Sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan berpuluh-puluh rumah rosak selepas gempa bumi sederhana melanda utara Pakistan pada Isnin, menurut laporan Xinhua memetik pegawai.
Menurut laporan Xinhua, Jabatan Meteorologi Pakistan berkata dalam satu kenyataan, gempa bumi itu berukuran 5.8 magnitud, dengan kedalaman 10 km dan pusatnya terletak di barat laut Kashmir.
Sementara Menteri Penerangan untuk wilayah utara Pakistan, Gilgit-Baltistan, Ghulam Abbas memberitahu Xinhua, seorang lelaki terbunuh selepas ditimpa batu yang jatuh di jalan raya semasa gempa bumi itu.
Dia berkata, berpuluh-puluh rumah lumpur runtuh atau rosak di bahagian berbeza di kawasan pergunungan itu.
Menurut Xinhua, menteri itu menambah bahawa tanah runtuh yang dicetuskan oleh gempa bumi itu menyekat beberapa jalan dan laluan, dan agensi kerajaan telah mengerahkan jentera untuk membersihkan serpihan dan memulihkan lalu lintas.
Gegaran dirasai di seluruh kawasan yang luas, termasuk ibu negara Islamabad, kawasan barat laut seperti Peshawar, Swat dan Mardan, serta sebahagian Gilgit-Baltistan, menyebabkan panik dalam kalangan penduduk yang bergegas keluar dari bangunan, lapor Xinhua.























