Pihak berkuasa Mexico berkata pada Ahad, sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh selepas sebuah Kereta Api Antara Lautan yang membawa 250 orang tergelincir di negeri selatan, Oaxaca, lapor Reuters.
Tentera Laut Mexico dilapor berkata, kereta api itu, yang tergelincir dekat bandar Nizanda, membawa sembilan kru dan 241 penumpang.
Daripada mereka yang berada di dalam, 139 dilaporkan berada dalam keadaan selamat, manakala 98 cedera, termasuk 36 yang sedang menerima bantuan perubatan.
Menurut Reuters, Presiden Claudia Sheinbaum berkata di X, lima daripada mereka yang cedera berada dalam keadaan kritikal, sambil menambah bahawa pegawai kanan telah dihantar ke lokasi kejadian untuk membantu keluarga mereka yang terkorban.
Gabenor Oaxaca, Salomon Jara Cruz, mengucapkan takziah kepada keluarga mereka yang terkorban dalam kemalangan itu dan berkata pihak berkuasa negeri sedang bekerjasama dengan agensi persekutuan untuk membantu mereka yang terjejas, lapor Reuters.
Kereta Api Antara Lautan, yang dirasmikan pada 2023 di bawah bekas Presiden Andres Manuel Lopez Obrador, merupakan sebahagian daripada projek Koridor Antara Lautan yang lebih luas.
Inisiatif ini direka untuk memodenkan rangkaian kereta api merentasi Segenting Tehuantepec, menghubungkan pelabuhan Pasifik Mexico di Salina Cruz dengan Coatzacoalcos di Pantai Teluk.
Kerajaan Mexico telah berusaha untuk membangunkan segenting itu menjadi koridor perdagangan strategik, mengembangkan pelabuhan, landasan kereta api dan infrastruktur perindustrian dengan matlamat mewujudkan laluan yang boleh bersaing dengan Terusan Panama.
Perkhidmatan kereta api juga merupakan sebahagian daripada usaha yang lebih luas untuk mengembangkan landasan kereta api penumpang dan barang di selatan Mexico dan merangsang pembangunan ekonomi di rantau itu.
















































