Lima rakyat Palestin terbunuh di Jalur Gaza sejak malam Isnin selepas bangunan yang rosak akibat serangan udara Israel runtuh ketika ribut kuat melanda kawasan itu, lapor Anadolu memetik sumber pertahanan awam dan perubatan Palestin pada Selasa.
Empat rakyat Palestin, termasuk seorang lelaki tua, seorang kanak-kanak, dan dua wanita, terbunuh selepas rumah-rumah yang retak dan struktur yang tidak stabil runtuh akibat hujan lebat dan angin kencang di Gaza, kata pegawai pertahanan awam.
Beberapa yang lain cedera dalam insiden berasingan membabitkan bangunan yang sebahagiannya rosak di bandar Gaza ketika angin kencang semalaman.
Seorang lelaki tua juga terbunuh pada Selasa ketika berada di dalam khemahnya dekat Masjid Al-Saraya yang musnah di bandar Gaza, ketika sisa-sisa menara masjid jatuh semasa ribut.
Ribut itu telah memburukkan lagi keadaan ratusan ribu rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal yang tinggal di khemah-khemah di seluruh jalur itu, di mana angin kencang dan hujan lebat sejak waktu malam telah membanjiri, merobek, dan menumbangkan ribuan tempat perlindungan sementara, terutama di sepanjang pantai, kata saksi mata.
Di tengah Gaza, beribu-ribu orang yang kehilangan tempat tinggal di kem pelarian Nuseirat mencari perlindungan di masjid dan bangunan yang sebahagiannya rosak selepas khemah mereka runtuh atau rosak teruk akibat ribut, menurut Anadolu memetik saksi yang memberitahunya.
Pejabat media kerajaan Gaza dilapor berkata 127,000 daripada 135,000 khemah yang melindungi rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal tidak lagi sesuai untuk didiami kerana kesejukan teruk melanda jalur itu.
Pengarah pejabat media Ismail Al-Thawabteh dilapor berkata, sistem cuaca telah mendedahkan kekurangan tempat tinggal, selimut dan pemanasan yang kritikal, terutama dalam kalangan keluarga yang tinggal di khemah usang dan di kawasan terpencil.
Dia berkata, kekurangan selimut dan bekalan pemanasan melebihi 70% di seluruh Gaza, sambil menambah bahawa keluarga yang kehilangan tempat tinggal menghadapi suhu beku tanpa perlindungan mencukupi daripada hujan, kelembapan dan tanah yang sejuk.
Kumpulan Palestin Hamas dilapor berkata, kematian berterusan kanak-kanak dan warga emas akibat cuaca sejuk dan rumah yang runtuh menunjukkan Gaza masih menanggung apa yang digambarkannya sebagai bentuk genosid yang paling teruk, mengkritik masyarakat antarabangsa kerana gagal menyampaikan bantuan mencukupi.
Tentera Israel telah membunuh lebih 71,400 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan mencederakan lebih 171,000 yang lain dalam serangan kejam sejak Oktober 2023 yang telah menyebabkan Gaza musnah.
Walaupun gencatan senjata bermula pada 10 Oktober 2025, tentera Israel terus menyerang, membunuh 442 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 1,200 yang lain, menurut Kementerian Kesihatan Gaza seperti dilaporkan Anadolu.
Secara berasingan, menurut Anadolu, dua rakyat Palestin maut di Baitulmaqdis Timur yang diduduki apabila ribut menyebabkan banjir dan kecemasan di seluruh Tebing Barat yang diduduki.
Gabenor Baitulmaqdis dilapor berkata dalam satu kenyataan bahawa Najah Marrar, 55, meninggal dunia selepas air hujan yang banyak membanjiri rumahnya di kawasan kejiranan Al-Zeitoun di pekan Anata, timur laut Baitulmaqdis yang diduduki, dengan paras air mencecah sekitar 150 sentimeter.
Kenyataan itu menambah bahawa jirannya yang tua, Khalil Fouad Ghaith, 67, meninggal dunia selepas mengalami serangan jantung akibat kejutan yang disebabkan oleh banjir.
Jawatankuasa kecemasan kegabenoran itu dilapor berkata, kira-kira sembilan buah rumah telah dibanjiri sepenuhnya, menyebabkan penduduk dipindahkan, selepas percubaan awal untuk membuka saluran saliran gagal sebelum laluan alternatif kemudiannya diwujudkan untuk mengehadkan kerosakan.
























