Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam letupan berasingan di selatan dan barat daya Iran, berita Anadolu memetik laporan media tempatan pada Sabtu.
Anadolu melaporkan, menurut Agensi Berita Mehr, Jabatan Bomba dan Perkhidmatan Keselamatan Perbandaran Ahvaz berkata letupan itu berlaku di sebuah kompleks kediaman empat unit di kawasan kejiranan Kianshahr di Ahvaz di barat daya Iran, mengorbankan empat orang.
Pegawai itu berkata letupan itu disebabkan oleh kebocoran dalam rangkaian gas bandar itu.
Secara berasingan, bahan yang tidak diketahui meletup di sebuah bangunan lapan tingkat yang terletak di lorong di luar Moallem Boulevard di Bandar Abbas, selatan Iran, Anadolu memetik agensi berita Fars.
Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun terbunuh dalam letupan itu, dan kira-kira 14 yang lain cedera.
Lebih 10 kenderaan yang diletakkan dekat bangunan itu juga rosak pada tahap yang berbeza-beza.























