Turkiye pada Khamis menggesa rakyatnya yang merancang untuk pergi ke Iran supaya bertindak dengan lebih berhati-hati, memetik perkembangan terkini di negara itu, menurut berita Anadolu.
Menurut Anadolu, kedutaan Turki di Tehran berkata di X bahawa pihak berkuasa juga menasihati rakyat Turki yang kini berada di negara Timur Tengah itu supaya sentiasa berwaspada mengenai keselamatan diri mereka.
“Adalah disyorkan agar rakyat kita memberi perhatian yang teliti terhadap perkembangan terkini,” kata kenyataan itu.
Kedutaan menekankan kepentingan mengikuti pengumuman dan panduan rasmi.
“Rakyat digalakkan untuk menjejaki kemungkinan kemas kini melalui laman web rasmi dan akaun media sosial Kementerian kita dan misi diplomatik di Iran,” tambahnya.
Untuk kecemasan, kedutaan berkongsi talian hubungan 24/7 melalui Pusat Panggilan Konsular Turkiye serta nombor telefon kecemasan dan alamat e-mel misi diplomatik di Tehran, Mashhad, Tabriz dan Urmia.
Iran telah digegarkan oleh gelombang protes sejak bulan lalu, bermula 28 Disember di Grand Bazaar Tehran, atas susut nilai mata wang Iran yang mendadak dan keadaan ekonomi semakin buruk, menurut Anadolu, demonstrasi kemudiannya merebak ke beberapa bandar lain.
Pegawai kerajaan menuduh AS dan Israel menyokong “rusuhan” dan “keganasan” terbabit, menurut laporan Anadolu.

















































