Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengesahkan, pasukan Israel telah melancarkan serangan ke atas pekan Nabi Chit di Lembah Bekaa semalaman, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 41 orang, menurut pihak berkuasa kesihatan Lubnan, lapor Aljazeera.
Dalam satu kenyataan di X, Netanyahu berkata tentera Israel telah menjalankan misi khas di kawasan itu yang bertujuan untuk mencari mayat Ron Arad, seorang tentera udara Israel yang ditangkap di Lubnan kira-kira 40 tahun lalu.
Dia menambah bahawa serangan itu “tidak membawa penemuan yang kami cari”.
Kementerian Kesihatan Awam Lubnan juga berkata sekurang-kurangnya 40 orang cedera dalam serangan udara dan darat Israel ke atas pekan itu.
Hizbullah berkata pejuangnya memerhatikan empat helikopter tentera Israel memasuki kawasan itu dari arah Syria dan berkata tentera Israel yang mara sedang bertempur dekat tanah perkuburan pekan itu.























