Afghanistan mendakwa pada Jumaat, ia menjalankan “serangan udara yang diselaraskan” yang menyasarkan kedudukan tentera di dalam Pakistan, lapor Anadolu memetik Kementerian Pertahanan negara itu.
Kementerian itu dilapor berkata, serangan udara dilancarkan sekitar jam 11 pagi (0630GMT) “menyasarkan kem tentera dekat Faizabad di Islamabad, pangkalan tentera di Nowshera, kedudukan tentera di Jamrud, dan lokasi tambahan di Abbottabad”.
Menurut Anadolu, Pakistan masih belum memberi reaksi terhadap dakwaan kementerian itu.
Ketegangan antara kedua-dua negara berjiran itu memuncak sejak lewat Khamis, apabila Kabul berkata ia melancarkan “operasi balas dendam” di sepanjang sempadan sebagai tindak balas terhadap serangan udara Pakistan Ahad lalu.























