Kira-kira 250 pelarian Rohingya dan warga Bangladesh hilang selepas sebuah bot terbalik di Laut Andaman, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menurut berita Al Jazeera.
Dimuatkan dengan lelaki, wanita dan kanak-kanak, bot-bot itu dilaporkan karam akibat “angin kencang, laut bergelora dan kesesakan”, kata Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.
Pengawal Pantai Bangladesh (BCG) berkata salah satu kapalnya, yang dalam perjalanan ke Indonesia, berjaya menyelamatkan sembilan orang dari laut, termasuk seorang wanita, pada 9 April, menurut berita Al Jazeera memetik laporan agensi berita AFP.
Jurucakap BCG, Leftenan Komander Sabbir Alam Sujan berkata kapal itu “melihat beberapa orang terapung di laut menggunakan tong dan kayu balak dan menyelamatkan mereka dari perairan dalam”.
Al Jazeera melaporkan, menurut agensi berita Andalou, daripada sembilan yang diselamatkan, enam daripada sembilan orang didakwa menyeludup. Mereka telah ditahan, menurut polis.
Seorang mangsa yang terselamat, Rafiqul Islam, dilapor berkata dia telah diumpan ke atas bot oleh penyeludup, yang menjanjikannya pekerjaan di Malaysia.
UNHCR berkata kejadian itu mencerminkan “akibat buruk perpindahan yang berlarutan dan ketiadaan penyelesaian yang berkekalan untuk Rohingya”.
Laut Andaman terbentang di sepanjang pantai barat Myanmar, Thailand dan Semenanjung Tanah Melayu, menurut Al Jazeera, Malaysia merupakan destinasi pilihan Rohingya kerana ia merupakan negara majoriti Muslim dan mempunyai diaspora Rohingya yang besar.























