Lima orang cedera selepas sebuah tren tergelincir awal Isnin di kanton barat daya Switzerland, Valais, kata polis tempatan, menurut berita Xinhua.
Menurut Xinhua, polis Valais dalam satu catatan media sosial, berkata sebuah tren dikendalikan oleh Bern-Lotschberg-Simplon-Bahn (BLS), yang dalam perjalanan dari Goppenstein ke Hohtenn, tergelincir sekitar jam 7 pagi waktu tempatan (0600 GMT) pada Isnin.
Polis dilapor berkata, terdapat 29 orang di dalam pada masa kemalangan itu berlaku. Seorang penumpang yang cedera dibawa ke hospital di Sion, manakala empat yang lain dirawat di lokasi oleh perkhidmatan kecemasan. Semua penumpang telah dipindahkan.
“Menurut penemuan awal, runtuhan salji mungkin telah melintasi landasan sejurus sebelum tren itu melepasi,” polis dilapor berkata.
Kereta Api Persekutuan Switzerland (SBB) dan BLS mengumumkan gangguan perkhidmatan antara Goppenstein dan Brig.
Laluan itu kini ditutup dan gangguan itu dijangka berlarutan sekurang-kurangnya sehingga 5:30 pagi Selasa, kata SBB di laman webnya, menurut Xinhua.























