Pesawat perang Israel menyerang depot simpanan minyak dan kemudahan penapisan di ibu negara Iran, Tehran, pada petang Sabtu, menurut penyiar awam Israel, lapor Anadolu.
Serangan itu menandakan kali pertama Israel menyasarkan kemudahan sedemikian sejak ia melancarkan serangan yang lebih luas ke atas Iran minggu lalu bersama-sama dengan AS.
Dalam satu kenyataan, tentera Israel berkata ia memulakan gelombang serangan baharu yang menyasarkan infrastruktur Iran di ibu negara.
Penyiar awam Israel, KAN, melaporkan Tentera Udara Israel menyasarkan depot simpanan minyak dan kemudahan penapisan di Tehran.
Menurut Anadolu, sementara itu, Agensi Berita Mehr separa rasmi Iran melaporkan letupan kedengaran di Tehran susulan serangan itu.
Sebagai tindak balas kepada penyasaran kilang penapisan Tehran, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) berkata kilang penapisan Haifa di Israel telah dilanda peluru berpandu, lapor Anadolu memetik agensi berita Fars.
Ketegangan serantau telah meningkat sejak Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas Iran pada 28 Feb, mengorbankan lebih 1,000 orang, termasuk Pemimpin Agung Iran Ali Khamenei, pelajar dan pegawai kanan tentera.
























