Kebakaran berlaku pada brek penerbangan Virgin Australia sejurus selepas mendarat di Lapangan Terbang Brisbane di Australia pada malam Khamis, mencetuskan tindakan kecemasan, lapor Xinhua.
Virgin Australia dilapor berkata pada Jumaat, tiada seorang pun daripada 178 penumpang dan kru dalam penerbangan itu cedera.
Sistem brek Boeing 737-800 dilaporkan terbakar selepas penerbangan VA454 dari Darwin mendarat di Brisbane sekitar jam 7 malam waktu tempatan pada malam Khamis.
Insiden itu mencetuskan tindakan kecemasan, dengan beberapa kru bomba lapangan terbang dikerahkan untuk memadamkan kebakaran.
“Api itu dipadamkan dengan cepat, dan semua tetamu dan kru turun secara normal dan selamat,” jurucakap syarikat penerbangan itu dilapor berkata.
Virgin Australia dilapor berkata, insiden itu tidak menyebabkan sebarang kelewatan dan dijangka tidak menjejaskan penerbangan yang dijadualkan pada Jumaat.
















































