Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berkata dalam satu kenyataan, tentera udaranya membunuh dua militan di selatan Lubnan pada Sabtu, lapor Xinhua.
Menurut kenyataan itu, lapor Xinhua, kedua-duanya adalah ahli Briged Penentangan Lubnan, sebuah kumpulan separa tentera yang bergabung dengan Hizbullah.
Mereka disasarkan semasa dalam perjalanan dengan kereta di kampung Chebaa di tenggara Lubnan, IDF dilapor berkata.
Xinhua melaporkan, tentera Israel mendakwa mereka terbabit dalam penyeludupan senjata yang digunakan oleh Hizbullah, dan aktiviti mereka merupakan pelanggaran persefahaman antara Israel dan Lubnan.
Gencatan senjata antara Hizbullah dan Israel telah berkuat kuasa sejak 27 November 2024. Namun tentera Israel terus melakukan serangan sekali-sekala di Lubnan, dengan mengatakan operasinya adalah terhadap “ancaman” Hizbullah, sambil mengekalkan pasukan di lima kedudukan utama di sepanjang sempadan Lubnan.
Awal minggu ini, Presiden Lubnan Joseph Aoun mengutuk rentetan serangan baru-baru ini, menyifatkannya sebagai “jenayah politik yang keji”, menurut laporan Xinhua.
Tentera Lubnan juga dilaporkan mengutuk serangan Israel sebagai “kesinambungan pendekatan memusnahkan musuh yang bertujuan untuk menjejaskan kestabilan Lubnan, meluaskan kemusnahan di selatan, dan memanjangkan perang untuk mengekalkan ancaman terhadap rakyat Lubnan.”
















































