Tentera Sudan melancarkan serangan udara ke atas kedudukan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) separa tentera di negeri Darfur Tengah dan Kordofan Utara pada Khamis, di tengah-tengah pertempuran yang semakin meningkat di negara dilanda perang itu, berita Anadolu memetik media tempatan.
Saluran berita Al-Mashad Al-Sudani melaporkan, pesawat perang Sudan menyerang tapak RSF di kedua-dua negeri itu ketika tentera meluaskan serangan udaranya untuk merobohkan struktur tempur kumpulan pemberontak.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, tentera Sudan memperhebatkan serangan darat dan udaranya dalam usaha untuk mengusir pasukan RSF dari kawasan yang mereka tawan.
Pada Rabu, pengerusi Majlis Kedaulatan Peralihan Sudan, Abdel Fattah al-Burhan, dilapor mengesahkan komitmen tentera untuk menghapuskan RSF dan membalas dendam pertumpahan darah awam oleh kumpulan pemberontak di bandar El-Fasher dan bandar-bandar lain.
Kumpulan separa tentera pada Rabu mendakwa beberapa serangan dron telah dilancarkan dari “pangkalan asing” yang menyasarkan Zalingei, ibu kota negeri Darfur Tengah, dan pekan Kabkabiya di Darfur Utara.
















































