Pemain Paris Saint-Germain (PSG), Achraf Hakimi, pemain penting dalam pasukan mereka yang memenangi Liga Juara-Juara musim lalu, akan dibicarakan atas tuduhan rogol seorang wanita muda, kata peguamnya dan seorang pendakwa raya Perancis kepada AFP pada Selasa. menurut paparan berita Arab News.
Menurut laporan itu, pada Februari 2023, seorang wanita yang ketika itu berusia 24 tahun memberitahu polis di Val-De-Marne di tenggara Paris bahawa Hakimi telah merogolnya.
Pemain antarabangsa Maghribi berusia 27 tahun itu, yang memainkan peranan penting dalam Maghribi menjadi pasukan Afrika dan Arab pertama yang mara ke separuh akhir Piala Dunia apabila mereka masuk empat terakhir pada 2022, menafikan sebarang salah laku.
“Hari ini, tuduhan rogol sudah cukup untuk mewajarkan perbicaraan, walaupun saya membantahnya dan semuanya membuktikan bahawa ia palsu,” tulisnya di X pada Selasa, menurut laporan berita itu.
“Saya menunggu perbicaraan ini dengan tenang, yang akan membolehkan kebenaran terbongkar secara terbuka.”
Peguam Hakimi, Fanny Colin, berkata perbicaraan telah diperintahkan dan pendakwa raya di pinggir bandar Nanterre di Paris mengesahkannya, menurut berita itu.
“Perbicaraan telah diperintahkan berdasarkan tuduhan yang hanya bergantung pada kata-kata seorang wanita yang menghalang semua siasatan, menolak semua pemeriksaan perubatan dan ujian DNA, menolak untuk membenarkan telefon bimbitnya diperiksa, dan menolak untuk memberikan nama saksi utama,” Colin dilapor berkata.
Plaintif berkata dia bertemu Hakimi pada Januari 2023 di Instagram dan pergi ke rumahnya dengan teksi yang dipesan oleh pemain itu, kata sumber polis pada masa itu, berita itu melaporkan.
Dia mendakwa bahawa pemain itu menciumnya, menyentuhnya tanpa persetujuannya dan kemudian merogolnya, lapor berita itu, dia berkata dia berjaya menolaknya dan menghantar mesej kepada seorang rakan, yang datang menjemputnya.
Jurulatih PSG Luis Enrique apabila ditanya mengenainya pada sidang akhbar Selasa, menjelang perlawanan kedua playoff Liga Juara-Juara dengan Monaco, dilapor berkata: “Perkara ini berada di tangan pihak berkuasa.”
Peguam plaintif, Rachel-Flore Pardo, dilapor berkata anak guamnya lega apabila mendengar kes itu dibawa ke mahkamah.
Dia dilapor berkata, badan kehakiman telah menjadi contoh yang baik dalam mengendalikan kes itu.
Namun, layanannya secara umum menunjukkan “masih terdapat bidang di mana gerakan #MeToo belum menembusi halangan bunyi, terutama dalam bola sepak lelaki,” tambahnya.
Hakimi, yang dilahirkan di Sepanyol kepada seorang ibu Maghribi, berlatih bersama Real Madrid membuat penampilan sulung seniornya untuk mereka pada 2017.
Dia juga merupakan salah seorang superstar Maghribi semasa Piala Negara-Negara Afrika, dengan pasukan tuan rumah mara ke perlawanan akhir di mana mereka tewas dalam klimaks yang huru-hara kepada Senegal dalam kejohanan itu.
Hakimi menyertai PSG pada 2021, selepas berkhidmat bersama Borussia Dortmund dan Inter Milan.























