Presiden Rusia Vladimir Putin menandatangani dekri pada Isnin membenarkan warga China memasuki Rusia tanpa visa untuk tujuan pelancongan atau perniagaan untuk tempoh tidak melebihi 30 hari, berdasarkan prinsip timbal balik, lapor Xinhua.
Dekri itu dilaporkan mula berkuat kuasa pada tarikh ditandatangani, iaitu 1 Disember 2025.
Di bawah dekri itu, sehingga 14 September 2026, warganegara China yang memegang pasport tetap Republik Rakyat China mempunyai hak untuk memasuki Rusia dan tinggal tidak lebih daripada 30 hari untuk tujuan termasuk lawatan keluarga, perjalanan perniagaan, pelancongan, penyertaan dalam acara saintifik, kebudayaan, sosio-politik, ekonomi atau sukan, serta transit melalui wilayah Rusia dan keluar dari negara itu.
Menurut dekri itu, langkah ini tidak terpakai kepada warga China yang memasuki Rusia untuk bekerja, belajar atau menetap, mahupun mereka yang terlibat dalam pengangkutan jalan antarabangsa sebagai pemandu, anggota kru, penghantar barang atau jurubahasa yang mengiringi kenderaan tersebut.
China mengumumkan pada 2 September satu percubaan setahun polisi bebas visa selama 30 hari untuk warga Rusia yang memegang pasport biasa, yang berkuat kuasa pada 15 September. Polisi itu meliputi warga Rusia yang datang ke China untuk perniagaan, pelancongan, lawatan ke saudara atau rakan, penyertaan dalam pelbagai acara pertukaran, atau transit.
















































