rabu, Khatibzadeh berkata presiden AS “bercakap terlalu banyak”.

    “Dia berkata perkara yang bercanggah dalam kenyataan yang sama,” kata pegawai Iran itu.

    “Saya tidak tahu dengan tepat apa yang dimaksudkannya.”

    Khatibzadeh dilapor berkata, Iran percaya “perang tidak boleh membawa kepada sebarang hasil yang positif”, tetapi ia bersedia untuk terus mempertahankan diri jika diserang.

    “Kami akan berjuang sehingga askar Iran yang terakhir.”

  • Artileri Israel dilapor bedil pekan-pekan di selatan Lubnan

    Artileri Israel membedil pekan-pekan Beit Leif, Qantara dan Touline di selatan Lubnan, menurut berita Al Jazeera memetik laporan korespondennya di lapangan.

    Jentolak Israel juga meneruskan operasi perobohan dan merobohkan rumah-rumah di beberapa kawasan di selatan Lubnan.

    Gencatan senjata diumumkan beberapa hari selepas Lubnan dan Israel mengadakan rundingan langsung pertama mereka dalam beberapa dekad di Washington.

    Israel terus menduduki kawasan-kawasan di selatan Lubnan walaupun terdapat gencatan senjata, dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengatakan tentera tidak akan berundur semasa gencatan senjata.

  • Sebarang ‘pelanggaran’ AS akan disambut dengan ‘tindak balas sewajarnya’ – IRGC

    Perintah tentera laut IRGC menegaskan Selat Hormuz kembali kepada status terhadnya sebelum ini, lapor Al Jazeera.

    “Selagi pergerakan kapal dari Iran dan ke Iran terancam, status Selat Hormuz akan kekal seperti sebelumnya,” kata perintah tentera laut itu di X dan dikongsi oleh media Iran, menurut Al Jazeera.

    “Sebarang pelanggaran komitmen oleh Amerika Syarikat akan menerima tindak balas yang sewajarnya,” katanya.

  • Iran kata ia tidak akan serah uranium diperkaya kepada AS

    Timbalan Menteri Luar Iran, Saeed Khatibzadeh, menolak dakwaan Presiden AS Donald Trump mengenai uranium dan mengeluarkan peringatan mengenai rundingan masa depan antara kedua-dua negara, lapor AP.

    Bercakap kepada Associated Press (AP) di bandar Antalya, Turki, Khatibzadeh berkata rakyat Iran belum bersedia untuk pusingan rundingan bersemuka baharu dengan AS kerana Amerika “belum meninggalkan pendirian maksimalis mereka”.

    Pada Jumaat, Trump dilapor berkata AS akan memasuki Iran dan “mendapatkan semua debu nuklear” merujuk kepada 970 paun (440 kilogram) uranium diperkaya yang dipercayai tertimbus di bawah tapak nuklear yang rosak teruk akibat serangan tentera AS tahun lalu.

  • Bintang filem Perancis Nathalie Baye dilapor meninggal dunia pada usia 77 tahun

    Bintang filem Perancis Nathalie Baye, yang membintangi filem arahan Steven Spielberg “Catch Me if You Can” meninggal dunia pada usia 77 tahun, menurut berita Reuters memetik laporan AFP pada Sabtu, memetik keluarga Baye.

    Dia dilaporkan meninggal dunia pada petang Jumaat di rumahnya di Paris.

  • Seorang maut akibat dirempuh kereta di Melbourne

    Siasatan polis sedang dijalankan selepas sebuah kereta melanggar sekumpulan orang di Melbourne, mengorbankan seorang pejalan kaki dan mencederakan seorang lagi, kata pihak berkuasa pada Sabtu, menurut berita Reuters.

    Polis dilapor berkata dalam satu kenyataan, kereta itu melanggar tepi jalan dan melanggar dua pejalan kaki sebelum jam 5 petang waktu tempatan. Satu tangkapan telah dibuat di tempat kejadian, kata polis.

    “Keadaan sekitar perlanggaran itu masih belum dapat dipastikan dan siasatan masih dijalankan,” polis dilapor berkata dalam kenyataan itu.

    Menurut Reuters memetik laporan media, kejadian itu berlaku di tempat acara Supanova Comic Con dan Permainan.

  • ‘Israel mahukan lebih banyak tanah’ – menteri luar Turkiye

    Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan, berkata Israel cuba menduduki lebih banyak tanah dengan alasan “keselamatan”, menurut berita Al Jazeera.

    “Israel bukan mahukan keselamatannya sendiri. Israel mahukan lebih banyak tanah. Keselamatan digunakan oleh kerajaan Netanyahu sebagai alasan untuk menduduki lebih banyak tanah,” Fidan dilapor berkata kepada Forum Diplomasi Antalya.

    Walaupun gencatan senjata Israel dengan Lubnan, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, dilapor berkata Israel akan terus memegang semua kedudukan di selatan Lubnan yang “dibersihkan dan ditawan”.

    Katz juga memberi amaran, kempen ketenteraan Israel di Lubnan belum selesai, dengan mengatakan kumpulan Hizbullah Lubnan akan dilucutkan senjata “dengan satu cara atau cara lain”.

  • 6 lapangan terbang Iran dibuka semula

    Berikutan laporan terdahulu bahawa Iran telah membuka semula sebahagian ruang udaranya di timur negara itu, enam lapangan terbang Iran juga telah dibuka semula, kata Persatuan Syarikat Penerbangan Iran, menurut berita Al Jazeera.

    Ia membabitkan Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini dan Lapangan Terbang Antarabangsa Mehrabad di Tehran, serta di Mashhad, Birjand, Gorgan dan Zahedan.

    Syarikat penerbangan sedang bersedia untuk memulakan semula penerbangan domestik dan antarabangsa, lapor Al Jazeera memetik agensi berita Tasnim Iran memetik setiausaha persatuan itu sebagai berkata.

  • Iran kata Selat Hormuz kembali di bawah kawalan penuh

    Kawalan Selat Hormuz kembali kepada keadaan sebelumnya, dengan laluan air strategik itu kini di bawah pengurusan tegas angkatan tentera Iran, lapor Xinhua memetik Agensi Berita Fars negara itu, memetik jurucakap tentera sebagai berkata pada Sabtu.

  • IRGC kata ‘sel’ perisik dikaitkan dengan AS, Israel dan UK dibongkar

    Tentera Iran berkata ia mendedahkan dan membongkar “sel” perisik yang dikaitkan dengan Amerika Syarikat (AS), Israel dan United Kingdom, lapor Al Jazeera.

    Menurut Al Jazeera, agensi berita Fars Iran yang memetik sayap perisikan Kor Pengawal Revolusi Islam, melaporkan bahawa sel-sel itu bertujuan untuk menjalankan pengintipan, “membina rangkaian” dan mencetuskan pergolakan di negara itu.

    IRGC dilapor berkata, mereka berada di wilayah Azerbaijan Timur, Kerman dan Mazandaran.

  • Iran buka semula sebahagian ruang udara timur

    Sebahagian ruang udara timur Iran kini dibuka untuk penerbangan, menurut berita Al Jazeera memetik laporan penyiar IRIB Iran, memetik jurucakap Pihak Berkuasa Penerbangan Awam.

    Tiket penerbangan juga boleh dibeli, menurut IRIB.

  • Iran beri amaran sekatan AS berisiko penutupan baharu Selat Hormuz

    Speaker parlimen Iran, Mohammad Bagher Qalibaf, menyiarkan di X awal Sabtu bahawa jika sekatan AS berterusan, “Selat Hormuz tidak akan kekal terbuka”, lapor AP.

    Pada Jumaat, Iran dilapor berkata ia telah membuka semula Selat Hormuz sepenuhnya kepada kapal komersial, tetapi Presiden AS Donald Trump berkata sekatan Amerika ke atas kapal dan pelabuhan Iran akan “kekal berkuat kuasa sepenuhnya” sehingga Tehran mencapai perjanjian dengan AS.

    Sebuah firma data, Kpler, dilapor berkata kemudian pada Jumaat bahawa pergerakan melalui selat itu kekal terhad kepada koridor yang memerlukan kelulusan Iran.

  • USS Ford kembali ke Timur Tengah

    Kapal pengangkut pesawat terbesar di dunia, USS Gerald R Ford, sekali lagi memasuki perairan Timur Tengah, lapor AP memetik dua pegawai pertahanan memberitahunya.

    Kapal Ford, yang sehingga baru-baru ini beroperasi di Mediterranean Timur, transit Terusan Suez, bersama-sama dengan sepasang kapal pemusnah, USS Mahan dan USS Winston S Churchill, dan kini beroperasi di Laut Merah, kata seorang pegawai.

    Kedua-duanya bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan untuk membincangkan operasi ketenteraan yang sensitif, lapor AP.

    Kapal Ford kembali ke Laut Merah selepas lebih sebulan di Mediterranean susulan kebakaran besar di ruang dobi yang memaksa kapal itu kembali ke pelabuhan untuk dibaiki dan menyebabkan 600 kelasi kehilangan tempat tidur.
    Kapal pengangkut itu juga memecahkan rekod untuk penggunaan kapal pengangkut pesawat paling lama sejak perang Vietnam minggu ini.

    Ketibaan Ford menjadikannya kapal pengangkut pesawat kedua di rantau itu selain USS Abraham Lincoln di Laut Arab.

    USS George H W Bush juga menuju ke rantau itu dan kini berada di luar pantai Afrika Selatan, lapor AP memetik seorang pegawai pertahanan.

  • Pembukaan Selat Hormuz ‘bersyarat’ – Kementerian Pertahanan Iran

    Seorang jurucakap dari Kementerian Pertahanan Iran berkata Selat Hormuz “hanya dibuka di bawah syarat gencatan senjata dan bersyarat”, lapor berita Al Jazeera memetik Agensi Berita Fars Iran.

    Fars memetik Brigadier Jeneral Reza Talaei-Nik sebagai berkata “kapal tentera dan yang bersekutu dengan pasukan musuh tidak berhak untuk melalui Selat Hormuz”.

    Jurucakap itu juga berkata situasi semasa di selat itu adalah “sementara” dan laluan air itu boleh ditutup semula jika situasi berubah di Lubnan, lapor Al Jazeera memetik Fars.

  • Letupan dilaporkan di selatan Lubnan ketika Israel letup rumah

    Walaupun gencatan senjata, beberapa saluran berita Lubnan melaporkan tentera Israel meletupkan rumah di pekan-pekan sempadan yang terus mereka kuasai, menurut berita Al Jazeera.

    Pegawai Israel secara terbuka mengatakan mereka bertujuan untuk memusnahkan pekan-pekan Lubnan bagi menghalang penduduk daripada kembali ke sana, meniru taktik yang mereka gunakan di Gaza, yang menurut kumpulan hak asasi manusia adalah pembersihan etnik.

  • Ghalibaf kata dakwaan terbaru Trump semuanya ‘palsu’

    Speaker parlimen Iran berkata ketujuh-tujuh dakwaan yang dibuat oleh Trump pada jam terakhir “adalah palsu”, lapor Al Jazeera.

    Mohammad Bagher Ghalibaf menyenaraikan beberapa dakwaan presiden AS dalam catatan di X, dengan mengatakan bahawa “mereka tidak memenangi perang dengan pembohongan ini, dan mereka pasti tidak akan sampai ke mana-mana dalam rundingan”.

    “Dengan kesinambungan sekatan, Selat Hormuz tidak akan kekal terbuka,” kata Ghalibaf, sambil menambah bahawa “laluan melalui Selat Hormuz akan dijalankan berdasarkan ‘laluan yang ditetapkan’ dan dengan ‘kebenaran Iran’”.

    Dia juga berkata peraturan yang mengawal selat itu tidak akan ditentukan oleh media sosial.

  • Walaupun Iran nafi, Trump kata AS akan ambil uranium yang diperkaya

    Iran dengan jelas menolak tanggapan bahawa ia bersetuju untuk memindahkan uranium yang diperkaya ke AS, lapor Al Jazeera, tetapi Trump mengulangi dakwaan itu semasa perhimpunan di Arizona.

    “Kita akan mendapatkannya dengan pergi bersama Iran, dengan banyak penggali … Kita akan mendapatkannya. Kita akan membawanya pulang ke AS,” kata Trump.

  • HRW seru kerajaan-kerajaan gantung penjualan senjata kepada Israel

    Human Rights Watch (HRW) mengecam pengeboman Israel ke atas jambatan Qasmieh, laluan utama ke selatan Lubnan, menurut Al Jazeera.

    Selepas gencatan senjata diumumkan, ramai penduduk melintasi jambatan yang musnah itu dengan berjalan kaki ketika pihak berkuasa berusaha membaikinya.

    “Kerajaan-kerajaan harus memberi isyarat kepada Israel bahawa mereka tidak akan bertolak ansur atau mengambil risiko terlibat dalam jenayah perang dengan serta-merta menggantung penjualan senjata,” kata HRW dalam catatan media sosial.

  • Ahli kongres Demokrat kritik kekurangan kepakaran dalam pasukan rundingan AS

    Ahli Kongres Bill Foster, yang memegang PhD dalam fizik dari Harvard, mengeluarkan video yang mengkritik kekurangan kepakaran dalam pasukan rundingan AS dengan Iran, lapor Al Jazeera.

    “Tiada yang lebih penting daripada mencapai resolusi yang selamat mengenai isu nuklear dengan Iran,” kata Foster.

    “Tetapi dalam keadaan bagaimana anda akan melantik beberapa peniaga hartanah dan anak-anak nepo (nepo babies) bertanggungjawab dalam rundingan ini?”

    Ahli kongres itu mungkin merujuk kepada utusan Trump, Steve Witkoff dan menantu presiden, Jared Kushner, lapor Al Jazeera.

    Foster berkata perjanjian 2015 telah dirundingkan oleh pakar teknikal dan ahli fizik yang memahami bagaimana senjata nuklear dibuat, dan di bawah perjanjian itu, Iran tidak boleh membina bom.

  • Rakyat Palestin terbunuh, dua cedera apabila dron Israel serang kemudahan air Gaza

    Seorang warga Palestin terbunuh dan dua cedera selepas tentera Israel menyasarkan kemudahan penyahgaraman air dengan dron di kawasan kejiranan Shujayea di bandar Gaza, menurut berita Al Jazeera memetik laporan agensi berita Palestin WAFA.