Askar Tentera Nigeria melepaskan tembakan dan membunuh sembilan wanita yang memprotes pengendalian tentera terhadap pertempuran kaum di negeri timur laut Adamawa, saksi dan Amnesty International dilapor memberitahu The Associated Press (AP) pada Selasa.
Wanita-wanita itu memprotes pada Isnin di jalan utama di kerajaan tempatan Adamawa, Lamurde, apabila askar menembak mereka selepas dihalang daripada lalu, saksi dan saudara-mara mangsa memberitahu AP secara terperinci yang pertama kali dilaporkan pada Selasa.
Sepuluh yang lain cedera dalam tembakan itu, kata saksi.
Tentera Nigeria dalam satu kenyataan menafikan membunuh sesiapa dan menyalahkan militia tempatan yang dikatakan melepaskan tembakan di kawasan itu atas kematian tersebut, lapor AP.
Pejabat Amnesty International Nigeria dilapor berkata agensi itu mengesahkan askar membunuh sembilan peserta protes, memetik laporan daripada saksi dan keluarga mangsa.
“Ia menunjukkan bahawa tentera Nigeria tidak banyak berubah kerana rekod pelanggaran hak asasi manusia dan pengabaian kedaulatan undang-undang yang lalu,” menurut Isa Sanusi, pengarah Amnesty International di Nigeria.
AP bagaimanapun mengatakan tidak dapat mengesahkan secara bebas apa yang berlaku.
Menurut AP, pembunuhan sebegini adalah perkara biasa di Nigeria di mana askar yang sering dikerahkan sebagai tindak balas kepada protes dan pertempuran biasanya dituduh menggunakan kekerasan secara berlebihan.
Protes terhadap kekejaman polis di hab ekonomi Nigeria, Lagos pada tahun 2020 berakhir dengan apa yang digambarkan oleh siasatan yang ditugaskan oleh kerajaan sebagai pembunuhan beramai-ramai selepas askar melepaskan tembakan di tempat protes, lapor AP.
Insiden terbaru berlaku di tengah-tengah perintah berkurung yang dikenakan oleh pihak berkuasa di Lamurde susulan pertempuran yang kerap antara kumpulan etnik Bachama dan Chobo mengenai pertikaian tanah yang berpanjangan.
Peserta protes terkilan kerana pasukan keselamatan, termasuk askar, tidak menguatkuasakan perintah berkurung di kawasan yang terjejas, sekali gus membenarkan pertempuran berterusan, menurut Lawson Ignatius, ahli majlis yang mewakili Lamurde dalam parlimen kerajaan tempatan, lapor AP.
Gyele Kennedy, yang mengatakan anak perempuannya adalah antara peserta perasaan yang ditembak mati, meratapi dalam kesedihan bahawa “kami tidak tahu apa yang menimpa mereka”.
“Askar-askar ini sedang beredar dari tempat konflik itu berlaku dan mereka melalui tempat ini. Mereka datang dan bertemu dengan wanita-wanita yang memprotes apabila salah seorang askar melepaskan tembakan ke udara. Selepas itu, mereka melepaskan tembakan ke arah wanita-wanita itu,” kata Kennedy, menurut AP.
Menurut AP, Tentera Nigeria bagaimanapun menafikan dakwaan itu, dengan mengatakan askarnya hanya bertempur dengan militia tempatan di bahagian lain pekan itu.
“Tanpa sebarang keraguan, korban jiwa itu disebabkan oleh pengendalian senjata automatik yang tidak profesional oleh militia tempatan yang tidak terlatih dengan mahir untuk mengendalikan senjata automatik sedemikian,” kata jurucakap tentera, lapor AP.
Pembunuhan yang dilaporkan berlaku ketika tentera Nigeria sedang diteliti oleh Presiden AS Donald Trump, yang mendakwa penganut Kristian menjadi sasaran dalam krisis keselamatan Nigeria dan pasukan keselamatan tidak melakukan secukupnya untuk mencegah pembunuhan tersebut.
Penduduk dilaporkan telah memberitahu AP bahawa penganut Kristian dan Muslim terjejas dalam keganasan berleluasa yang melanda kampung-kampung Nigeria.
Pejabat Amnesty International Nigeria menyeru agar pembunuhan yang dilaporkan disiasat dan pelaku mengambil tanggungjawab.























