Dua pelombong terbunuh selepas letusan metana di lombong arang batu di selatan Poland, kata pihak berkuasa pada Selasa, menurut laporan Anadolu.
Kejadian itu berlaku di lombong arang batu Pniowek di wilayah arang batu Silesia, dalam terowong yang baru digali hampir 1,000 meter (3,280 kaki) di bawah tanah, salah satu aras kerja terdalam di tapak itu, Anadolu memetik laporan TVP World.
Menurut Jastrzebska Spolka Weglowa (JSW), syarikat kawalan kerajaan yang memiliki lombong itu, sensor mengesan pelepasan gas metana secara tiba-tiba bercampur dengan jisim batu sejurus selepas jam 5 petang waktu tempatan (1600GMT).
Sepuluh pelombong sedang bekerja di dalam terowong dengan mesin pengerudi (roadheader machine) berkapasiti tinggi pada masa letusan. Lapan pekerja berjaya berundur sendiri, manakala hubungan terputus dengan dua orang lain.
Pasukan penyelamat mencari kawasan itu selama kira-kira enam jam sebelum menemui pelombong yang hilang. Seorang doktor di tempat kejadian mengesahkan kedua-dua lelaki itu meninggal dunia.
Mangsa berumur 40 dan 41 tahun, dan masing-masing mempunyai lebih daripada 10 tahun pengalaman dalam industri perlombongan, kata syarikat itu.
Kematian mereka menjadikan jumlah kematian akibat perlombongan di Poland tahun ini kepada 15 orang, termasuk 12 di lombong arang batu keras, menurut data industri.
Pniowek dianggap sebagai salah satu lombong arang batu yang paling terdedah kepada metana di Poland, satu faktor yang meningkatkan risiko letupan bawah tanah.
Sebuah suruhanjaya khas telah dilantik untuk menyiasat punca dan keadaan kejadian itu.
Perdana Menteri Donald Tusk meluahkan ucapan takziahnya kepada keluarga-keluarga terbabit di X, dengan mengatakan pihak pengurusan syarikat telah memberi jaminan kepadanya bahawa saudara-mara menerima sokongan psikologi dan kewangan, lapor Anadolu.
Menteri Tenaga Milosz Motyka juga dilaporkan menyampaikan ucapan takziah dan berikrar untuk membantu keluarga terbabit.























