• Hizbullah serang Israel seiring dengan serangan peluru berpandu Iran terkini

    Menurut Aljazeera, korespondenya di lapangan di Lubnan melaporkan bahawa Hizbullah telah melepaskan sekurang-kurangnya tiga serangan roket di utara Israel dalam beberapa minit kebelakangan ini.

    Media Israel melaporkan pelancaran serentak sekurang-kurangnya 100 roket, dan tentera Israel telah memberi amaran kepada rakyat untuk mencari perlindungan.

    Letupan dan siren serangan udara boleh didengari di bandar-bandar Kiryat Shmona dan Hifa di utara Israel, lapor Aljazeera memetik korespondennya.

  • Tentera Israel dakwa operatif IRGC terbunuh dalam serangan terbaru ke atas Iran

    Tentera Israel mengeluarkan kenyataan yang mendakwa serangan terbaru telah membunuh “operatif rejim Iran yang beroperasi di pusat perintah digunakan oleh IRGC di tengah-tengah Tehran”, lapor Aljazeera.

    Kenyataan itu menambah bahawa pusat perintah dan bilik situasi yang digunakan oleh tentera udara IRGC telah diserang, serta tapak yang digunakan untuk menyimpan dan mengeluarkan peluru berpandu balistik.

    Tentera itu tidak memberikan bukti untuk menyokong dakwaannya.

    Iran mengatakan lebih 1,300 orang awam telah terbunuh dan hampir 10,000 tapak awam telah diserang oleh Israel dan AS.

  • Kapal Thailand yang diserang di Selat Hormuz sedang menuju ke India

    Kementerian Hal Ehwal Luar India mengatakan kapal Thailand yang diserang di Selat Hormuz pada Rabu sedang menuju ke pelabuhan Kandla di barat India, lapor Aljazeera.

    “India kesal dengan hakikat bahawa perkapalan komersial menjadi sasaran serangan ketenteraan dalam konflik yang sedang berlaku di Asia Barat,” kata kementerian luar India dalam satu kenyataan.

    “Nyawa yang berharga, termasuk rakyat India, telah pun terkorban dalam pelbagai serangan sedemikian pada fasa awal konflik ini dan intensiti serta tahap kematian serangan itu nampaknya semakin meningkat.”

  • Israel kata peluru berpandu dilancarkan dari Iran ke arah wilayahnya

    Tentera Israel mengatakan ia telah mengenal pasti peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran ke arah Israel, dengan sistem pertahanan udara berfungsi untuk memintasnya, lapor Aljazeera.

  • Tentera laut Oman selamatkan 20 kelasi dari kapal Thailand di Selat Hormuz

    Tentera laut Oman telah menyelamatkan 20 kelasi di atas kapal Thailand di Selat Hormuz, di mana kapal itu diserang sekitar 13 batu nautika (24km) di luar pantai Oman, lapor Aljazeera memetik agensi berita kerajaan negara itu.

    Individu yang diselamatkan semuanya warganegara Thailand, dan ada yang mengalami kecederaan, lapor Agensi Berita Oman.

  • Serangan Israel ke atas Tebnine, Lubnan membunuh sekurang-kurangnya lapan orang

    Pusat Operasi Kecemasan Kesihatan, di bawah Kementerian Kesihatan Lubnan, mengatakan dalam satu kenyataan, serangan ke atas pekan Tebnine, di daerah Bint Jbeil, mengakibatkan pembunuhan sekurang-kurangnya lapan orang.

    Organisasi itu mengatakan bahawa angka ini adalah kiraan awal.

  • Angka maut akibat serangan Israel ke atas Lubnan meningkat kepada 634

    Menurut Aljazeera, kemas kini bilangan mereka yang terbunuh dalam serangan Israel ke atas Lubnan sejak 2 Mac lalu itu diterimanya daripada unit pengurusan risiko bencana kerajaan Lubnan.

  • Utusan PBB Qatar seru Majlis Keselamatan untuk bertindak terhadap serangan Iran

    Sheikha Alia Ahmed bin Saif Al Thani berkata serangan Iran ke atas Qatar tidak wajar dan peningkatan yang tidak boleh diterima, lapor Aljazeera.

    Bercakap pada sidang akhbar di ibu pejabat PBB di New York, dia berkata serangan Iran telah membahayakan orang awam dan menyebabkan kerosakan kepada infrastruktur.

  • Lebih banyak serangan Israel di selatan Lubnan

    Serangan udara Israel melanda dua pekan di selatan Lubnan, lapor Aljazeera memetik rakan sekerjanya di Al Jazeera Arabic.

    Serangan itu menyasarkan Toul, di daerah Nabatieh, dan Zrarieh, di daerah Sidon.
    Tiada laporan segera mengenai korban.

  • Iraq tembak jatuh empat dron dekat lapangan terbang Baghdad

    Menurut Aljazeera, agensi berita kerajaan Iraq melaporkan empat dron telah ditembak jatuh di sekitar lapangan terbang antarabangsa Baghdad.

  • Kebakaran di lapangan terbang lama Abu Dhabi dikawal selepas serangan Iran

    Pihak berkuasa di Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengeluarkan kenyataan yang mengatakan kebakaran yang berlaku di lapangan terbang lama Abu Dhabi telah dikawal, lapor Aljazeera.

    Pejabat media Abu Dhabi berkata kebakaran itu berlaku selepas “pemintasan yang berjaya oleh sistem pertahanan udara”.

    Ia tidak menyatakan jenis projektil atau dari mana ia berasal.

  • Ghalibaf tolak dakwaan AS ia mengurangkan keupayaan peluru berpandu Iran

    Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf menolak dakwaan AS yang ia telah mengurangkan keupayaan peluru berpandu Iran, lapor Aljazeera.

    “Gelombang awal pelancaran peluru berpandu berskala besar bertujuan untuk membutakan radar dan sistem pertahanan musuh,” katanya di X.

    “Kini, Iran boleh menyasarkan mana-mana lokasi yang dipilihnya dengan peluru berpandu yang lebih sedikit.”

  • ‘Bersedialah’ untuk harga minyak cecah $200 setong, Iran beri amaran

    Ibu pejabat perintah tentera Khatam ‌al-Anbiya Iran memberi amaran, Iran akan beralih daripada “serangan timbal balik” susulan serangan kepada serangan berterusan terhadap musuh-musuhnya, lapor Aljazeera.

    Jurucakap Ebrahim Zolfaqari juga berkata Amerika Syarikat tidak akan dapat mengawal harga minyak.

    “Kami tidak akan membenarkan walau satu liter minyak sampai ke AS, [Israel] dan rakan kongsi mereka. Mana-mana kapal atau kapal tangki yang terikat dengan mereka akan menjadi sasaran yang sah,” katanya.

    “Bersedialah untuk tong minyak berada pada $200 ‌kerana harga minyak bergantung pada keselamatan serantau, ‌yang telah anda gelojohkan.”

  • ‘Tunggu panggilan terakhir saya’ – anak lelaki bekas shah beritahu rakyat Iran supaya duduk di rumah

    Reza Pahlavi, anak lelaki shah terakhir Iran yang dibuang negeri, berkata negara itu telah mencapai “peringkat penentu perjuangan terakhir kita” dan menyeru orang ramai untuk mendapatkan bekalan penting dan mengelakkan daripada keluar ke jalanan, lapor Aljazeera.

    “Berundur dari jalanan dan kekal di rumah anda. Teruskan mogok dan jangan muncul untuk bekerja,” katanya.

    Pahlavi juga berucap kepada anggota pasukan keselamatan Iran yang menyeru mereka untuk memutuskan hubungan dengan apa yang digambarkannya sebagai “kuasa penindas” dan menyertai orang ramai.

    “Tunggu panggilan terakhir saya,” tambahnya.

  • Hizbullah kata ia bedil kedudukan Israel di selatan Lubnan

    Hizbullah mengatakan ia menyasarkan kedudukan tentera Israel di Balat, selatan Lubnan, dengan tembakan artileri, lapor Aljazeera.

    Terdahulu, kumpulan itu mengatakan ia melancarkan serangan roket ke atas kedudukan Israel di selatan Khiam di selatan.

  • Serpihan bom bunuh wanita di Iraq

    Seorang wanita terbunuh akibat serpihan bom susulan serangan ke atas depot senjata milik kumpulan bersenjata disokong Iran di Iraq, kata pegawai kesihatan dan keselamatan kepada agensi berita AFP, menurut Aljazeera.

    Sumber keselamatan berkata “pengeboman menyasarkan depot senjata di pangkalan tentera”, yang kebanyakannya menempatkan kumpulan Asaib Ahl al-Haq yang berkuasa, dekat pekan Al-Suwaira, tenggara Baghdad.

    Sumber itu menambah bahawa “seorang wanita syahid apabila serpihan bom daripada roket jatuh dekatnya selepas serangan” di pekan di wilayah Wasit. Seorang pegawai kesihatan tempatan mengesahkan kematiannya dan berkata seorang lagi cedera parah.

    Pangkalan tentera itu milik Hashd al-Shaabi, atau Pasukan Mobilisasi Popular, bekas gabungan separa tentera yang kini diintegrasikan ke dalam tentera tetap Iraq. Ia juga merangkumi briged daripada kumpulan disokong Iran, termasuk Asaib Ahl al-Haq yang disenaraihitamkan oleh AS.

  • Serangan Israel dilaporkan dekat Yatar, selatan Lubnan

    Satu serangan udara Israel melanda pinggir pekan Yater di selatan Lubnan, lapor Aljazeera memetik rakan sekerjanya di lapangan.

    Tiada laporan segera mengenai korban akibat serangan itu.

    Yater terletak dekat kawasan sempadan yang diserang oleh tentera Israel.

  • Sultan Oman luah rasa tidak puas hati kepada presiden Iran atas serangan

    Sultan Oman Sultan Haitham bin Tariq al-Said telah mengadakan panggilan telefon dengan Presiden Iran Masoud Pezeshkian, di mana beliau menyampaikan rasa tidak setuju dan kecamannya terhadap serangan berterusan terhadap wilayah Oman, lapor Aljazeera memetik agensi berita negara itu.

    Pemimpin Oman itu mengulangi pendirian neutral kesultanan dalam konflik yang sedang berlaku, sambil menegaskan bahawa Oman akan mengambil semua langkah yang diperlukan untuk mengekalkan keselamatan dan kestabilannya.

  • Kemudahan penyimpanan minyak terjejas di pelabuhan Salalah Oman

    Kemudahan penyimpanan minyak terjejas di pelabuhan Salalah Oman, kata firma keselamatan maritim British Ambrey, lapor Aljazeera.

    Dron menyerang tangki bahan api di pelabuhan, lapor Oman TV. Tiada kerosakan pada kapal dagang dilaporkan, kata Ambrey.

    Iran terus menyasarkan tapak pengeluaran dan penyimpanan tenaga di seluruh Teluk sebagai tindak balas terhadap serangan berterusan AS dan Israel ke atas negara itu.

  • Serangan udara Israel ke atas Majdal Zoun, selatan Lubnan

    Israel menjalankan satu lagi serangan udara di selatan Lubnan, kali ini di pekan Majdal Zoun di daerah Tyre, berita Aljazeera memetik laporan Agensi Berita Kebangsaan (NNA).