Amerika Syarikat (AS) pada Khamis mengenakan sekatan ke atas lima pegawai Iran yang dituduh sebagai dalang di sebalik tindakan keras terhadap protes dan memberi amaran bahawa ia sedang menjejaki dana pemimpin Iran yang disalurkan ke bank-bank di seluruh dunia, ketika pentadbiran Presiden AS Donald Trump meningkatkan tekanan ke atas Tehran, menurut laporan Reuters.
Menurut Reuters, Jabatan Perbendaharaan AS dalam satu kenyataan berkata ia mengenakan sekatan ke atas Setiausaha Majlis Tertinggi Keselamatan Negara serta komander Kor Pengawal Revolusi Islam dan pasukan penguatkuasaan undang-undang, menuduh mereka sebagai arkitek tindakan keras terbabit.
Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent dalam satu video pada Khamis dilapor berkata, mesej Washington kepada pemimpin Iran adalah jelas: “Perbendaharaan AS tahu, bahawa seperti tikus di atas kapal yang karam, anda dengan tergesa-gesa menyalurkan dana yang dicuri daripada keluarga Iran kepada bank dan institusi kewangan di seluruh dunia. Yakinlah, kami akan menjejaki mereka dan anda.”
“Tetapi masih ada masa, jika anda memilih untuk menyertai kami. Seperti yang dikatakan oleh Presiden Trump, hentikan keganasan dan berdiri bersama rakyat Iran.”
Pergolakan di Iran bermula dengan protes mengenai kenaikan harga sebelum bertukar menjadi salah satu cabaran terbesar kepada golongan ulama sejak Revolusi Islam 1979.
Menurut Reuters, kumpulan hak asasi manusia HRANA yang berpangkalan di AS berkata setakat ini ia telah menentusahkan kematian 2,435 peserta protes dan 153 individu yang berkaitan dengan kerajaan.
“Amerika Syarikat berdiri teguh di belakang rakyat Iran dalam seruan mereka untuk kebebasan dan keadilan,” kata Bessent dalam kenyataan itu, menurut Reuters.
“Perbendaharaan akan menggunakan setiap alat untuk menyasarkan mereka yang berada di sebalik penindasan zalim rejim terhadap hak asasi manusia.”
Perbendaharaan juga mengenakan sekatan ke atas 18 orang yang dituduh terlibat dalam pengubahan hasil jualan petroleum dan petrokimia Iran ke pasaran asing sebagai sebahagian daripada rangkaian “perbankan bayangan” institusi kewangan Iran yang disekat, lapor Reuters.
Tindakan Khamis dikatakan langkah terbaharu yang menyasarkan Tehran sejak Trump mengembalikan kempen “tekanan maksimum” ke atas Iran, yang merangkumi usaha untuk memacu eksport minyaknya kepada sifar dan membantu mencegah Tehran daripada membangunkan senjata nuklear.























