AS harus campur tangan dengan lebih tegas untuk menamatkan serangan Syria yang telah memperoleh wilayah penting daripada pejuang Kurdish sejak kebelakangan ini, lapor Reuters memetik ketua pasukan utama Kurdish memberitahunya.
Pasukan kerajaan melancarkan serangan pada Sabtu ke wilayah yang dikuasai selama sedekad lalu oleh pihak berkuasa Kurdish separa autonomi di timur laut Syria, menawan pekan-pekan di kedua-dua belah Sungai Euphrates serta medan minyak dan medan gas terbesar di negara itu, kata pegawai dan sumber keselamatan, menurut laporan Reuters.
Komander Unit Perlindungan Rakyat (YPG) Sipan Hamo dilapor berkata, pertemuan Sabtu antara utusan AS Tom Barrack dan pegawai Kurdish tidak menghasilkan peta jalan untuk gencatan senjata.
Dia menafikan Kurd Syria mahu memisahkan diri atau mewujudkan negara merdeka dan berkata masa depan mereka adalah di Syria.
“Harapan terbesar kami ialah akan ada hasil yang ketara, terutama daripada gabungan dan Amerika Syarikat, yang bermaksud mereka akan campur tangan dengan lebih tegas dalam masalah sedia ada daripada apa yang mereka lakukan sekarang,” kata Hamo.
Tentera Syria terus mara, meskipun terdapat seruan daripada Pusat Perintah tentera AS agar mereka berhenti, menurut laporan Reuters.
Hamo dilapor berkata, pihak berkuasa Kurdish menyedari bahawa Washington kini perlu mengimbangi pakatannya selama bertahun-tahun dengan pasukan Kurdish, yang membantu mengalahkan Islamic State (IS) di Syria, dengan sokongan baharunya terhadap kerajaan Syria di bawah Presiden Ahmed al-Sharaa.
Tetapi memandangkan “kebimbangan” Kurdish mengenai perubahan yang berlaku, AS harus menawarkan jaminan perlindungan kepada mereka.
“Dalam situasi semasa dan kekacauan yang kita alami, satu-satunya yang boleh menawarkan jaminan ialah Amerika Syarikat atau gabungan itu,” tambahnya dalam satu temu bual yang jarang berlaku dari wilayah Hasakeh, yang masih di bawah kawalan Kurdish.
“Kami percaya bahawa tanggungjawab untuk semua yang sedang berlaku di Syria terletak pada negara-negara Barat, terutama Amerika Syarikat,” tambah Hamo.
Hamo menafikan bahawa YPG menerima sokongan daripada Iran atau Rusia, sambil mencadangkan harapan bahawa Israel akan campur tangan bagi pihak Kurdish Syria.
“Sudah tentu, kami menganggap Israel sebagai sebuah negara yang berkuasa di rantau ini dengan agendanya sendiri. Kami berharap pendirian yang sama yang diambil oleh negara-negara lain di rantau ini terhadap minoriti tertentu di Syria akan diperluaskan kepada orang Kurd juga,” kata Hamo.
Ditanya sama ada dia merujuk kepada pendirian Israel terhadap minoriti Druze pada musim panas lalu – apabila Israel melakukan serangan udara ke atas kementerian pertahanan, dekat istana presiden di Damsyik dan ke atas tentera Syria yang mara ke bandar-bandar Druze – Hamo berkata, “sudah tentu”, lapor Reuters.
















































