Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh dan kira-kira 40 orang lagi dilaporkan hilang, selepas tanah runtuh berlaku semalaman di timur Republik Demokratik Congo (DRC), menurut berita Xinhua memetik laporan media tempatan.
Kejadian itu dilaporkan berlaku sekitar jam 1 pagi pada Selasa (2300 GMT Isnin) di kampung Burutsi, di Walikale, Kivu Utara, selepas hujan lebat mencetuskan tanah runtuh, menyebabkan kerugian besar kepada manusia dan harta benda.
Xinhua melaporkan, menurut laporan media, penduduk, dengan sokongan pihak berkuasa tempatan, setakat ini menemui 13 mayat dari runtuhan, termasuk empat kanak-kanak.
Operasi mencari dan menyelamat diteruskan dalam usaha mencari orang lain yang masih tertimbus di bawah runtuhan.
















































