Afghanistan yang menggelar serangannya ‘operasi balas dendam’ terhadap Pakistan mendakwa 55 askar Pakistan terbunuh.
Timbalan jurucakap Emirat Islam Afghanistan, Hamdullah Fitrat, dalam catatan di X melaporkan, dalam operasi balas dendam, sejumlah 55 tentera Pakistan terbunuh, dua garison dan 19 pos kawalan ditawan.
Menurutnya, serangan itu berlaku di sepanjang Garisan Durand, dekat wilayah Paktika, Paktia, Khost, Nangarhar, Kunar, dan Nuristan.
Unit operasi Kementerian Pertahanan Negara mencapai sasaran ditetapkan mengikut perancangan, dan pertempuran dihentikan pada 12 tengah malam mengikut arahan Timbalan Panglima Emiriah Islam, menurut catatan itu.
“Mujahidin, dengan semangat yang tinggi, secara sistematik memusnahkan dua garison dan 19 pos kawalan, sementara musuh melarikan diri dari empat pos kawalan lain sendirian.
“Semasa pertempuran selama empat jam itu, 55 tentera Pakistan terbunuh; mayat sebahagiannya jatuh ke tangan Mujahidin, sebahagiannya ditangkap hidup-hidup sebagai tahanan, dan ramai yang lain melarikan diri,” menurut catatan di X Hamdullah.
Dilaporkan berpuluh-puluh senjata ringan dan berat, peluru, dan peralatan ketenteraan jatuh ke tangan pasukan Afghanistan; satu kereta kebal musuh dimusnahkan, dan satu kenderaan pengangkutan tentera yang besar juga dirampas.
“Dalam operasi pembalasan ini, 8 Mujahidin kita telah syahid, 11 orang cedera, dan tambahan pula, dalam serangan peluru berpandu musuh ke atas kem pelarian di Nangarhar, 13 orang warga awam kita, termasuk wanita dan kanak-kanak, cedera.”
Di pihak Pakistan, Mosharraf Zaidi, jurucakap perdana menteri untuk media asing – kerajaan Pakistan melaporkan, sejumlah 133 Taliban Afghan disahkan terbunuh dan lebih 200 cedera.
Lebih ramai korban dianggarkan dalam serangan di sasaran tentera di Kabul, Paktia dan Kandahar, menurut catatannya dalam kemas kini di X, dua puluh tujuh pos Taliban Afghan telah dimusnahkan, dan sembilan ditawan.
Menurut catatan itu, dua Markas Kor, tiga Markas Briged, dua depot peluru, satu pangkalan logistik, tiga markas batalion, dua markas sektor dan lebih daripada lapan puluh kereta kebal, artileri, dan pengangkut anggota bersenjata telah dimusnahkan.
“Tindak balas segera dan berkesan Pakistan terhadap pencerobohan berterusan.”























