Angka maut akibat serangan dron Tahun Baru di sebuah kafe dan sebuah hotel di wilayah Kherson meningkat kepada 27 orang pada Jumaat, termasuk dua kanak-kanak, Jawatankuasa Siasatan Rusia mengumumkan, lapor Xinhua.
“Dua puluh tujuh orang, termasuk dua kanak-kanak, terbunuh dalam serangan pengganas ini,” Svetlana Petrenko, jurucakap jawatankuasa itu dilapor berkata.
Susulan serangan itu, 31 orang, termasuk lima kanak-kanak, dimasukkan ke hospital dengan kecederaan yang berbeza-beza tahapnya, tambahnya.
Vladimir Saldo, ketua wilayah Kherson, dilapor sebagai berkata dalam catatan Telegram bahawa tiga dron Ukraine menyerang kafe dan hotel, tempat orang awam meraikan Tahun Baru.
“Ramai orang terbakar hidup-hidup,” kata Saldo, sambil menyatakan bahawa salah satu dron membawa campuran pembakar, yang mencetuskan kebakaran besar di tempat kejadian. Anggota bomba memadamkan sepenuhnya kebakaran pada awal pagi Khamis.
Serpihan beberapa dron telah ditemui semasa pemeriksaan awal di lokasi, kata Petrenko, sambil menambah bahawa lebih daripada 26 pemeriksaan forensik, termasuk analisis perubatan, genetik dan kelengkapan letupan, telah diperintahkan.
















































