Tentera Thai pada Selasa mendakwa Kemboja melepaskan grenad ke kawasan Phlan Hin Paet Kon di wilayah Sisaket dekat titik rondaan Thai, “melanggar” gencatan senjata antara kedua-dua pihak.
“Thailand membalas mengikut peraturan pertempuran. Tiada anggota Thailand yang cedera,” kata tentera dalam satu kenyataan di Facebook, lapor Anadolu.
Jurucakap tentera Thai, Mejar Jeneral Winthai Suvari dilapor berkata, anggota Thai sedang menjalankan rondaan rutin pada waktu pagi apabila kejadian itu berlaku.
Pihak Thailand membalas dengan melepaskan pelancar grenad M79 ke arah tembakan itu dilepaskan, tambahnya.
Winthai juga berkata, tindakan pihak Kemboja “melanggar” perjanjian gencatan senjata antara kedua-dua pihak, lapor Anadolu, tiada reaksi segera daripada Kemboja mengenai kejadian itu.
Gencatan senjata antara kedua-dua negara telah diwujudkan pada 27 Disember selepas 20 hari pertempuran sempadan yang mengorbankan sekurang-kurangnya 99 orang, termasuk orang awam, menurut Anadolu.
















































