Sekurang-kurangnya dua orang maut dan tujuh lagi hilang selepas sebuah bot laju karam dekat Manaus, ibu kota negeri Amazonas Brazil pada malam Jumaat, lapor pihak berkuasa tempatan pada Sabtu, menurut berita Xinhua.
Bot itu, yang dalam perjalanan dari Manaus ke Nova Olinda do Norte, karam di kawasan pertemuan sungai Negro dan Solimoes. Tujuh puluh satu orang diselamatkan oleh sebuah bot yang lalu dan dibawa ke Manaus untuk bantuan perubatan dan sosial.
Kematian itu membabitkan seorang wanita berusia 22 tahun dan seorang gadis yang dipercayai berusia kira-kira tiga tahun. Empat mangsa yang terselamat dimasukkan ke hospital, dua daripadanya masih dalam keadaan stabil, manakala dua lagi telah dibenarkan keluar.
Pengendali bot itu ditahan, dan siasatan telah dilancarkan mengenai punca kemalangan itu. Operasi mencari dan menyelamat yang membabitkan penyelam dan pelbagai agensi sedang dijalankan.























