Beratus-ratus orang berhimpun pada Sabtu di ibu negara Sweden untuk memprotes serangan Israel ke atas Jalur Gaza, mengatakan Israel melanggar perjanjian gencatan senjata, menurut berita Anadolu.
Penunjuk perasaan berkumpul di Dataran Odenplan di tengah Stockholm untuk mengecam serangan Israel yang berterusan dan menyekat bantuan kemanusiaan ke dalam enklaf Palestin yang dikepung itu.
Melaungkan slogan pro-Palestin, peserta membawa papan tanda bertulis “Berdiri untuk Palestin” dan “Katakan tidak kepada genosid”.
Peserta protes juga menggesa kerajaan Sweden untuk mengenakan sekatan senjata menyeluruh ke atas Israel.
Dror Feiler, seorang aktivis Yahudi yang menghadiri perhimpunan itu, dilapor memberitahu Anadolu bahawa walaupun terdapat perbincangan mengenai gencatan senjata di Palestin, situasi di lapangan menunjukkan sebaliknya.
“Rakyat Palestin dibunuh setiap hari di Gaza, manakala pembersihan etnik berterusan di Tebing Barat yang diduduki,” dia dilapor berkata.
Feiler dilapor berkata, pasukan keselamatan Israel di Tebing Barat bukan sahaja gagal menghentikan serangan peneroka ke atas Palestin tetapi juga bersubahat.
“Kerajaan kita terus membeli dan menjual senjata. Mereka terus menyokong Israel dari segi politik dan diplomatik… itu tidak boleh diterima,” dia dilaporkan berkata.
























