Dua orang dilapor terbunuh dalam serangan udara Israel di selatan Lubnan pada Khamis.
Sebuah pesawat perang Israel menyerang kompleks kediaman Ezzedine di pekan Srifa di Tyre, menyebabkan dua orang terbunuh, kata Agensi Berita Nasional (NNA), menurut Anadolu.
Pasukan penyelamat dari Persatuan Pengakap Risala Islam dilapor menemui dua mayat dari bawah runtuhan selepas kompleks kediaman itu musnah sepenuhnya.
Dalam serangan berasingan, seorang cedera dalam serangan dron di kawasan di antara pekan Breqaa dan Zrariyeh di Nabatieh, Anadolu memetik NNA.
Pesawat perang Israel juga dilapor melakukan serangan di pekan Ain al-Tineh, Yahmar, Loubaya, dan Sohmor di wilayah barat Bekaa di timur Lubnan.
Serangan itu berlaku ketika pegawai Lubnan dan Israel dijadualkan mengadakan pusingan ketiga rundingan dimediasi AS di Washington pada Khamis susulan dua pusingan yang diadakan pada 14 dan 23 April, sebagai permulaan kepada rundingan damai.




























