Pertempuran tercetus awal Isnin di timur Lubnan antara pejuang Hizbullah dan pasukan Israel selepas mereka mendarat dengan helikopter dekat pinggir kampung Nabi Sheet di kegabenoran Bekaa, lapor Anadolu memetik Agensi Berita Kebangsaan (NNA) Lubnan.
Agensi itu berkata unit Israel menyusup masuk ke kawasan itu dari bahagian Syria dan mendarat di ketinggian banjaran gunung timur di sempadan Lubnan-Syria.
Menurut Anadolu, televisyen Al-Manar Hizbullah melaporkan pejuang kumpulan itu telah menembak sebuah helikopter tentera Israel semasa pertempuran di kawasan itu.
Awal Ahad, Hizbullah berkata ia telah melancarkan tujuh serangan menggunakan roket dan dron yang menyasarkan tapak tentera, pangkalan dan perhimpunan tentera Israel sambil turut menangkis dua percubaan kemaraan oleh pasukan Israel.
























