Berbilion-bilion dolar dalam peralatan tentera AS rosak atau musnah sejak bermulanya perang AS-Israel ke atas Iran, kebanyakannya disebabkan oleh serangan peluru berpandu dan dron Iran, menurut laporan Wall Street Journal yang diterbitkan pada Jumaat, lapor Anadolu.
Kerugian dalam tiga minggu pertama konflik dianggarkan sebanyak $1.4 bilion hingga $2.9 bilion, Elaine McCusker, bekas pegawai bajet Pentagon yang kini berada di American Enterprise Institute, memberitahu akhbar itu.
Antara insiden yang dipetik, tiga jet pejuang F-15E telah ditembak jatuh secara tersilap oleh pesawat Kuwait pada 1 Mac lalu, manakala sebuah jet halimunan F-35 telah melakukan pendaratan cemas pada 16 Mac lalu selepas dilaporkan diserang. Iran mendakwa ia menyasarkan pesawat itu, menurut laporan itu, kata Anadolu.
Perlanggaran udara antara dua pesawat pengisian bahan api KC-135 di Iraq turut mengorbankan enam anggota kru. Lima lagi KC-135 telah rosak dalam serangan peluru berpandu Iran ke atas Pangkalan Udara Prince Sultan di Arab Saudi dan sedang menjalani pembaikan.
Lebih daripada sedozen dron MQ-9 Reaper telah hilang, termasuk beberapa yang ditembak jatuh oleh peluru berpandu dan yang lain musnah di darat. Serangan Iran juga merosakkan pesawat dan sistem radar di pangkalan AS di Arab Saudi, Qatar dan Jordan.
Kebakaran berlaku di kapal pengangkut pesawat USS Gerald R Ford pada 12 Mac lalu; kapal itu kini sedang menjalani pembaikan di Souda Bay, Greece, menurut Tentera Laut AS.
Pentagon merancang untuk menggantikan beberapa sistem yang rosak melalui permintaan perbelanjaan tambahan bernilai $200 bilion yang dicadangkan.
Menurut Anadolu, ia tidak dapat mengesahkan kerugian yang dilaporkan secara bebas.
























