Sekurang-kurangnya dua orang terbunuh dan kira-kira 40 yang lain cedera, selepas sebuah trem yang sesak tergelincir pada Jumaat di bandar Milan, utara Itali, lapor Anadolu memetik pihak berkuasa tempatan.
Trem itu bergerak laju di jalan Vittorio Veneto di tengah Milan sekitar jam 1500 GMT apabila ia dipercayai terhempas ke sisi sebuah bangunan, memecahkan tingkap sebuah kedai dan akhirnya berhenti selepas melanggar sebatang pokok.
Menurut laporan tempatan, lapor Anadolu, mangsa pertama ditemui di bawah trem, manakala kebanyakan orang yang cedera adalah penumpang.
“Kita perlu menunggu untuk memahami bagaimana kejadian serius seperti itu boleh berlaku… malangnya, menurut laporan awal, ia telah mengakibatkan kematian seorang, manakala seorang lagi cedera parah,” kata ahli majlis kebajikan wilayah, Guido Bertolaso.
Orang kedua meninggal dunia selepas dimasukkan ke hospital dalam keadaan serius, tambah pihak berkuasa kemudiannya pada Jumaat.
Beberapa ambulans dan trak bomba bergegas ke tempat kejadian nahas.
Ibu kota perniagaan Itali kini sibuk dengan pertunjukan fesyen bermusimnya selepas berjaya menganjurkan Sukan Olimpik Musim Sejuk Milano-Cortina dan menjelang Sukan Paralimpik.
















































