Angka kematian dalam letupan lombong arang batu di negeri Meghalaya, timur laut India, meningkat kepada 27 orang, menurut beberapa laporan media tempatan pada Sabtu, lapor berita Xinhua.
Letupan itu dilaporkan berlaku pada Khamis di dalam lombong arang batu di Mynsyngat-Thangsko di daerah East Jaintia Hills, kira-kira 70 km di timur Shillong, ibu kota Meghalaya.
“Jumlah kematian akibat letupan di lombong arang batu haram di Meghalaya telah meningkat kepada 27 orang dengan dua lagi mayat pelombong ditemui petang ini,” GPlus, sebuah saluran media tempatan yang berpangkalan di Guwahati, memetik pegawai polis sebagai berkata, menurut Xinhua.
Laporan mengatakan sekurang-kurangnya sembilan orang yang cedera dalam kejadian itu sedang menerima rawatan perubatan.
“Mungkin terdapat beberapa orang lain yang turut terperangkap di sana. Kami sedang mencari mereka,” kata HPS Kandarian, seorang pegawai Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan, kepada media.
Laporan mengatakan lombong arang batu itu beroperasi secara haram, dan kemalangan itu berlaku disebabkan oleh perlombongan “lubang tikus” – kaedah berbahaya yang melibatkan penggunaan bahan letupan untuk memecahkan lombong, menurut Xinhua.
Kerajaan tempatan telah mengarahkan siasatan menyeluruh terhadap kejadian itu.























