Seorang pegawai polis Carolina Selatan cedera ditembak ketika duduk di dalam kereta perondanya pada Ahad dalam apa yang digelar oleh seorang pegawai sebagai “serangan ala serangan hendap,” dan timbalan syerif tempatan kemudiannya menembak mati seorang suspek dalam satu kejadian tembak-menembak, lapor AP memetik pihak berkuasa.
Pegawai polis Greenville itu dilaporkan berulang kali ditembak pada awal Ahad. Pegawai itu dirawat di hospital dan dibenarkan keluar.
Menurut laporan AP, Syerif Daerah Greenville, Hobart Lewis, menyifatkan kejadian tembakan itu sebagai “serangan ala serangan hendap” dalam video dari tempat kejadian yang disiarkan di Facebook.
Lewis dilapor berkata, pihak berkuasa mengenal pasti seorang suspek dan mengejar kenderaannya, yang membawa kepada “pertemuan berbalas tembakan”.
Suspek menerima “sekurang-kurangnya satu luka tembakan maut,” kata Pejabat Koroner Daerah Greenville dalam satu kenyataan, menurut AP. Ia mengenal pasti orang itu sebagai David William Lane, 42, dari Greenville.
Greenville, dengan populasi sekitar 70,000 orang, terletak kira-kira 90 batu (145 kilometer) barat laut ibu negeri Columbia.























