Enam rakyat Palestin, termasuk seorang wanita, dilaporkan terbunuh pada Isnin dalam serangan dan tembakan Israel di Jalur Gaza dalam pelanggaran terbaru perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak Oktober tahun lalu.
Menurut Anadolu, sumber perubatan memberitahunya, Ahmad Oweida dan Hussein al-Malah terbunuh dan Abdullah al-Amassi cedera parah dalam serangan dron Israel yang menyasarkan orang awam dekat persimpangan Askoula di kawasan kejiranan Zeitoun di timur bandar Gaza.
Al-Amassi kemudian meninggal dunia akibat lukanya, meningkatkan jumlah kematian akibat serangan itu kepada tiga orang.
Menurut Anadolu, dalam perkembangan kemudian, sumber perubatan mengatakan Haneen al-Hour, 27, terbunuh selepas dron quadcopter Israel melepaskan tembakan ke arah rumah-rumah Palestin di kem pelarian Nuseirat di tengah Gaza.
Di tempat lain di tengah Gaza, Ibrahim al-Khalidi terbunuh dan enam lagi cedera dalam serangan dron Israel yang menyasarkan orang awam di Jalan Salah al-Din dekat kem pelarian Bureij.
Kemudian pada Isnin, seorang lagi rakyat Palestin terbunuh dan beberapa yang lain cedera dalam serangan dron Israel yang menyasarkan orang awam di kawasan al-Faluja di barat kem pelarian Jabalia di utara Gaza, Anadolu memetik sumber perubatan.
Menurut Anadolu, saksi berkata tentera Israel juga merobohkan bangunan dan kemudahan di dalam kawasan di bawah kawalannya di timur apa yang dipanggil “garisan kuning” di kawasan kejiranan Tuffah timur di bandar Gaza.
Artileri Israel juga membedil kawasan di timur Deir al-Balah dan Khan Younis di tengah dan selatan Gaza.
Pasukan Israel telah melakukan pelanggaran gencatan senjata setiap hari sejak 10 Okt yang telah membunuh 691 orang dan mencederakan 1,876 orang sehingga 18 Mac, menurut data Kementerian Kesihatan Palestin, lapor Anadolu.
Israel melancarkan perang ke atas Gaza pada Oktober 2023, membunuh lebih 72,000 rakyat Palestin, mencederakan sekitar 172,000 orang dan memusnahkan kira-kira 90% infrastruktur awam di kawasan terbabit.























