• Paras banjir kebanyakan meningkat di selatan Thailand

    Air banjir dilaporkan semakin meningkat di banyak wilayah di selatan Thailand yang dilanda banjir besar akibat hujan berterusan.

    Menurut laporan Bangkok Post, Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana berkata pada pagi Ahad, 10 wilayah selatan dinaiki air dan kira-kira 1.47 juta orang terjejas.

    Wilayah selatan dilanda banjir, menurut laporan itu, ialah Surat Thani, Krabi, Nakhon Si Thammarat, Trang, Phatthalung, Satun, Songkhla, Pattani, Yala dan Narathiwat.

    Paras banjir dilaporkan meningkat di sana kecuali di Surat Thani dan Krabi di mana banjir semakin surut.

    Jumlah tertinggi isi rumah dilaporkan terjejas, 194,574, di Nakhon Si Thammarat, diikuti oleh 190,757 keluarga di Songkhla dan 103,190 isi rumah di Phatthalung.

    Di selatan, Jabatan Meteorologi berkata hujan akan berterusan lebat pada Ahad dan berkurangan dari Isnin hingga Jumaat, menurut laporan Bangkok Post.

    Di utara dan dataran tengah, limpahan air dilaporkan terus menyebabkan banjir di 11 wilayah.

    Banjir dilaporkan di dua wilayah di utara; Phitsanulok dan Nakhon Sawan, manakala di Dataran Tengah, wilayah masih ditenggelami air membabitkan Uthai Thani, Chai Nat, Sing Buri, Ang Thong, Suphan Buri, Ayutthaya, Pathum Thani, Nonthaburi, Nakhon Pathom, menurut Bangkok Post, di mana paras banjir menurun kecuali di Phitsanulok di mana air banjir stabil.

  • Angka maut akibat banjir teruk di Vietnam meningkat kepada 90 orang

    Bencara banjir yang melanda Vietnam kini meragut 90 nyawa, manakala 12 orang masih tidak dapat dikesan, menurut Vietnam News memetik laporan daripada Jabatan Pengurusan Dyke dan Pencegahan Bencana, yang dikemas kini pada pagi Ahad.

    Wilayah Dak Lak dilaporkan mengalami kerugian paling teruk, dengan 63 kematian dan lapan hilang, Khanh Hoa melaporkan 14 kematian dan dua hilang, manakala Lam Dong merekodkan lima kematian.

    Kawasan lain dilaporkan membabitkan Quang Tri, Thua Thien Hue, Da Nang dan Gia Lai.

    Menurut laporan Vietnam News, kerugian ekonomi pada peringkat awal dianggarkan pada VND9.035 trilion (hampir AS$343 juta).

    Hujan lebat dilaporkan berterusan di beberapa kawasan, ketika peramal menjangkakan hujan yang sangat lebat di Hue, Da Nang dan timur Wilayah Quang Ngai dari 23 hingga 25 November, dengan jumlah 60 hingga 120mm dan, di beberapa kawasan, lebih daripada 250mm.

    Sungai di Dakk Lak, Khanh Hoa dan lembangan Dong Nai dilaporkan semakin surut tetapi kekal tinggi.

    Banjir berterusan di bahagian Dak Lak, di mana empat komune dan wad, termasuk Hoa Xuan, Dong Hoa, Hoa Thinh dan Hoa My, kekal di bawah air, lapor Vietnam News.

    Kerosakan kepada perumahan dilaporkan meluas, dengan 1,154 rumah telah musnah atau rosak teruk – Lam Dong menyumbang 825 daripadanya.

    Enam seksyen kereta api dilaporkan masih ditutup.

  • Angka maut akibat banjir di tengah Vietnam meningkat kepada 72

    Bilangan orang yang terkorban akibat banjir teruk di tengah Vietnam meningkat kepada 72 orang setakat petang Sabtu, menurut berita Xinhua pada Sabtu memetik laporan harian tempatan VnExpress, memetik Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Dyke Vietnam.

    Tiga belas orang masih tidak diketahui, menurut laporan itu, kata Xinhua.

    Kementerian Pembinaan dilapor berkata dalam kemas kini terbarunya bahawa 33 kereta api penumpang telah terpaksa menangguhkan operasi, manakala banyak lagi masih dihentikan di sepanjang rangkaian rel.

  • Anggota bomba padam kebakaran di wilayah Gangwon Korea Selatan

    Korea Selatan mengeluarkan amaran tindak balas kebakaran hutan Tahap 1 awal Ahad, ketika kebakaran hutan meletus di hutan Yangyang di Wilayah Gangwon di bahagian timur laut negara itu, memaksa ratusan orang dipindahkan, lapor Reuters.

    Perkhidmatan Perhutanan Korea dilaporkan mengaktifkan amaran Tahap 1 ketika usaha memadam kebakaran diteruskan di perkhemahan popular dan pekan pantai, yang kini dianggarkan meliputi antara 10 dan 50 hektar.

    Menurut Reuters, pihak berkuasa hutan mengerahkan 101 kenderaan pemadam kebakaran dan 326 anggota untuk mengawal kebakaran dan 25 helikopter dalam perjalanan untuk dikerahkan pada Ahad.

  • Taufan tropika Fina landa Wilayah Utara Australia, lapangan terbang ditutup

    Lapangan terbang antarabangsa Darwin di Australia kekal ditutup pada Ahad selepas taufan tropika membawa angin pemusnah ke ibu kota Wilayah Utara semalaman, lapor Reuters.

    Fina, taufan kategori tiga, pada Ahad mencatatkan tiupan angin sehingga 205kph (127mph) ketika ia bergerak menjauhi ibu kota Wilayah Utara Darwin selepas melepasi bandar itu lewat Sabtu sebagai “siklon tropika yang teruk”, Biro Meteorologi negara itu dilapor berkata.

    Bagi penduduk Darwin, sekitar 140,000, Fina mencipta kenangan pahit tentang Taufan Tracy, yang menyapu sebahagian besar bandar itu pada Hari Krismas 1974, mengorbankan 66 orang, dalam apa yang merupakan salah satu bencana alam terburuk di Australia, menurut Reuters.

    Lapangan Terbang Antarabangsa Darwin, yang ditutup pada Sabtu sebagai langkah berjaga-jaga ke atas Fina, dilapor berkata pada Ahad ia “berusaha untuk mewujudkan semula operasi sebaik sahaja ia selamat untuk berbuat demikian”.

    “Angin kencang dan hujan lebat berterusan,” kata lapangan terbang itu dalam amaran taufan di laman Facebooknya, menurut Reuters.

  • Sekurang-kurangnya 7 maut selepas bas pelancong terbalik di barat Mexico

    Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dan ramai lagi cedera pada Sabtu selepas sebuah bas pelancong terbalik di negeri barat Mexico, Michoacan, kata pihak berkuasa tempatan, lapor Xinhua.

    Bas itu dilapor berlepas dari Uruapan dan menuju ke perbandaran Tlalpujahua.

    Menurut Xinhua, media tempatan melaporkan sekurang-kurangnya 20 penumpang cedera.

    Pihak berkuasa masih belum menentukan punca kemalangan dan siasatan sedang dijalankan, menurut laporan.

    Kemalangan jalan raya adalah antara punca utama kematian di Mexico. Data rasmi menunjukkan 374,949 kemalangan jalan raya direkodkan di seluruh negara pada 2024, mengakibatkan 4,656 kematian dan 85,980 kecederaan, menurut Xinhua.

  • 4 maut, 50 cedera dalam kemalangan bas di utara Chile

    Empat orang terbunuh dan 50 yang lain cedera selepas dua bas antara bandar berlanggar pagi Sabtu di wilayah utara Chile di Antofagasta, kata Perkhidmatan Negara bagi Pencegahan dan Tindak Balas Bencana negara itu, lapor Xinhua.

    Agensi itu dalam satu kenyataan dilapor berkata, menurut responder pertama, nahas itu berlaku di kawasan Varillas di Laluan 5 Utara di perbandaran Antofagasta.

    Sebilangan mangsa telah dibawa ke hospital, termasuk seorang dalam keadaan serius, manakala 35 lagi yang mengalami kecederaan kurang serius dirawat di tempat kejadian, pihak berkuasa dilapor berkata.

  • Gempa bumi 5.1 magnitud landa luar pantai Costa Rica

    Gempa bumi dengan magnitud 5.1 menggegar luar pantai Costa Rica pada 1841 GMT Sabtu, kata Pusat Penyelidikan Geosains Jerman GFZ, Xinhua melaporkan.

    Pusat gempa bumi, dengan kedalaman 10 km, pada mulanya ditentukan pada 8.76 darjah lintang utara dan 84.19 darjah bujur barat.

  • Trafik udara di atas lapangan terbang Belanda digantung kerana dron

    Trafik udara awam dan tentera di Lapangan Terbang Eindhoven di Belanda digantung kerana dron, kata Menteri Pertahanan Belanda Ruben Brekelmans di X, lewat Sabtu, lapor Xinhua.

    Menurut Xinhua, jumlah dron terbabit masih tidak diketahui.

    Menteri itu dilapor berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan tindakan akan diambil sekiranya perlu.

    Menurut Xinhua, penyiar awam Belanda NOS melaporkan penerbangan yang dijadualkan mendarat di Eindhoven dilencongkan ke Brussels, Rotterdam, dan Weeze di Jerman.

    Terdahulu pada Sabtu, Kementerian Pertahanan melaporkan dron dikesan malam Jumaat di atas Pangkalan Udara Volkel, kira-kira 30 kilometer dari Lapangan Terbang Eindhoven, lapor Xinhua.

  • Mahkamah Houthi jatuh hukuman mati kepada 18 pekerja bantuan PBB Yaman kerana didakwa intip untuk Israel

    Mahkamah dikendalikan Houthi di ibu negara Yaman Sanaa pada Sabtu menjatuhkan hukuman mati kepada 18 pekerja bantuan Yaman yang diambil bekerja oleh agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana didakwa mengintip untuk Israel, lapor Xinhua.

    Dilaporkan, keputusan itu mengatakan “banduan” akan dilaksanakan hukuman oleh skuad penembak di tempat awam di Sanaa.

    Sementara itu, mahkamah sama dilaporkan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada dua lagi termasuk seorang wanita atas pertuduhan sama.

    Menurut Xinhua, dalam satu kenyataan disiarkan oleh TV al-Masirah dikendalikan oleh Houthi, mahkamah menuduh banduan terbabit memberi Israel, Amerika Syarikat, Britain, dan Arab Saudi maklumat mengenai berpuluh-puluh lokasi, pergerakan dan rahsia pemimpin Houthi yang berkaitan dengan hal politik, ketenteraan dan keselamatan, serta maklumat mengenai peluru berpandu, termasuk tapak pelancaran dan kemudahan penyimpanan.

    Mahkamah menambah bahawa banduan merekrut beberapa warganegara, memasang kamera pengawasan, dan menerima bayaran sebagai balasan, tindakan yang membawa kepada serangan ke atas berbilang tapak tentera, keselamatan dan awam, menyebabkan berpuluh-puluh kematian dan kerosakan infrastruktur yang meluas, lapor Xinhua.

    Pada Ogos, beberapa siri serangan udara Israel di Sanaa – dikatakan sebagai tindak balas terhadap serangan peluru berpandu dan dron Houthi ke arah Israel – dilaporkan membunuh berpuluh-puluh pegawai Houthi, termasuk 12 “menteri” dan Mohammed Abdulkarim al-Ghamari, ketua kakitangan pasukan tentera Houthi, memberikan tamparan hebat kepada pergerakan itu.

    Sebagai tindak balas, Houthi menyerbu beberapa pejabat agensi bantuan PBB, menahan berpuluh-puluh pekerja bantuan Yaman, termasuk mereka yang dijatuhi hukuman pada Sabtu, lapor Xinhua.

    Menurut Xinhua, minggu lalu, TV al-Masirah kendalian Houthi menyiarkan rakaman menunjukkan mereka yang dijatuhkan hukuman menyampaikan apa yang didakwa Houthi sebagai “pengakuan”.

    Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Antonio Guterres dilaporkan telah mengutuk sekeras-kerasnya Houthi, menyeru pembebasan segera dan tanpa syarat semua pekerja bantuan PBB, dan memberi amaran bahawa menghalang bantuan kemanusiaan di Yaman meletakkan berjuta-juta orang pada risiko kebuluran.

  • 1 terbunuh, 5 cedera dalam serangan Israel di selatan Lubnan

    Seorang terbunuh dan lima lagi cedera pada Sabtu dalam serangan udara Israel di selatan Lubnan, menurut sumber Lubnan, Xinhua melaporkan.

    Menurut Kementerian Kesihatan Awam Lubnan, satu serangan ke atas sebuah kereta di timur Zawtar, daerah Nabatieh, membunuh seorang warganegara, lapor Xinhua.

    Sumber keselamatan Lubnan dilapor memberitahu Xinhua bahawa yang maut adalah anggota Hizbullah bernama Kamel Rida Qarnabesh.

    Agensi Berita Nasional (NNA) rasmi dilapor berkata, grenad mengejutkan yang dijatuhkan oleh dron Israel mencederakan lima rakyat di pekan Shaqra, daerah Bint Jbeil.

    Sementara itu, Angkatan Pertahanan Israel (IDF) berkata pada Sabtu dalam satu kenyataan bahawa tentera udaranya menyerang pelancar Hizbullah di selatan Lubnan dan dua tapak tentera Hizbullah di Lembah Beqaa, timur Lubnan, lapor Xinhua.

    Dalam kenyataan lain, IDF dilapor berkata, ia melancarkan serangan udara pada Jumaat dan membunuh seorang militan Hizbullah di kampung Froun, selatan Lubnan.

    Menurut laporan Xinhua, IDF mendakwa bahawa sepanjang konflik Israel-Hizbullah, militan telah melancarkan serangan ke atas Israel dan tentera IDF, melanggar persefahaman antara Israel dan Lubnan.

    Ia dilaporkan berikrar untuk “terus beroperasi untuk menghapuskan sebarang ancaman” kepada Israel.

  • Beratus-ratus di Sweden bantah serangan Israel ke atas Gaza walaupun gencatan senjata

    Beratus-ratus orang berhimpun pada Sabtu di ibu negara Sweden untuk memprotes serangan Israel ke atas Jalur Gaza, mengatakan Israel melanggar perjanjian gencatan senjata, menurut berita Anadolu.

    Penunjuk perasaan berkumpul di Dataran Odenplan di tengah Stockholm untuk mengecam serangan Israel yang berterusan dan menyekat bantuan kemanusiaan ke dalam enklaf Palestin yang dikepung itu.

    Melaungkan slogan pro-Palestin, peserta membawa papan tanda bertulis “Berdiri untuk Palestin” dan “Katakan tidak kepada genosid”.

    Peserta protes juga menggesa kerajaan Sweden untuk mengenakan sekatan senjata menyeluruh ke atas Israel.

    Dror Feiler, seorang aktivis Yahudi yang menghadiri perhimpunan itu, dilapor memberitahu Anadolu bahawa walaupun terdapat perbincangan mengenai gencatan senjata di Palestin, situasi di lapangan menunjukkan sebaliknya.

    “Rakyat Palestin dibunuh setiap hari di Gaza, manakala pembersihan etnik berterusan di Tebing Barat yang diduduki,” dia dilapor berkata.

    Feiler dilapor berkata, pasukan keselamatan Israel di Tebing Barat bukan sahaja gagal menghentikan serangan peneroka ke atas Palestin tetapi juga bersubahat.

    “Kerajaan kita terus membeli dan menjual senjata. Mereka terus menyokong Israel dari segi politik dan diplomatik… itu tidak boleh diterima,” dia dilaporkan berkata.

  • Seorang maut selepas hujan lebat berhari-hari bawa banjir rentas kawasan besar Albania

    Sekurang-kurangnya seorang maut selepas hujan lebat berhari-hari membawa banjir besar di Albania, kata polis pada Sabtu, agensi berita AP melaporkan.

    Menurut AP, keadaan kekal sukar di kawasan luar bandar, termasuk perkampungan selatan Dushar, di mana 30 keluarga dilaporkan terkandas kerana banjir menyebabkan jalan masuk tidak dapat dilalui.

    Polis dilapor berkata, mayat seorang wanita berusia 76 tahun ditemui selepas paras air surut di perbandaran tenggara Devoll yang dinaiki air.

    Anak lelakinya telah melaporkan dia hilang dan pencarian yang dilakukan oleh askar pada Jumaat gagal menemuinya.

    Pihak berkuasa percaya dia mungkin telah dihanyutkan arus deras.

    Hujan menyebabkan sungai Vjosa dan Seman melimpah tebing dan membanjiri kawasan pertanian yang luas.

    Sungai Vjosa mengalir melalui selatan Albania manakala Seman mengalir melalui dataran rendah Myzeqeja.

    Agensi Perlindungan Awam dilapor berkata bahawa di wilayah barat laut Lezha kira-kira 220 hektar (544 ekar) tanah masih ditenggelami air.

    Terdapat kebimbangan keadaan mungkin bertambah buruk kerana lebih banyak hujan diramalkan dalam beberapa hari akan datang, dengan Pasukan Kecemasan Awam kekal bersiap sedia.

  • 23 kanak-kanak mati akibat kurang zat makanan di wilayah Kordofan, Sudan

    Hampir dua dozen kanak-kanak mati akibat kekurangan zat makanan di tengah Sudan di mana pertempuran sengit antara tentera negara itu dan kumpulan separa tentera berpusat, kata kumpulan perubatan, menurut laporan AP.

    Kematian 23 kanak-kanak di wilayah Kordofan menggariskan keadaan kemanusiaan yang semakin merosot di negara timur laut Afrika itu di mana kebuluran merebak selepas lebih 30 bulan perang dahsyat.

    Kematian kanak-kanak itu dilaporkan antara 20 Oktober dan 20 November di bandar Kadugli yang terkepung dan pekan Dilling, kata Sudan Doctors Network, sebuah badan profesional yang menjejaki konflik itu, lapor AP.

    Kumpulan itu dilapor berkata lewat Jumaat, kematian itu adalah “akibat daripada kekurangan zat makanan akut yang teruk dan kekurangan bekalan penting” di kedua-dua kawasan, di mana sekatan “menghalang kemasukan makanan dan ubat-ubatan dan membahayakan nyawa ribuan orang awam”.

    Kadugli, ibu kota wilayah Kordofan Selatan, adalah tempat kebuluran diisytiharkan awal bulan ini oleh Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC), menurut AP.

    RSF telah mengepung bandar Kadugli selama berbulan-bulan, dengan puluhan ribu orang terperangkap ketika kumpulan itu cuba merampas lebih banyak wilayah daripada tentera Sudan.

    Dilling, juga di Kordofan Selatan, dilaporkan mengalami keadaan kelaparan yang sama seperti Kadugli, tetapi IPC tidak mengumumkan kebuluran di sana kerana kekurangan data, ia dilapor berkata.

    Perjuangan untuk mengawal Kordofan dilapor semakin sengit pada awal tahun ini selepas tentera memaksa RSF keluar dari Khartoum.

    Menurut AP, kumpulan separa tentera sejak itu menumpukan sumbernya ke Kordofan dan bandar el-Fasher, yang merupakan kubu terakhir tentera di wilayah Darfur yang luas.

    RSF menghalau tentera keluar dari el-Fasher awal bulan ini, dan memaksa puluhan ribu melarikan diri ke kem yang terlalu sesak untuk melarikan diri dari kekejaman yang dilaporkan oleh pasukan separa tentera, AP memetik kumpulan bantuan dan pegawai PBB.

    Pejuang RSF mengamuk melalui Hospital Saudi di bandar itu, membunuh lebih 450 orang, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lapor AP.

    Pejuang juga pergi dari rumah ke rumah, membunuh orang awam dan melakukan serangan seksual, kata pekerja bantuan dan penduduk yang kehilangan tempat tinggal, AP melaporkan.

    Sudan menjunam ke dalam huru-hara pada April 2023 apabila perebutan kuasa antara tentera dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) separa tentera yang kuat meletup ke dalam pertempuran terbuka di ibu negara, Khartoum, dan tempat lain di negara itu.

    Perang yang dahsyat itu telah membunuh lebih daripada 40,000 orang, AP memetik angka PBB, tetapi kumpulan bantuan mengatakan itu adalah kurang dan jumlah sebenar mungkin berlipat kali ganda lebih tinggi.

    Ia mewujudkan krisis kemanusiaan terbesar di dunia, dengan lebih 14 juta orang terpaksa meninggalkan rumah mereka, mencetuskan wabak penyakit dan mendorong sebahagian negara itu ke dalam kebuluran.

    Kira-kira 370,000 orang telah mengalami kebuluran di Kordofan dan wilayah barat Darfur setakat September, dengan 3.6 juta orang lagi selangkah daripada kebuluran di kedua-dua wilayah itu, menurut pakar kelaparan antarabangsa, lapor AP.

  • Hospital kata 24 maut dalam serangan Israel di Gaza

    Tentera Israel pada Sabtu melancarkan serangan udara terhadap militan Hamas di Gaza dalam ujian gencatan senjata terbaharu, dengan pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berkata lima anggota kanan Hamas terbunuh, menurut laporan AP.

    Menurut AP, pegawai kesihatan di Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 24 orang terbunuh dan 54 lagi cedera, termasuk kanak-kanak.

    Serangan Israel berlaku ketika momentum antarabangsa semakin meningkat di Gaza, dengan Majlis Keselamatan PBB pada Isnin meluluskan pelan tindakan AS untuk mengamankan dan mentadbir wilayah itu.
    Ia memberi kuasa kepada pasukan penstabilan antarabangsa untuk menyediakan keselamatan, meluluskan pihak berkuasa peralihan untuk diawasi oleh Presiden Donald Trump dan membayangkan kemungkinan laluan masa depan untuk sebuah negara Palestin yang merdeka.

    Israel sebelum ini melakukan gelombang serangan yang sama selepas melaporkan serangan ke atas tenteranya semasa gencatan senjata.

    Sekurang-kurangnya 33 rakyat Palestin terbunuh dalam tempoh 12 jam pada Rabu dan Khamis, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, AP memetik pegawai kesihatan.

    Satu daripada serangan pada Sabtu menyasarkan sebuah kenderaan, membunuh 11 dan mencederakan lebih 20 rakyat Palestin di kejiranan Rimal di Kota Gaza, kata Rami Mhanna, pengarah urusan Hospital Shifa, di mana mangsa dibawa, lapor AP.

    Majoriti yang cedera adalah kanak-kanak, pengarah Mohamed Abu Selmiya dilapor berkata.

    Serangan menyasarkan sebuah rumah dekat Hospital Al-Awda di tengah Gaza membunuh sekurang-kurangnya tiga orang dan mencederakan 11 yang lain, menurut hospital itu.

    Ia dilapor berkata, serangan ke atas sebuah rumah di kem Nuseirat di tengah Gaza membunuh sekurang-kurangnya tujuh orang termasuk seorang kanak-kanak dan mencederakan 16 yang lain.

    Satu lagi serangan, menyasarkan sebuah rumah di Deir al-Balah di tengah Gaza, membunuh tiga orang, termasuk seorang wanita, menurut Hospital Al-Aqsa.

    “Tiba-tiba, saya mendengar letupan kuat. Saya melihat ke luar dan melihat asap meliputi seluruh kawasan. Saya tidak dapat melihat apa-apa. Saya menutup telinga saya dan mula menjerit kepada yang lain di dalam khemah untuk berlari,” kata Khalil Abu Hatab di Deir al-Balah, lapor AP.

    “Apabila saya melihat semula, saya menyedari tingkat atas rumah jiran saya telah tiada.”

    Dia menambah: “Ia adalah gencatan senjata yang rapuh. Ini bukan kehidupan yang boleh kita jalani. Tidak ada tempat yang selamat.”

    Menurut AP, tentera Israel dalam satu kenyataan berkata ia melancarkan serangan terhadap Hamas selepas seorang “pengganas bersenjata” menyeberang ke kawasan yang dikuasai Israel dan menembak tentera di selatan Gaza.

    Ia dilapor berkata, tiada askar cedera.
    Tentera dilapor berkata, orang itu telah menggunakan jalan di mana bantuan kemanusiaan memasuki wilayah itu, dan menyebutnya sebagai “pelanggaran melampau” gencatan senjata.

    Dalam kenyataan berasingan, tentera dilapor berkata, askar membunuh lima “pengganas” di kawasan Rafah, dan dua lagi selepas menembak empat orang yang menyeberang ke kawasan yang dikuasai Israel di utara Gaza dan mara ke arah tentera dalam dua insiden berasingan.

    Satu kenyataan oleh anggota kanan biro politik Hamas, Izzat al-Rishq, menuduh Israel “membuat dalih untuk mengelak perjanjian (gencatan senjata) dan kembali kepada perang pemusnahan” dan berkata Hamas telah menggesa AS dan pengantara lain untuk memaksa Israel melaksanakan perjanjian itu.

  • 22 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel ke atas rumah, kenderaan di seluruh Gaza walaupun gencatan senjata

    Sekurang-kurangnya 22 rakyat Palestin terbunuh pada Sabtu dalam siri serangan udara Israel yang melanda rumah dan sebuah kenderaan di beberapa kawasan di Jalur Gaza, dalam pelanggaran baharu gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 10 Okt lalu, lapor Anadolu.

    Menurut Anadolu, jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Mahmoud Bassal berkata dalam satu kenyataan video bahawa wanita, kanak-kanak dan orang tua adalah antara mangsa dalam serangan yang memusnahkan keseluruhan bangunan itu.

    Dia dilapor berkata, lima orang terbunuh dan yang lain cedera selepas serangan dron Israel menyasarkan kenderaan awam dekat Persimpangan Abbas di barat Bandar Gaza.

    Di bandar yang sama, empat rakyat Palestin dilaporkan terbunuh apabila serangan Israel melanda sebuah rumah di Jalan al-Labbidi.

    Di tengah Jalur Gaza, Bassal dilapor berkata, dua rakyat Palestin terbunuh dan yang lain cedera apabila serangan Israel menyasarkan sebuah rumah dekat Masjid Bilal bin Rabah di barat Deir al-Balah.

    Di kem pelarian Nuseirat, tiga rakyat Palestin dilaporkan terbunuh apabila serangan Israel melanda sebuah rumah di sebelah Hospital Al-Awda.

    Juga, di Nuseirat, tujuh rakyat Palestin dilapor terbunuh selepas serangan Israel melanda sebuah rumah di Kem 2.

    Menurut Anadolu, Bassal tidak memperincikan di mana kematian tambahan berlaku.

    Tentera Israel turut menembak dan mencederakan tiga rakyat Palestin dekat kem al-Bureij di tengah Gaza dan Jabalia di utara, Anadolu memetik pegawai perubatan.

    Menurut Anadolu, tentera Israel mendakwa dalam satu kenyataan bahawa tenteranya telah “menghapuskan” seorang lelaki bersenjata selepas dia didakwa melintas garisan kuning.

    Pada fajar, tentera Israel dilaporkan melakukan serangan ke atas kawasan timur al-Bureij dan Deir al-Balah, serta timur Rafah dan Khan Younis di selatan, selain bahagian kawasan kejiranan Tuffah dan Shujaiya di timur Kota Gaza.

  • Wartawan Tasnim dakwa diseksa 110 hari di penjara Israel

    Farah Abu Ayyash, seorang wartawan Palestin untuk Agensi Berita Tasnim, melaporkan mengenai penyeksaan dan penganiayaan yang dialaminya sejak 110 hari lalu di tangan askar Israel dalam hubungan pertamanya dengan dunia luar, lapor berita Tasnim.

    Farah Abu Ayyash, wartawan Palestin untuk Tasnim di bandar Hebron (Al-Khalil), yang terletak di selatan Tebing Barat, ditangkap semasa serbuan malam oleh tentera Israel pada 6 Ogos 2025, di rumahnya di kampung Beit Ummar, utara Al-Khalil, menurut Tasnim.

    Selepas dipindahkan ke penjara Moskobiya di Jerusalem yang diduduki utara (Al-Quds), dia telah mengalami penyeksaan, gangguan, dan penderaan, menurut laporan itu.

    Tasnim, selaras dengan misi yang wujud, berhasrat untuk bertindak balas terhadap tindakan keji oleh rejim Zionis ini sebaik sahaja wartawan yang berani dan komited itu ditahan.

    Bagaimanapun, selepas berunding dengan beberapa wartawan perantara dan peguam wartawan Palestin itu, serta mempertimbangkan kebimbangan peribadi Farah tentang prosiding undang-undang di mahkamah Israel dan potensi risiko yang mungkin ditimbulkan oleh pasukan tentera Israel kepada ahli keluarganya, memutuskan untuk mengelak daripada menyiarkan maklumat mengenai kes itu, menurut berita itu.

    Namun, berikutan penerbitan komen Farah dari dalam penjara Israel yang terkenal itu, memperincikan penyeksaan dan penderaan yang dikenakan ke atasnya oleh pengawal penjara Israel, dan selepas berunding lanjut dengan peguamnya, Tasnim tidak mempunyai pilihan selain mengumumkan berita itu secara rasmi, jelas Tasnim.

    Dilaporkan, keputusan itu dibuat bagi meningkatkan kesedaran mengenai akibat teruk daripada tindakan tidak berperikemanusiaan dan gila rejim Israel terhadap wartawan Palestin yang tidak bersalah.

    Pemenjaraan dan penahanan selama berbulan-bulan—dan akhirnya penyeksaan kejam oleh Zionis terhadap Farah—berlaku walaupun pada hakikatnya, dalam banyak laporannya untuk Agensi Berita Tasnim sebagai wartawan, dia hanya ingin menggambarkan dimensi tidak berperikemanusiaan dan anti-manusia penjajahan Zionis terhadap penduduk Palestin yang tertindas di Tebing Barat, dan untuk menyatakan solidariti dengan penduduk Gaza yang tertindas berikutan serangan kejam rejim Israel ke atas enklaf itu pada Oktober 2023, menurut laporan Tasnim.

    Bertentangan dengan dakwaan rejim Zionis, Farah tidak mempunyai penglibatan di luar tanggungjawab yang diharapkan daripada seorang wartawan sepanjang bekerjasama dengan Tasnim, lapor agensi berita itu.

    Foto dipautkan pada TASNIM.
    Foto dipautkan pada TASNIM.
  • 4 maut dalam tanah runtuh di tengah Sri Lanka

    Empat orang maut akibat tanah runtuh di wilayah tengah Sri Lanka pada Sabtu, kata Pusat Pengurusan Bencana (DMC) Sri Lanka, menurut berita Xinhua.

    Xinhua melaporkan, menurut DMC, mangsa membabitkan tiga lelaki dan seorang wanita.

    Sekurang-kurangnya empat yang lain dilaporkan cedera dan dimasukkan ke hospital.

    Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan, dengan pegawai memberi amaran mangsa tambahan mungkin masih terperangkap di bawah serpihan.

    Tanah runtuh itu dilaporkan melanda sebuah kedai kecil yang popular dalam kalangan pemandu untuk makanan ringan dan teh. Tanah dan batu dilaporkan menghempap ​​bangunan dan beberapa kenderaan berdekatan.

    Polis dilapor berkata, kejadian itu telah membawa kepada sekatan lalu lintas yang ketara di jalan utama Colombo-Kandy, salah satu jalan paling sibuk di Sri Lanka, bagi memastikan keselamatan awam.

    Pihak berkuasa telah memberi amaran bahawa hujan lebat yang berterusan telah meningkatkan risiko tanah runtuh, batuan, dan gelinciran tanah, khususnya di kawasan Kadugannawa. Amaran tanah runtuh telah dikeluarkan untuk tujuh daerah.

  • Tentera Pakistan bunuh 8 militan di wilayah barat laut

    Lapan militan terbunuh semasa operasi berasaskan perisikan oleh tentera Pakistan di wilayah Khyber Pakhtunkhwa barat laut negara itu, kata tentera pada Sabtu, menurut berita Xinhua.

    Operasi itu dijalankan pada Jumaat berhubung laporan mengenai kehadiran militan di daerah Bannu, Perhubungan Awam Antara Perkhidmatan (ISPR), sayap media tentera Pakistan dilapor berkata dalam satu kenyataan.

    Tentera telah menyerang tempat persembunyian militan, dan selepas berbalas tembak sengit, pengganas terbunuh, Xinhua memetik kenyataan itu.

    Militan yang terbunuh telah terlibat dalam serangan ke atas pasukan keselamatan, anggota penguatkuasa undang-undang dan orang awam, ISPR dilapor berkata.

  • 2 terbunuh dalam serangan dron Ukraine di wilayah Samara, Rusia

    Dua orang terbunuh dan dua lagi cedera dalam serangan dron di bandar Syzran di wilayah Samara Rusia, Gabenor wilayah Vyacheslav Fedorishchev berkata pada Sabtu, Xinhua melaporkan.

    Fedorishchev dilapor berkata, kenderaan udara tanpa pemandu menyasarkan infrastruktur bahan api dan tenaga di rantau itu, sambil menambah bahawa sistem pertahanan udara Rusia berjaya menangkis serangan itu.

    Menurut Xinhua, Kementerian pertahanan Rusia berkata pada Sabtu bahawa unit pertahanan udara Rusia menembak jatuh 155 dron jenis pesawat Ukraine dalam tempoh 24 jam lalu.