Lapan rakyat Palestin terbunuh dan lebih 45 cedera pada Jumaat dalam dua serangan udara Israel yang menyasarkan sebuah bangunan kediaman dan sebuah kenderaan awam di bandar Gaza, lapor Anadolu memetik sumber perubatan.
Menurut Anadolu, sumber perubatan memberitahunya bahawa mangsa, termasuk wanita-wanita, telah dipindahkan ke Hospital Al-Shifa dan hospital medan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin di bandar Gaza.
Sumber dilapor berkata, tiga daripada mangsa terbunuh dalam serangan ke atas kenderaan itu, manakala lima maut dalam serangan ke atas bangunan kediaman itu.
Beberapa yang cedera dilaporkan berada dalam keadaan kritikal, tambah sumber itu.
Menurut Anadolu, seorang korespondennya di lapangan berkata kebakaran masih marak di bangunan disasarkan di kawasan kejiranan Rimal di barat bandar Gaza beberapa jam selepas serangan itu.
Saksi dilapor berkata, pesawat perang Israel melepaskan sekurang-kurangnya tiga peluru berpandu ke arah tingkat yang disasarkan di dalam bangunan Al-Muataz di kawasan kejiranan Rimal selatan.
Menurut Anadolu, saksi memberitahunya bahawa sebuah dron Israel juga menyerang sebuah kenderaan awam yang sedang bergerak di Jalan Al-Wahda dekat stesen petrol Abu Asi.
Laporan Al Jazeera mengatakan sekurang-kurangnya tujuh terbunuh dan berpuluh-puluh cedera, dengan yang terkorban ialah tiga wanita Palestin dan seorang kanak-kanak.
Menurut Al Jazeera, maklumat itu datang daripada sumber dalam perkhidmatan ambulans yang bercakap tanpa nama kepadanya.





























