Serangan dron AS pada Sabtu menyasarkan sebuah motosikal di kawasan Al-Husoon di daerah Al-Wadi, timur wilayah Marib tengah Yaman, membunuh dua yang didakwa operatif al-Qaida, sumber keselamatan kerajaan tempatan dilapor memberitahu Xinhua.
Sumber itu, yang enggan dikenali, dilapor berkata kedua-dua pemuda itu berasal dari daerah Al-Wadi tetapi tidak memberikan nama mereka.
Serangan itu berlaku di tengah-tengah operasi memerangi keganasan yang berterusan di Yaman, di mana dron AS secara berkala menyasarkan individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan militan, termasuk al-Qaida.
Amerika Syarikat (AS) mahupun kerajaan Yaman yang diiktiraf di peringkat antarabangsa tidak mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung insiden itu, menurut Xinhua.
Marib, sebuah wilayah yang strategik dan kaya dengan minyak, berada di bawah kawalan kerajaan Yaman. Kedua-dua al-Qaida dan Houthi telah berusaha untuk mengembangkan aktiviti mereka di wilayah itu sejak perang saudara bermula pada akhir 2014.
Wilayah itu baru-baru ini menyaksikan langkah keselamatan yang dipertingkatkan di tengah-tengah laporan pergerakan militia yang bertujuan mencetuskan huru-hara.
















































