Tiga anggota Tentera Laut Diraja maut selepas sebuah helikopter Tentera Laut Diraja terhempas di sebuah padang di Devon, barat daya England, kata Kementerian Pertahanan Britain pada Rabu, lapor Xinhua.
“Dengan rasa dukacita yang mendalam, kami dapat mengesahkan tiga anggota Tentera Laut Diraja telah maut semasa latihan helikopter pada Rabu 3 Jun dekat Sourton, Devon,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan di media sosial, lapor Xinhua.
Polis Devon dan Cornwall berkata pada awal hari itu bahawa perkhidmatan kecemasan berada di tempat kejadian, yang berlaku sebelum jam 4 pagi waktu tempatan, Xinhua memetik media British.
Juga dilaporkan bahawa tapak itu berdekatan dengan dua pangkalan udara Tentera Laut Diraja, serta kem pertempuran Okehampton, sebuah kemudahan tentera yang digunakan untuk melatih kru helikopter Merlin.
Bercakap mengenai kejadian itu di House of Commons, Perdana Menteri Britain Keir Starmer dilapor berkata dia menyedari kejadian itu, sambil menambah: “Ini akan menjadi masa yang sangat membimbangkan bagi keluarga dan maklumat lanjut akan diberikan secepat mungkin.”
