Tiga rakyat Palestin, termasuk seorang paramedik, terbunuh dan tiga lagi cedera pada Ahad apabila serangan Israel menyasarkan sekumpulan orang awam dekat sebuah masjid di barat bandar Gaza, menandakan satu lagi pelanggaran gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 10 Oktober 2025, lapor Anadolu.
Sumber perubatan memberitahu Anadolu bahawa mangsa-mangsa telah diserang dalam serangan Israel dekat Masjid Al-Katiba di barat bandar Gaza.
Seorang daripada mereka yang terbunuh ialah Abdel Hosni Hamdouna, seorang paramedik dengan Kementerian Kesihatan Palestin, kata sumber terbabit, menurut Anadolu.
Sumber tempatan dilapor berkata, sebuah dron Israel menyasarkan orang awam di kawasan yang terletak di luar zon penempatan tentera Israel di bawah perjanjian gencatan senjata.
Menurut Anadolu, seorang korespondennya melaporkan bahawa serangan itu melanda lokasi yang sesak dengan khemah-khemah perpindahan dan dekat dengan sebuah hospital lapangan kira-kira sejam sebelum iftar, hidangan matahari terbenam menandakan berakhirnya puasa harian semasa bulan suci Ramadan.
Sejak gencatan senjata Gaza berkuat kuasa, pelanggaran Israel yang melibatkan bedilan dan tembakan telah membunuh 641 rakyat Palestin dan mencederakan 1,711 yang lain. Perjanjian gencatan senjata itu menyusuli genosid Israel selama dua tahun yang bermula pada 8 Oktober 2023, membunuh lebih 72,000 rakyat Palestin, mencederakan hampir 172,000 yang lain, dan menyebabkan kemusnahan besar-besaran kepada kira-kira 90% infrastruktur awam di Gaza, menurut laporan Anadolu, PBB menganggarkan kos pembinaan semula sekitar $70 bilion.
























